DUKE berkata: “Pasti orang ramai akan bertanya, apakah istimewanya pelayaran ini? Sebenarnya banyak kelebihan dan manfaat yang bakal diperolehi jika mereka mengikuti pelayaran Barakah anjuran anak syarikat Kumpulan Tabung Haji, TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) ini.”

Jelas beliau, pelayaran tersebut pasti menjadi satu kenangan istimewa buat peserta yang ingin memanfaatkan masa dengan beribadah dan mendalami ilmu agama.

“Selain merasai sedikit kelainan beribadah atas kapal, orang ramai yang menyertai program pelayaran tersebut akan disajikan dengan pelbagai aktiviti keagamaan berfaedah,” katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini masyarakat Islam agak kekok untuk mencuba pakej pelancongan pelayaran ekoran ‘sajian’ atas kapal kerana tidak mematuhi syarak dan tiada pengisian program keagamaan sepanjang pelayaran, namun perkara itu kini sudah menjadi sebaliknya.

Bukan sahaja peserta pakej boleh beribadah secara berjemaah dan menyaksikan fenomena menarik sepanjang pelayaran, keraguan berhubung isu makanan dan peralatan masakan juga telah dapat diatasi sepenuhnya oleh pihak penganjur pelayaran.

“Selain boleh menyaksikan fenomena alam yang indah termasuk matahari terbenam, peserta Pelayaran Barakah akan mengikuti aktiviti dan program menarik secara eksklusif bersama saya yang dirancang sepanjang pelayaran dari Pulau Pinang ke dua buah daerah di selatan Thailand iaitu Krabi dan Phuket,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan kumpulan THTS yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Khalid Mohd. Noordin ke Pusat Pendidikan Al-Barakah milik DUKE di Manjoi, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Pakej Pelayaran Barakah yang dijadualkan pada 27 hingga 30 Ogos itu nanti akan berlepas dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, sebelum berlabuh semula di Pulau Pinang.

Seramai 600 orang peserta dijangka akan mengikuti pelayaran tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu bermula dari RM2,630 seorang.

Mengulas lanjut, DUKE berkata, aktiviti keagamaan yang bakal diadakan itu termasuk ceramah agama perdana, majlis ilmu, program qiyamullail, sesi soal jawab serta kaunseling yang akan dipimpin oleh beliau sendiri.

Seumpama sebuah ‘hotel bergerak’ atas lautan, beliau berkata, program pelayaran itu adalah serampang dua mata dalam mewujudkan sebuah gabungan masyarakat Islam dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang.

Menurutnya, selain berpeluang melancong secara sihat, beribadat dan menuntut ilmu sepanjang pelayaran tersebut, peserta juga berkesempatan untuk beramal jariah secara tidak langsung.

Jelasnya, tidak sahaja melawat beberapa destinasi menarik di Krabi dan Phuket, peserta juga nanti berkesempatan membuat amal kebajikan di pusat pendidikan keagamaan di daerah selatan Thailand itu, sekali gus mengenali lebih dekat cara kehidupan masyarakat berkenaan.

“Kehidupan masyarakat Islam di dua daerah itu sangat indah untuk diterokai. Mereka sangat ramah dan mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan seagama, sekali gus mengukuhkan hubungan baik sesama Muslim,” katanya.

Tambah DUKE, sebahagian bayaran bagi pakej pelayaran tersebut akan disalurkan kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah sebagai sumbangan sedekah, sekali gus memberi manfaat kepada 1,000 orang pelajar di madrasah tersebut.

“Pelayaran Barakah ini juga merupakan satu nilai yang sangat tinggi untuk dikongsikan. Bukan sahaja dapat beribadah, melancong melihat budaya masyarakat Islam di Krabi dan Phuket, mereka juga boleh beramal dengan memberi sumbangan kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah bagi menghasilkan kumpulan ilmuwan dan keagamaan di negara ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh hubungi Tabung Haji Travel & Services (THTS) di talian 013-3589211/012-2126839 atau melayari laman web THTS di www.thts.com.my/tour untuk merancang percutian.