Namun malangnya komunikasi yang dekat semakin jauh hingga hubungan semakin merenggang seperti mengundang berantakan dalam hubungan antara suami isteri dan ahli keluarga.

Penyakit bawaan teknologi ini, bukan sahaja menyebabkan kehancuran rumah tangga malah menyebabkan pengguna teknologi menganggap orang yang patut diberikan perhatian, dianggap sebagai pengacau dalam kehidupan sosialnya.

Ada suami dan isteri sanggup memasang kata laluan agar suami atau pasangan tidak mampu membaca pesanan ringkas kekasih atau kawan gelap mereka. Nauzubillah!

Dewasa ini sememangnya ramai yang beralasan untuk mengadakan program-program reunion atau pertemuan semula untuk meningkatkan ukhuwah. Tidak cukup bersembang di media sosial masih perlu untuk berjumpa empat mata.

Namun apa menyedihkan hubungan ukhuwah yang sepatutnya memberi berkat dan menggandakan pahala dalam kehidupan insan menjadi punca hubungan suami isteri yang sepatutnya dipelihara dan disuburi, mati tidak berkubur.

Dari segi bahasa, ukhuwah berasal dari perkataan akhun yang membawa erti saudara, teman, sahabat dan lain-lain lagi.

Dari segi istilah, menurut al-Quran, ukhuwah bermaksud perasaan kasih sayang, tolong menolong, bantu-membantu, bertolak ansur, bermesra dan cinta mencintai antara sesama umat Islam.

Firman Allah: “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat,” (Surah al-Hujurat: 10).

Begitu indah sekali erti ukhuwah yang diperinci oleh Islam. Tetapi hari ini istilah ukhuwah disalahertikan hingga ada yang menganggap ikatan ukhuwah harus diperkukuh dengan menghancurkan ikatan sedia ada.

Cinta reunion misalnya menjadi punca kepada berlakunya perceraian sebuah keluarga yang asalnya bahagia. Apabila pasangan suami atau isteri bertemu dengan sahabat lama yang pernah diminati semasa program reunion, maka luka lama berdarah kembali.

Lebih menyakitkan apabila cinta reunion di aplikasi media sosial turut menyumbang kepada cinta lama berputik kembali walau ada yang berumur menjangkau hampir setengah abad.

Semuanya kerana manusia adalah makhluk yang dijadikan Allah mempunyai nafsu hingga kadang-kadang tidak terkawal dan menyumbang kepada penzinaan.

Sudah jelas ia suatu dosa besar yang terbit hasil daripada percintaan bersandarkan memori silam.

Sebaiknya bagi pihak yang ingin menganjurkan program reunion agar mewujudkan Jawatankuasa Reunion yang mempunyai Biro Agama yang bertujuan memantau program untuk dianjurkan agar pada setiap masa berada dalam suasana patuh syariat.

Bukan tidak boleh bertemu dan makan-makan tetapi biarlah ia menjadi pertemuan yang dirahmati Allah SWT. Pastikan makanan dan minuman yang dihidangkan halal dan suci.

Lokasi perjumpaan biarlah di kawasan tidak menimbulkan syubhah seperti dewan terbuka atau kawasan sekolah kita dahulu.

Sebaiknya apabila mengadakan majlis reunion, ketepikan sebentar kenangan mengusik jiwa melibatkan soal hati.

Tumpukan pada pengkisahan pengalaman-pengalaman keagamaan seperti pergi haji, umrah mahupun kisah anak-anak dan cucu yang mempunyai pelbagai kerenah.

Elakkan reunion yang pengacaranya mengusik hubungan antara si polan dan si polan ketika dalam kelas semasa usia remaja dahulu.

Biarkan nostalgia menjadi sejarah dalam lipatan akal selamanya. Usah diungkit dan dibangkitkan hingga kasih beralih arah begitu pantas.

Reunion biarlah diadakan untuk mencari keberkatan bukan kemudaratan pada usia menjelang maghrib ini.

Sebaiknya, wujudkan hubungan ukhuwah lebih baik antara rakan kelas yang kini menjadi isteri orang. Mungkin jika dua rakan tidak berhasil menjadi suami isteri insya-Allah anak masing-masing boleh dijadikan pasangan atau lebih tepat berbesan kerana Allah.

Sebagai berkongsi keresahan, reunion pasangan mungkin mengundang kebimbangan kerana sejarah hidupnya bukan semua diceritakan kepada kita walau sebagai suami mahupun isteri. Tahu-tahu nanti berlaku perkara yang membelakangi sebagai suami dan isteri.

Dalam Islam, kita dianjurkan untuk melebihkan perkara menjurus kepada kebaikan berbanding yang sebaliknya.

Jika reunion mempunyai potensi untuk rumah tangga bahagia meretak eloklah dielakkan daripada diraikan. Cukuplah setakat bertemu dan bergurau senda di ruangan media sosial kerana ia melibatkan sentuhan pemikiran secara terus.

Tepuk iman tanyalah takwa, adakah kita berharap impak reunion menjanjikan kebahagiaan atau meruntuhkan ‘masjid’ yang dibina sekian lama?

Adakala perpisahan dua hati baik untuk hati masing-masing, namun masih ada yang cuba bermain api dengan mengatur pertemuan untuk menghangatkan ‘cinta’ lama.

Dalam konteks ini sudah pasti pertemuan sebegini tidak digalakkan dalam agama kita. Justeru ingatilah cinta pertemuan semula paling agung adalah antara kita dan Rasulullah SAW di syurga kelak.

Jika begitu mengapa sibukkan diri dengan majlis reunion yang sukar diramal kesudahannya, berkat atau mudarat!