Asas utama Islam ialah al-Quran, kemudian diikuti hadis Rasulullah SAW. Maka umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. Nas al-Quran menyatakan agar ditaati Allah dan Rasul-Nya. Maksud taat kepada Allah ialah mentaati-Nya melalui perintah yang ada di dalam al-Quran. Manakala maksud taat kepada Rasul-Nya adalah mematuhi rasul melalui perintah yang terdapat dalam riwayat hadis.

Memang al-Quran tidak menjelaskan aurat secara panjang lebar. Huraian ini ada dalam hadis. Para ulama membuat ketetapan hukum berdasarkan al-Quran dan hadis.

Jika kita tidak mahu menerima riwayat hadis, maka banyak isu akan menjadi tidak jelas.

Contohnya solat yang tidak dinyatakan bilangan rakaat solat dalam al-Quran. Bagaimana hendak bersolat jika kita menolak riwayat hadis. Dalam al-Quran, tidak dinyatakan zakat pendapatan, zakat saham dan pelbagai jenis zakat. Maka bagaimana dengan wang simpanan kita? Adakah tidak diwajibkan zakat? Dalam al-Quran, tidak dinyatakan bahawa haram bagi lelaki memakai emas dan sutera. Maka adakah kita akan berfatwa bahawa harus bagi golongan lelaki memakai emas dan sutera?

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah menerima al-Quran dan juga hadis. Ini prinsip asas sebagai seorang Mukmin.