“Selepas berbicara seketika dengan petugas pengurusan penyerahan bantuan, dia dilihat masih belum berpuas hati. Tanpa diduga, lelaki tersebut mengangkat senjata yang dibawanya dan melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Situasi tersebut ternyata menimbulkan kebimbangan dan membuatkan kami pucat lesi,” kata Khairil Annuar Khalid membuka bicara.

Naib Presiden Malaysian Relief Agency (MRA) itu berkata, insiden tersebut adalah sebahagian daripada situasi sukar yang terpaksa dihadapi oleh petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan semasa melaksanakan kerja amal di negara bergolak Yemen.

Katanya, pelbagai cabaran harus ditempuhi dengan hati terbuka dan sepenuhnya berserah diri kepada Yang Maha Esa ketika berada di lokasi yang tidak diketahui tahap keselamatan, ekoran pertempuran pihak bertelagah di negara tersebut dan budaya perang yang telah wujud sejak sekian lama.

Menurutnya, ancaman peluru sesat dan masa pertempuran yang tidak diketahui merupakan antara cabaran terbesar kepada kumpulan petugas, selain telinga disajikan dengan bunyi tembakan tidak kira siang atau malam.

Untuk itu katanya, segala perancangan dan pelan penghantaran untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan harus dirancang dengan teliti.

Jelasnya, MRA akan berusaha mendapatkan maklumat awal daripada pihak atau sumber yang dipercayai bagi mengetahui situasi sebenar lokasi yang mahu dituju dan tahap keselamatan di sepanjang perjalanan.

“Selain bekerjasama dengan beberapa NGO tempatan, kami juga melakukan koordinasi dengan masyarakat tempatan sebelum bertindak menghantar bantuan ke lokasi.

“Untuk lebih selamat, kami kadang-kadang tidak menggunakan jalan utama sebaliknya memilih laluan di kawasan pergunungan. Ini bagi mengelak daripada pengeboman, jerangkap samar atau terbuka kepada sasaran penembak tepat,” katanya.

KEMAHIRAN DIPLOMASI

Tambahnya, ekoran terlalu banyak pos kawalan keselamatan yang harus ditempuhi, mereka juga tidak terlepas untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah ketenteraan atau pihak yang menjaga keselamatan di wilayah masing-masing.

Lantaran itu, katanya, kemahiran diplomasi baik harus dimiliki oleh petugas dalam memberi penjelasan, ekoran pihak petugas yang menjaga pos kawalan kadangkala tidak mempedulikan surat kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa.

“Cuba bayangkan, ketika diajukan soalan, senjata yang digunakan turut diacukan ke arah kami. Maka di sinilah diperlukan semangat tinggi dan kemahiran diplomasi baik termasuk menyatakan niat murni untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Operasi Antarabangsa MRA, Mohd. Fadhil Bahrudin berkata, 1,001 cabaran harus ditempuhi dengan penuh sabar oleh petugas MRA semasa bertugas di negara bergolak tersebut.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas ketika bertugas di Yemen berkata, selain ancaman keselamatan, MRA juga berhadapan dengan masalah logistik, faktor geografi dan pergerakan yang sangat terbatas.

Tambahnya, isu kabilah yang sering tercetus di negara Arab itu menjadikan situasi bertambah sukar apabila pihak mana yang kuat akan cuba bertindak menjadi ‘kepala’ untuk mengawal wilayah tertentu.