“Peringkat awal nampak mudah tapi di pertengahan dan peng­hujung agak sesak. Tetapi demi al-Quran dan kempen kibar bendera saya teruskan. Saya tawakal sahaja,” katanya yang mengambil masa hampir sejam mendaki Menara Kuala Lumpur yang turut disertai oleh 26 peserta termasuk daripada media.

Program Climb for#QuranHour merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemun­cak program World#QuranHour dan Merdeka#QuranHour yang akan berlangsung 31 Ogos ini.

Rosyam yang mengetuai misi ber­kenaan melahirkan rasa syu­kur selepas berjaya menamatkan misi berkenaan kira-kira 11.30 pagi.

Katanya, pendakian ber­kenaan adalah salah satu mesej untuk mem­beritahu masyarakat bahawa terdapat satu lagi acara penting akan berlangsung pada 31 Ogos ini, selain sambutan Hari Kebangsaan.

“Alhamdulillah akhirnya kami berjaya sampai ke kemuncak dan terima kasih semua yang terlibat. Semoga program ini menjadi pencetus semangat menjelang Hari Kebangsaan.

“Menaiki tangga demi tang­ga untuk mengibarkan bendera­ Jalur Gemilang dan panji World­#QuranHour untuk diletakkan di puncak serta senaskhah al-Quran merupakan pengubat seluruh alam,” katanya dalam sidang akhbar selepas menamatkan misi berkenaan.

Yang turut hadir, Setiausaha akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad; Pengasas Yayasan Wa­risan Ummah Ikhlas, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Menurut Rosyam, kempen ­Wor­ld#QuranHour juga adalah un­tuk menyedarkan masyarakat bahawa kemerdekaan bukan han­ya sekadar menyambut hari merdeka tetapi melibatkan elemen kemasyarakatan, muhibah dan silaturahim.

“Ini kerana konsep pemikiran dalam kalangan masyarakat terutama muhibah sudah semakin hilang. Sehati sejiwa tidak sebagaimana zaman 70-an. Sudah tiada berbudi dan penyayang seperti dulu. Sebab itu kita bawa konsep ini bersama agar dapat membuka minda masyarakat Malaysia,” katanya.

Pendakian bermula dari Taman Eco Rimba Kuala Lumpur di Hutan Simpan Bukit Nanas, bersebelahan Menara Kuala Lumpur.

Acara pelepasan pendakian di­lakukan oleh Hussamuddin ber­­sama Meor Shahril Anuar ma­nakala penyerahan panji dan Jalur Gemilang serta al-Quran oleh Rosyam dan disambut oleh Tengku Sharifuddin pada akhir pendakian.

Yang turut menyertai pendakian berkenaan ialah Pendaki Solo, Mohd. Noor Mat Amin yang juga jurugambar Kumpulan Utusan dan wartawan Utusan Malaysia, Nazwin Nazri.

Misi kali ini adalah kesinambungan promosi yang pernah dicetuskan Rosyam sendiri melalui Walk for World#QuranHour, acara berjalan kaki sejauh 47.2 kilo­meter dari Shah Alam ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, tahun lalu.