PADA asalnya, tiada tirai. Ini berlaku pada zaman Nabi SAW iaitu para sahabat wanita bersolat di belakang jemaah saf sahabat lelaki. Namun, perubahan zaman membawa kepada perubahan suasana iaitu bahagian wanita ditutup dengan tirai atau langsir.

Ini adalah baik kerana adat kebiasaannya wanita menggunakan kain telekung untuk bersolat. Mereka akan membuka tudung kepala untuk memakai kain telekung. Begitu juga wanita dapat berehat seketika dalam ruang kawasan jemaah wanita tanpa berasa segan dan malu kepada jemaah lelaki kerana pandangan lelaki terhalang dengan adanya tirai.

Dalam solat berjemaah, seeloknya dibuka sedikit atau kain tirai daripada kain yang tidak tebal. Ia bertujuan membolehkan makmum wanita dapat mengetahui pergerakan imam dengan melihat jemaah lelaki di hadapan kerana tirai sedikit terbuka atau agak nipis.

Antara syarat penting dalam solat berjemaah ialah makmum mengetahui pergerakan imam:

* Pengetahuan ini diperoleh dengan melihat pergerakan imam atau pergerakan makmum lain.

* Mendengar suara imam atau suara bilal yang menguatkan suaranya.

* Jemaah wanita juga dapat mendengar suara imam melalui pembesar suara. Maka seeloknya dibuka sedikit.

Sama ada sah atau tidak jika tirai ditutup tanpa dibuka sedikit, terdapat pandangan menyatakan bahawa solat berjemaah sebegitu tidak sah.

Namun begitu, ia bukanlah satu kesepakatan para ulama.