“Kalau ikut pendapatan abang, zakat memang tak kena,” ujar amil bertugas.

“Tak kena? Kenapa?”

“Baki pendapatan abang ni RM3 sahaja. Nisab zakat jauh daripada cukup. Abang ni belum wajib bayar zakat, tetapi sepatutnya pihak Baitulmal yang bantu abang untuk bantuan zakat,” sambung amil tersebut.

“Allah tuan. Seumur hidup saya, tidak diajar meminta bantuan daripada orang. Kalau mahu mesti berusaha sendiri. Tak apalah. Meskipun saya tidak layak, saya mahu bersihkan juga harta saya. Maka RM3 ini saya mulakan untuk bayar zakat.”

Sejak dari itu, Asiran Jamal, 46, yang merupakan nelayan dan pengusaha produk laut menjadi pengunjung setia kaunter PPZ Labuan saban minggu untuk membayar terus zakatnya setiap kali membawa pulang rezeki dari samudera.

Inilah kisah seorang nelayan tegar. Sejak usianya masih tujuh tahun, lautan sudah menjadi teman setianya. Mewarisi kerjaya ayahnya, Asiran menjadi nelayan seumur hidupnya hampir 39 tahun hinggalah ke hari ini.

Itulah mata pencarian hidupnya. Itulah juga rezekinya turut dirasai isteri dan enam anaknya yang mana tiga daripadanya merupakan anak angkat. Kali ini, kisah dari Kampung Lubok Temiang, Wilayah Persekutuan Labuan menjadi penghias Syaraful Hayah, menyingkap tirai awal 2018.

RUTIN HIDUP NELAYAN

Lazimnya nelayan terkenal dengan konotasi kemiskinan dan kesusahan. Namun, bagi Asiran beliau ingin mengubah paradigma itu. Aspirasi beliau ingin menaikkan martabat para nelayan terutama dari aspek menjadi pembayar zakat.

Seawal pukul 6 pagi, Asiran bersama anak buahnya seramai empat hingga lapan orang akan turun ke laut sehingga kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Hari bekerja mereka ditetapkan sebanyak tiga hari sahaja seminggu iaitu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

Ia bertujuan memberi ruang kepada beliau dan rakan-rakan sekerja menikmati kehidupan bersama keluarga atau mencari rezeki lain di daratan. Paling utama, peluang beribadah khususnya pada hari Jumaat.

Selain itu, Asiran mempunyai kemahiran tersendiri menangkap ikan. Penulis berpeluang menyaksikan sendiri dan merasai pengalaman di tengah lautan sewaktu kunjungan rasmi ke Labuan. Tangkapan dibuat hanya menggunakan bubu yang diperbuat daripada jaring dan batang besi tanpa menggunakan umpan.

Bagi yang ingin melihat sendiri boleh layari facebook beliau, Bubu Emas. Kagum dan teruja melihat anak didik Asiran begitu tangkas berenang di tengah lautan dan menyelam hampir 20 kaki ke dasar lautan bagi mengikat cangkuk dan membawa naik bubu ke atas bot.

Alhamdulillah, hasil tangkapan kadangkala mencecah hampir 10 bubu sehari. Semua tangkapan akan terus dijual setelah tiba di jeti pada pukul 1 petang dan kebiasaannya akan habis terjual selewat-lewatnya pukul 3 petang. Pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum dan yang paling ramai adalah masyarakat Cina.

KEAJAIBAN KURNIAAN TUHAN

Asiran percaya semakin kita memberi dan membantu, Allah akan sentiasa memberikan bantuan dan reda-Nya. Boleh dikatakan harga ikan dijual Asiran adalah antara termurah di Labuan.

Bukan itu sahaja, beliau sendiri mempunyai hasrat agar golongan masyarakat marhaen dapat membeli ikan segar dengan harga berpatutan. Justeru, beliau memberi potongan harga istimewa kepada ibu tunggal, warga emas, pesara tentera dan khasnya golongan asnaf.

Tidak hairanlah sokongan terus diberikan oleh pelanggan. Pernah diceritakan bahawasanya hasil tangkapannya terjual habis dalam masa setengah jam sahaja sedangkan ada peniaga lain yang masih meneruskan jualan hingga lewat petang.

Seperkara juga menarik, apabila seorang pelanggannya yang lumpuh pernah mengatakan meskipun membeli ikan jenis sama dari kedai berlainan, namun rasa dan kualiti ikan dijual Asiran adalah lebih lazat dan segar.

Adat resam di lautan. Ribut dan badai jadi ujian. Tatkala nelayan-nelayan lain ditimpa badai hingga menyebabkan bot mereka terbalik dan karam, Asiran dan anak buahnya terselamat. Bubu yang dipasangnya juga tidak pernah dicuri orang lain mahupun diperlaku secara khianat.

Adakalanya, nelayan lain pulang dengan tangan kosong, tetapi Asiran masih mendapat hasil tangkapan dan membolehkan beliau menunaikan ibadah zakat.

INSPIRASI DAN HARAPAN

Inilah kisah dan perjuangan tersendiri seorang wira rakyat yang wajar dijadikan inspirasi juga teladan. Meskipun hanya berpencak di gelanggang kecil, namun beliau adalah yang terunggul dalam kelasnya.

Perjuangan beliau menaikkan martabat hidup dan maruah insan bergelar nelayan juga sesuatu yang terpuji. Peluang kerjaya yang terhasil daripada pendapatan hidupnya mampu memberi sinar dalam gelita nestapa insan memerlukan.

Buktinya, lihatlah sahaja pekerjanya yang terdiri daripada kalangan asnaf penerima zakat, warga emas dan ibu tunggal menumpang tuah rezeki dan kebaikan dihulurkan.

“Matlamat saya adalah untuk berbakti. Saya mahu mencetus kesedaran buat nelayan lain agar berdikari dan tidak bergantung kepada peraih yang rata-rata memperdaya. Tangkap sendiri dan jual sendiri, Insya-Allah usaha itu ada ganjaran tersendiri,” ujar Asiran.

“Saya juga mahu membetulkan persepsi. Ramai yang salah konsep. Hari ini bayar zakat, sudah kaya esok harinya. Bayar zakat ini satu tuntutan. Allah yang minta. Tunaikan ikhlas kerana-Nya. Pasti, janji-Nya takkan dimungkiri,” Asiran menutup bicaranya penuh hikmah.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah harta seseorang itu berkurang kerana sedekah (zakat). Tidaklah Allah akan menambahkan sesuatu kepada insan yang suka memaafkan kecuali kemuliaan. Tidaklah pula seseorang yang merendah diri (tawaduk) kerana Allah melainkan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia akan mengangkat darjatnya.” - Riwayat Muslim