“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang. Nanti selepas ini buah pinggang awak akan kembang balik.”

Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas planet bumi. Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan Hospital Selayang. Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:

“Jangan buat pembedahan, makan dahulu produk ini! Sebabnya apabila dah buat pembedahan, tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Pernah seorang kawan mencadangkan agar mengambil perubatan sunah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. Kawan saya lantas berkata:

“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”

Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati: “Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh ini yang menanggung derita. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan Nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama hadis.”


BUKAN SEMUA PRODUK SESUAI

Pengalaman 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan C.A.P.D. Dalam bulan Ramadan tahun itu, saya mengimamkan solat tarawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketika dalam solat, dada berasa sangat tidak selesa, jantung berdebar dengan tidak teratur. Dalam kalangan jemaah kami terdapat seorang murid dewasa saya yang juga seorang doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Zin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi dan menasihatkan agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma?

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan lain mempunyai kandungan potasium yang sangat tinggi. Bagi tubuh normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potasium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potasium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu ia akan berlebihan dan mengganggu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potasium boleh mendapat serangan sakit jantung!

Pernah seorang penjual ubat ajaib lain mengesyorkan mengambil produk soya yang dia jual. Apabila dimaklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana akan membebankan buah pinggang yang rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan doktor pakar:

“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam ‘fakta auta’ si penjual ubat ajaib. 


ANTARA USAHA JIHAD TERHEBAT

Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesion perubatan. Pengorbanan mereka selama bertahun-tahun mempelajari ilmu perubatan adalah antara usaha jihad terhebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai ‘ahli kelab paksa Hospital Selayang’ dengan rawatan susulan setiap dua atau tiga bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:

“Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada orang berilmu jika kamu tidak mengetahui,” (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada ahli kitab tentang “kemanusiaan para rasul.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul daripada spesis malaikat.

Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat. Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “ahla zikri” atau orang berilmu dalam ayat itu jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah ‘pakar bidang’. Beginilah cara al-Quran mengajar untuk hidup selamat dunia dan akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang.

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang berbeza. Setahu saya, tiada doktor pakar semua bidang perubatan. Jika terjumpa doktor yang pakar semua bidang (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti dia berasal dari planet lain!.

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun-tahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh penjual ubat ajaib yang hanya bermodalkan air liur, andaian dan spekulasi.

TUNGGANG AGAMA DEMI KEPENTINGAN JUALAN

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

“Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah,” - Sahih Muslim.

Hadis ini bukan semudah itu boleh diambil menjadi maskot ubat ajaib anda. Jauh bezanya antara ubat sebenar dengan spekulasi ubat tanpa bukti yang cukup. Apa yang saya faham daripada hadis ini adalah Rasulullah SAW menyarankan agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesanan kepada penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasnya di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:

“Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) akan menjerumuskannya semakin dalam ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Itulah nasib penghidap penyakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika para doktor berusaha merawat, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah ‘lubuk emas’ bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan!

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah sebagai manusia yang perlu dikasihankan. Hidup ini bak roda! Ada masa kita sihat dan sakit. Apa agaknya perasaan jika anak anda mati akibat tersilap makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual lain? Fikirkan!

Jangan ditanya cara membuat bangunan daripada seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam agama daripada seorang pakar Matematik kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang!

Jika dikata 
‘makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan’, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah nikmat penyembuhan!