Dia juga dalam rancangan itu mampu bertahan berada di tanah tinggi tanpa menghadapi masalah untuk bernafas. Berlainan dengan keadaan manusia normal yang lazimnya akan menghadapi masalah tersebut apabila sampai pada tahap ketinggian tertentu kerana nipisnya oksigen di tanah tinggi.

Masalah ini dikenali sebagai ‘High Altitude Sickness’.

Usah cepat melopong dengan kelebihan itu kerana manusia kesayangan kita semua, Nabi Muhammad SAW memang memiliki banyak kelebihan fizikal yang luar biasa.

Antaranya baginda mampu melihat para malaikat, jin dan syaitan. Rasulullah terbang ke langit tinggi bersama Jibril tanpa memerlukan peralatan moden yang diperlukan angkasawan.

Bukan setakat itu, deria Baginda juga sangat luar biasa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis maksudnya:

Daripada Abu Dhar r.a. berkata, Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya aku lihat apa yang kamu tidak lihat. Aku juga dengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bergetar dan sangat patut baginya untuk bergetar kerana tiada tempat seluas empat jari melainkan ada sahaja malaikat yang meletak dahinya sujud kepada Allah (maksudnya langit dipenuhi para malaikat yang beribadat kepada Allah). Demi Allah, sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, pasti kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis. (Pasti) kamu juga tidak akan bersenang-lenang bersama isteri atas katil dan pastinya kamu akan keluar ke jalanan mengharap rahmat Allah.” - Riwayat Tirmizi.

Selain itu, banyak bukti yang menunjukkan kelebihan deria lihat, dengar dan rasa terdapat pada Rasulullah SAW. Antaranya;



1) Baginda mampu dengar, lihat dan tahu situasi dalam kubur:

Uthman bin Affan berkata: “Apabila selesai mengebumikan jenazah, Baginda duduk seketika di kuburnya dan bersabda: Mohonlah ampunan untuk saudaramu ini dan mohonlah pada Allah agar memberikannya keteguhan (jiwa) kerana sesungguhnya dia sekarang disoal (oleh dua malaikat).” - Riwayat Abu Daud

2) Baginda juga mampu melihat dari belakang kepalanya seakan ada mata tambahan di situ.

Kenyataan ini memang pelik bunyinya, namun terdapat hadis berbicara mengenainya:

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sempurnakan pergerakan rukuk dan sujud (kamu). Demi jiwaku yang berada dalam tangan-Nya (kuasa-Nya). Sesungguhnya aku memang melihat dari belakangku apabila kamu rukuk dan sujud.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, adakah kemampuan Baginda ini hanya berbentuk bayangan atau pandangan mata hakiki? Ia dibincangkan oleh para ulama dan ramai ulama berpandangan ia adalah pandangan hakiki atas kapasiti mukjizat Baginda. (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

3) Mata Baginda tidur sedangkan hatinya tidak

Aishah r.a. pernah ditanya mengenai bentuk solat malam Nabi pada bulan Ramadan. Ini jawapan beliau: “Rasulullah tidak menambah solat malam pada bulan Ramadan dan bulan lainnya lebih daripada 11 rakaat. Baginda mendirikan solat empat rakaat, jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu kerana ibadat Baginda tiada bandingnya dengan orang lain). Baginda pun meneruskan solatnya empat rakaat lagi dan jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu). (Selepas itu Baginda tidur seketika) dan Baginda teruskan lagi solatnya sebanyak tiga rakaat.

Aishah bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur (seketika) sebelum solat witir (dalam bilangan ganjil).” Rasulullah menjawab: “Wahai Aishah, dua mataku tidur tetapi hati jantungku tidak tidur.” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Tingkat kecintaan

Mudahnya, kita katakan dalam peristiwa tersebut, mata zahir Rasulullah tidur nyenyak dek keletihan teramat sangat sehingga gagal bertindak balas dengan sinar matahari. Ini sifat manusia biasa yang ada pada Baginda. Hati jantung Baginda pula kekal sedar beribadat kepada Allah dalam kapasiti Baginda sebagai seorang nabi.

Ini antara beberapa kelebihan Rasulullah SAW yang saya jumpa dan mampu kongsi agar cinta dan kagum kita kepada Baginda mencanak naik.

Apa yang lebih penting bukan sekadar kagum dengan kelebihan luar biasa deria baginda, tetapi menggigit kemas segala peninggalan baginda.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir.” (Al-Imran : 31-32).