Namun, itulah ditawarkan oleh Rumah Ngaji Sheikh yang baru beroperasi di Rasah, Kemayan, Negeri Sembilan sejak 1 Ogos lalu.

Memfokuskan kepada kanak-kanak istimewa mempunyai masalah pembelajaran, pusat pengajian al-Quran yang juga dikenali Rumah Ngaji Orang Kurang Upaya (OKU) itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada ibu bapa yang menghantar anak belajar di institusi tersebut.

Ia selari dengan matlamat penubuhan Rumah Ngaji kendalian Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk menawarkan perkhidmatan pembelajaran al-Quran secara percuma kepada orang ramai bagi menggalakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.

Penyelaras Rumah Ngaji OKU, Gharizah Hashim berkata, berikutan permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pembelajaran, mendorong pihaknya untuk menubuhkan pusat tersebut.

“Rumah Ngaji atau pusat pengajian al-Quran tipikal sudah banyak disediakan bagi pembelajaran orang normal di seluruh negara, namun jika diperhati bagi golongan OKU sangat kurang, sedangkan mereka juga mempunyai hak untuk belajar al-Quran.

“Jika ada, yuran dikenakan agak mahal. Ini kerana golongan ini memerlukan lebih tumpuan berbanding kanak-kanak normal, di samping perlu menggunakan silibus pembelajaran khas.

“Memahami kekangan dihadapi ibu bapa anak istimewa ini, Rumah Ngaji bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa, Akademi Faqeh yang mempunyai kepakaran dalam pengajian al-Quran untuk membangunkan Rumah Ngaji ini,” katanya.

Beroperasi setiap Isnin sehingga Khamis dengan dua sesi iaitu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang, Rumah Ngaji OKU kini menerima lapan pelajar dengan bimbingan dua tenaga pengajar.

Murid terdiri daripada OKU kategori autisme, disleksia, sindrom Down, kanak-kanak lewat perkembangan (Global Development Delay) dan pandangan kabur (low vision).

Rumah Ngaji OKU beroperasi di rumah banglo dua tingkat yang diwakafkan oleh Asmat Bibi Sheikh Abdullah.

Gharizah yang juga Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan berkata, tenaga pengajar adalah bekas lulusan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sebelum ini pernah menjalani latihan di Yayasan Faqeh.

“Setiap tenaga pengajar hanya akan mengajar dua murid dalam satu kelas untuk memastikan mereka dapat memberi tumpuan dan memahami setiap aktiviti serta bacaan dengan betul.

“Dalam masa sama, kita bercadang untuk menambah bilangan pengajar bagi membolehkan lebih ramai murid diterima, namun oleh kerana kekangan peruntukan, cadangan itu perlu ditangguhkan. Malahan, sehingga kini ramai ibu bapa sedang menunggu untuk menghantar anak ke Rumah Ngaji ini,” ujarnya.

Justeru beliau berharap agar orang ramai yang prihatin termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan supaya tampil membantu bagi melancarkan operasi, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

KAEDAH HUFFAZ ASYRAF, QURANIS

Sementara itu, pengajar Rumah Ngaji OKU, Nur Hannani Hamdan berkata, proses pengajaran menggunakan dua kaedah iaitu Huffaz Asyraf dan Quranis yang dibangunkan Akademi Faqeh bagi pembelajaran al-Quran.

Beliau berkata, disokong menggunakan al-Quran digital sebagai alat bantu belajar, kaedah digunakan terbukti berkesan dalam meningkatkan kemampuan murid OKU mengenali al-Quran dan membentuk disiplin diri.

“Apa yang kita lakukan adalah memperdengar bacaan al-Quran kepada murid secara berulang kali iaitu sekurang-kurangnya 33 kali. Dengan ini, murid itu akan dapat mengenal dan mengingati ayat yang didengar.

“Kita juga akan melatih disiplin murid dengan melakukan sesuatu tugasan berulang kali dan cuba menenteramkan rohani mereka dengan bacaan ayat-ayat rukyah, solat dhuha bagi sesi pagi, memperdengar asma ul-Husna (99 nama Allah), di samping aktiviti senaman ringan.

“Keberadaan mereka di Rumah Ngaji ini bukanlah sehingga mahir atau fasih membaca al-Quran, tetapi mengikut kemampuan masing-masing seperti berupaya mengenal pasti surah dan menyuaipadankan ayat daripada surah diberikan,” katanya.

MAYBANK

555108319734


Rumah Ngaji Sheikh

Atau hubungi Gharizah 
melalui talian 017- 351 2144 untuk maklumat lanjut.