Inilah yang dilakukan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Contohnya, dalam Perang Uhud ketika tentera Musyrikin Quraish datang menerpa, sejumlah besar sahabat nabi gugur syahid kerana menggadai tubuh mereka mempertahankan Baginda. Bahkan jari Talhah cedera parah kecacatan kerana mempertahankan Baginda dalam kegemparan perang itu.

“Qays berkata: “Aku lihat tangan Talhah (bin ‘Ubaydillah r.a.) lumpuh tidak bergerak (kerana) menggunakannya untuk mempertahankan nabi SAW dalam perang Uhud,” - Sahih Bukhari dan Sunan Nasa’i.

Subhanallah! Hebat sekali pengorbanan para sahabat. Pun begitu, semua pengorbanan itu masih kecil jika mahu dibandingkan pengorbanan Baginda yang ‘satu ini’ iaitu pengorbanan menyimpan doa mustajab demi umatnya.

“Abu Hurayrah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: Setiap nabi memiliki doa (khusus) yang akan dikabulkan. Setiap nabi tergesa-gesa menggunakan doanya. (Manakala) aku menyimpan doaku untuk memberi syafaat kepada umatku (kelak) pada hari kiamat. Ia (habuan syafaat) itu akan diperoleh oleh orang yang mati antara umatku yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun,” - Sahih Muslim.

Jika diperhatikan, para nabi lain sudah menggunakan doa istimewa yang diperuntukkan Allah pada mereka seperti Nabi Nuh a.s.:

“Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang kafir itu hidup di atas muka bumi! “Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar,” (Nuh [71:26-27]).

Juga Nabi Saleh a.s.:

“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina daripada Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah ia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.”

“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan”.

“Maka ketika datang azab Kami, Kami selamatkan Soleh berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat daripada Kami, dan Kami selamatkan mereka daripada azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Dan orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing,” (Hud [11:64-67]).

Ia pernah juga digunakan oleh Nabi Musa a.s. terhadap Firaun:

“Dan Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua kaumnya barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka daripada jalan-Mu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya,” (Yunus [10:88]).

Setelah tahu betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada kita sehingga sanggup menyimpan doa istimewa yang diperuntukkan khusus kepada Baginda untuk memberikan bantuan atau syafaat kepada kita di akhirat kelak, maka sudah sewajibnya kita membalas penghargaan serta menyambut cinta Baginda dengan benar-benar menjadi Muslim sejati sebagaimana manual yang Baginda tinggalkan.

Mungkin ada yang menganggap remeh simpanan doa syafaat di akhirat kelak. Ketahuilah! Usahkan kita, para nabi pun gentar dan resah mengenangkan kegemparan kiamat sehingga mereka mengucapkan.

“(Pada hari ini iaitu hari kiamat, urusan kalian) adalah sendiri-sendiri. Pergilah kamu meminta bantuan (syafaat) kepada nabi lain selain aku …. [ini adalah petikan pendek daripada sebuah hadis yang panjang] - Sahih Bukhari dan Muslim.

Ayuh! Marilah kita berdoa agar dikurniai cinta kepada Rasulullah SAW dan berpeluang mendapat siraman doa yang Baginda simpan untuk kita semua di akhirat kelak. Allahumma Solli Wa Sallim Wa Barik ‘Ala Muhammad!