Namun itulah cabaran yang terpaksa ditempuh oleh jejaka dari Palestin ini selepas memikul amanah memegang jawatan tersebut di Surau Solat Jumaat An-Naim, Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sejak dua tahun lalu.

Menceritakan kerjayanya itu, Rami Bahae Noman, 25, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat tempatan lebih-lebih lagi dalam bidang agama yang diceburinya.

“Pada mulanya saya dipanggil untuk menjadi imam tarawih pada 2016. Kemudian dipanggil sekali lagi pada tahun ini sehingga saya ditawarkan untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai imam di surau ini.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini dan fikir inilah peluang terbaik untuk berkongsi ilmu agama bersama saudara seislam selain berpeluang membina lebih banyak kenalan.

“Sekarang, saya sedang menumpukan usaha mengajar al-Quran dan mengajar kelas Bahasa Arab kepada ahli qariah Surau An-Naim dan penduduk setempat,” katanya kepada Mega Mimbar baru-baru ini.

Membina kerjaya di negara bertuah ini sudah cukup menggembirakan hatinya namun ada sesuatu yang lebih bermakna untuknya apabila turut bertemu jodoh dengan seorang wanita tempatan.

Menceritakan detik manis itu, dia berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hati yang berasal dari Kelantan, Che Rohaya Che Hussin, 27.

“Kami mula berkenalan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Hubungan kami semakin rapat dalam tempoh perkenalan selama lima bulan. Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk mengahwininya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik.

Rami Bahae Noman yang kini menyambung pengajian Master dalam bidang Kewangan di UIAM berkata, mengahwini gadis tempatan banyak mendedahkannya dengan budaya, adat dan resam masyarakat Melayu.

“Banyak perbezaan terutama dari sudut perayaan, pakaian dan makanan antara Malaysia dan Palestin. Namun, itu tidak menghalang saya mempelajari perkara baharu ini dengan diberi tunjuk ajar oleh isteri khususnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Rami Bahae Noman berterima kasih kepada masyarakat Malaysia kerana bermurah hati dengannya sepanjang empat tahun tinggal di negara ini.

“Saya boleh katakan rakyat Malaysia sangat menghargai orang luar yang berkunjung di sini tidak kira bagi tujuan menuntut ilmu atau mencari peluang pekerjaan,” katanya penuh terharu.

Ditanya mengenai rancangan pada masa depan, pemuda yang diberi jolokan penduduk sebagai Imam Rami ini berkata, dia berhasrat untuk menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

“Saya juga bercita-cita untuk membina sebuah sekolah Islam di negara ini dan mempergiat misi bantuan kemanusiaan ke negara-negara luar yang tertindas khususnya di Syria dan Palestin tanah air tercinta,” katanya.