Ini kerana hanya melalui pendidikan, seseorang itu termasuk pelarian bukan hanya mampu berdikari di negara berkenaan tetapi boleh menyesuaikan dirinya jika diarahkan pulang atau berpindah ke negara lain.

Sejajar dengan realiti itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah membuka sebuah pusat pembelajaran dan pendidikan asas untuk pelarian di Taman Kajang Utama, Selangor.

Pusat yang dikenali sebagai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) itu hanya mengenakan bayaran komitmen sebanyak RM25 sebulan.

“Kalau dikirakan, bayaran itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan operasi RISE tetapi kami anggap ia perlu supaya wujud komitmen daripada ibu bapa dan pelajar pelarian.

“Lagipun, ia penting demi kelangsungan hidup anak-anak pelarian tersebut pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin ketika berucap pada majlis pelancaran RISE di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

RISE yang terletak di bangunan tiga tingkat itu bukan hanya memiliki bilik-bilik pembelajaran, bilik guru dan pejabat pentadbiran tetapi turut dilengkapi dengan surau.

Buat masa ini, ia memiliki 40 pelajar Rohingya berusia antara enam hingga 14 tahun dan dikendalikan oleh seorang pengetua dan empat orang guru (dua rakyat tempatan dan dua Rohingya).

Dalam pada itu, tambah Zairulshahfuddin, RISE juga menyediakan kelas-kelas kemahiran seperti memasak, menjahit, elektrik dan komputer kepada pelarian itu yang berusia 15 tahun ke atas.

Kelas-kelas tersebut bukan hanya dikendalikan oleh guru terlatih lulusan universiti tempatan tetapi juga kalangan etnik Rohingya yang memiliki kemahiran yang diiktiraf.

“Selain itu, bagi memastikan anak-anak Rohingya di luar daerah Kajang terus menimba ilmu, satu program khas bakal dilaksanakan pada setiap hujung minggu tidak lama lagi.

“Ia melibatkan guru-guru, sukarelawan dan tenaga pengajar RISE yang akan turun ke komuniti mereka untuk mengajar pendidikan asas,” katanya.

PERLUKAN DANA

Bagi memastikan kelangsungan hidup RISE, IRM akan melaksanakan pelbagai program dan kempen mengumpul dana dengan menyasarkan individu, syarikat korporat dan bantuan Islamic Relief (IR) negara 
lain.

Menurut Ketua Bahagian Bantuan dan Program IRM, Kamarul Halim Sakrani, kos operasi pusat tersebut selama sebulan adalah RM30,700 yang merangkumi makanan, akademik, pengangkutan dan operasi pentadbiran.

“Buat masa ini, kosnya dibiayai IRM dan kami berharap dalam tempoh terdekat ini, usaha pengumpulan dana itu akan mencapai matlamatnya.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mengetahui lebih lanjut berhubung projek RISE itu,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar pada majlis sama.

Namun apa yang lebih penting, Kamarul Halim menyifatkan program RISE tersebut sebagai langkah awal untuk IRM memiliki dan mengurus sepenuhnya pusat pembelajaran dan pendidikan di negara ini.

“Sejak 2011, IRM lebih banyak menyalurkan dana kepada institusi pendidikan dalam dan luar negara tetapi bagi kami, ia pasti memberi lebih kepuasan jika memiliki institusi pendidikan sendiri.

“Malah, pengurusan sendiri ini, mungkin memberi lebih keyakinan kepada penyumbang untuk menderma wang tunai atau tenaga mereka demi kelangsungan hidup institusi tersebut,” katanya.

Fakta

  • UNHCR lapor terdapat sekurang-kurangya 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia.
  • Tetapi hanya 54,856 orang sahaja yang berjaya didaftarkan bawah UNHCR.
  • Belanja bulanan bagi seorang pelajar di RISE adalah RM600 seorang.
  • Kos sebulan untuk RISE adalah RM30,700 dan setahun, RM368,400 (untuk 33 orang pelajar).
  • Majoriti ibu bapa pelajar bekerja sebagai pemungut sampah, pemotong rumput, pencuci bangunan dan buruh kasar.
  • RISE yang diurus serta dibiayai sepenuhnya oleh IRM dan dirasmikan oleh Duta Khas Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Tan Sri Syed Hamid Albar itu terbuka kepada anak pelarian Rohingya berusia antara enam hingga 16 tahun.
  • Kelas yang bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad itu memberi penekanan pendidikan asas iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Myanmar, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.