Sebagai hamba Allah SWT yang lemah, kita dituntut untuk memohon bantuan-Nya bagi menangani ujian dan cabaran tersebut. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 45, bermaksud:

“Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

Ini diakui oleh seorang pendakwah kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS), Abu Ammaar Yasir Qadhi (Yasir Qadhi) dalam ceramahnya yang dipetik dari laman web LoveAllah328, baru-baru ini.

“Namun, sabar itu perlu menepati firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’aarij: 5 iaitu “Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam ceramah tersebut, beliau yang mendalami pengajian Islam di Universiti Madinah, Arab Saudi dan Yale, AS itu menyatakan lebih lanjut berkenaan sifat itu dan ikutilah wawancara bersamanya.

Apa itu kesabaran yang sebaik-baiknya?

Yasir Qadhi: Sabar itu mempunyai tahap-tahap tertentu. Tahap paling tinggi adalah orang sekeliling tidak menyedari kita sedang bersabar, kecuali Allah SWT.

Kesempurnaan itu akan lebih terserlah apabila tiada sesiapa yang tahu kita sedang kecewa, gelisah atau marah. Kita berupaya melindungi perasaan negatif itu daripada tatapan mata manusia, kecuali Allah SWT sahaja.

 

Bagaimana untuk memilikinya?

Yasir Qadhi: Mekanisme utama untuk memiliki sifat sabar itu adalah dengan berdoa bersungguh-sungguh secara berterusan kepada-Nya agar dikurniakan sifat tersebut.

Ini bertepatan dengan satu hadis Rasulullah SAW dalam Sahih Bukhari dan Muslim bermaksud: “Sesiapa yang ingin bersabar, secara aktif mahu bersabar, Allah akan memberi kepadanya sifat sabar yang dia perlukan itu.”

Selain berdoa, kita juga kena tunjuk keinginan atau impian untuk memiliki sifat sabar itu kepada Allah SWT secara berterusan.

 

Bolehkah kita memilikinya?

Yasir Qadhi: Itu adalah janji Allah SWT kepada hamba-Nya yang mahukannya dan ini sejajar dengan firman-Nya dalam Surah al-Muddatsir:7 iaitu “Bersabarlah demi Tuhanmu.”

Dengan kata lain, Dia menyatakan bahawa jika kita bersabar kerana-Nya, kita akan peroleh sifat itu. Malah, ayat tersebut adalah perintah pertama yang diberikan Allah SWT kepada Rasulullah SAW ketika baginda berdakwah kepada bukan Islam.

Kenapa kita perlu ada sifat itu?

Yasir Qadhi: Sifat sabar itu ada kaitan dengan iman kerana mereka yang tidak memiliki sabar, sudah pasti tahap imannya belum sempurna di sisi-Nya.