“Bukan itu niat saya. Tapi saya mahukan yang terbaik untuknya,” sambungnya dalam tangis.

Setelah reda dan mampu mengawal perasaannya, maka dia memulakan ceritanya. Dari awal, si ibu mula menyusun kata-katanya dengan harapan apa yang hendak disampaikan difahami dengan jelas.

“Innalillahiwainna ilaihi rojiuun,” Itu sahaja jawapan yang boleh diluahkan. Tapi bagaimana pula dengan si ibu tadi yang diburu rasa bersalah hanya kerana doanya di hadapan Kaabah saat dia menunaikan umrah bila mana satu demi satu ‘tragedi’ berlaku dalam hidupnya.

Niatnya hanya satu, untuk mendapatkan jawapan terbaik daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Dengan deraian air mata, si ibu mula berdoa, “Ya Allah, aku insan yang lemah dan tidak mampu untuk mengawal serta menjaga anakku. Andainya mati itu adalah lebih baik untuknya, maka Engkau ambillah dia daripada ku. Tetapi andainya dia memang ditakdirkan oleh Mu untukku aku terus tabah mengharungi segala ujian-Mu, maka Engkau mudahkanlah segala urusanku.”

Ternyata si ibu begitu pasrah kerana tidak mampu untuk melakukan apa-apa setelah banyak kali nasihat diberikan, namun sedikit pun tidak diendahkan oleh anak tunggalnya itu. Sudah acap kali dia ke balai untuk menjamin anaknya dengan pelbagai kesalahan yang dilakukan. Bahkan sudah banyak kali juga dia keluar dari penjara. Namun kesilapan yang sama masih diulang.

Bukan budak kecil, bahkan anaknya telah berkahwin dan dikurniakan dengan tiga anak. Namun sikapnya tak pernah berubah.

Ternyata apa yang didoakan oleh si ibu dikabulkan oleh Allah Yang Maha Esa. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi usai selamat sampai di rumah selepas menunaikan umrah, dia mendapat panggilan daripada pihak hospital untuk pengecaman wajah si mati.

Terasa bagaikan tercabut jantungnya. Badannya longlai dan lemah hatta terpaksa dipapah ke hospital. Apa lagi yang mampu untuk dikatakan selain mengesahkan si anak terbujur kaku di bilik mayat.

“Ya Allah, salahkah aku?” Ratap si ibu.

TIP KAUNSELOR

1. Setiap manusia diberikan akal fikiran yang waras dalam membuat sesuatu keputusan. Baik atau buruk sesuatu perkara, sudah jelas dinyatakan dalam syariat Allah.

  • Maka gunakanlah akal sebaik mungkin untuk memastikan setiap keputusan yang diambil tidak memudaratkan orang lain.
  • Ingat, selagi ada orang yang menyayangi kita, maka selagi itu kita akan terus menerima nasihatnya.

2. Berubah untuk menjadi insan yang lebih baik tidak akan menjatuhkan martabat seseorang.

  • Usaha mencapai kebaikan adalah jihad yang besar di sisi Allah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda seperti diriwayatkan oleh Ibnu Najjar:

“Jihad yang paling utama adalah seseorang yang berjihad (berjuang) melawan dirinya dan hawa nafsunya.”

3. Tidak salah untuk berdoa, merintih dan memohon sesuatu daripada Allah SWT, bahkan amalan ini digalakkan dalam apa jua situasi.

  • Ingatlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-hamba-Nya. Justeru jangan berhenti berdoa sebagaimana Allah berfirman dalam Surah at-Talaq, ayat 2-3 yang bermaksud:

“Sesiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

4. Menyesal atas apa yang berlaku setelah berusaha dan berdoa seolah-olah menidakkan kekuasaan Allah.

  • Jangan sesekali menyalahkan diri atau menyesal setelah pelbagai usaha dilakukan. Serahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan bertawakal kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah an-Naml ayat 62 menyebut:

“Atau siapakah yang memperkenan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan.”

5. Perbanyak mengucapkan zikir hauqalah iaitu “La haula wa la quwwata illa billah” yang bermaksud: “Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah” kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah SWT.

  • Imam Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan.
  • Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT.

PANDANGAN KAUNSELOR

Tiada ibu yang tidak sayangkan anaknya. Naluri dan fitrah kasih sayang ini sememangnya wujud dalam jiwa setiap insan. Lantas tidak hairanlah, apa jua kesalahan si anak, si ibu akan tetap memberikan peluang kedua bahkan berkali-kali peluang kepada si anak untuk berubah. Begitulah nilaian kasih ibu yang tidak bertepi.

Bahkan si ibu juga tidak akan kenal erti putus asa. Rasa tanggungjawab yang mendalam, mendorong si ibu melakukan apa sahaja demi kebaikan si anak. Namun, kegagalan si anak untuk berubah dan memahami kehendak dan hasrat si ibu sudah pastinya menimbulkan rasa kecewa si ibu walau tidak pernah diluahkan.

Pun begitu, bila sampai ke satu peringkat, apabila segala usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil, maka kepada Maha Pencipta akan dirujuk. Dan hakikatnya, inilah yang sewajarnya dilakukan oleh setiap insan saat berhadapan dengan situasi yang sukar, mahupun ketika mendapat rahmat dan nikmat Allah.

Sebagaimana kisah Nabi Yaakub a.s. yang kehilangan puteranya Nabi Yusuf a.s., Baginda tidak pernah berputus asa memohon dan meluahkan rasa sedihnya kepada Allah SWT. Hal ini diceritakan dalam Surah Yusuf ayat 86 yang bermaksud, “Dia (Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihan ku.”

Fahamilah bahawa setiap yang berlaku adalah kehendak Allah dan kepada Allah kita harus kembali memohon yang terbaik dalam melalui liku-liku kehidupan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 menjelaskan, yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.”