Inilah sebenarnya realiti dan rutin dalam kehidupan masyarakat pelarian Rohingya yang dianggarkan berjumlah kira-kira 800,000 orang di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh sejak ketibaan mereka secara beramai-ramai pada Ogos tahun lalu.

UJIAN DAN DUGAAN SEBENAR

Tidak lama lagi, memasuki pertengahan Mei bakal tibanya bulan istimewa bagi umat Islam sedunia termasuk etnik Rohingya yang majoriti beragama Islam. Ketika ketibaan bulan mulia ini bakal disambut dengan penuh gembira dan kesyukuran oleh umat Islam, berlainan pula bagi etnik Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian.

Ia bakal menguji dengan sebesar-besar ujian buat mereka kerana bukan sahaja memerlukan mereka menahan lapar dan dahaga tetapi juga ujian spiritual dalam penuh erti kesabaran bagi memenuhi tuntutan fardu Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada Ramadan. Meskipun sudah terbiasa berlapar dan dahaga, ketibaan Ramadan pastinya menguji mereka untuk mendapatkan makanan dan minuman daripada sumber yang tidak pasti, untuk berbuka dan bersahur, untuk bayi dan anak-anak, untuk ibu bapa dan warga yang sakit serta uzur.

Tanpa wang ringgit dan harta benda yang ditinggalkan atau sudah dirampas di kampung halaman di Myanmar, tidak dibenarkan bekerja dan tidak boleh keluar dari kawasan kem, bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Bangladesh dan NGO antarabangsa menjadi satu-satunya harapan serta sandaran bagi mereka menghadapi Ramadan ini.

BANTUAN MAKANAN HANYA SEDIKIT

Senario di sebalik kehidupan ini, dalam kelangsungan hidup mengharapkan ihsan orang lain, mereka terpaksa berjalan kaki dengan berkaki ayam berkilometer jauhnya dalam keadaan fizikal muka bumi pelbagai; bukit, lembah, berdebu dan dalam suhu panas melebihi 30 darjah Celsius pastinya akan menguji kekuatan fizikal serta mental mereka.

Realitinya, kebanyakan kem berada jauh ke dalam hutan dan terpencil sementara pusat-pusat bantuan terletak di jalan-jalan besar. Jumlah bantuan makanan seperti beras, tepung, minyak masak dan susu bagi sesebuah keluarga serta individu adalah minimum yang cukup untuk tempoh jangka pendek sahaja.

Sementara golongan ibu, kanak-kanak dan warga emas yang tinggal di kem pastinya turut diuji dengan bahang panas mentari lantaran rumah mereka dibina daripada zink, plastik mahupun kanvas yang menyerap haba panas seolah-olah mereka tinggal di dalam ‘ketuhar’ yang membakar.

Jika selama ini pun mereka lebih selesa ‘bersidai’ di luar rumah-rumah kerana tidak tahan dengan cuaca panas, ketibaan Ramadan sudah dapat dijangkakan bagaimana ‘dahsyatnya’ keadaan mereka nanti.

BEKALAN AIR BERSIH, KAYU API SUKAR

Mendapatkan bekalan air bersih dan kayu api sebagai bahan asas utama kehidupan pelarian juga akan menjanjikan cabaran besar buat mereka. Di sebalik pelbagai usaha antarabangsa termasuk dari Malaysia yang memberikan bantuan-bantuan diperlukan, realitinya masih jauh daripada mencukupi disebabkan jumlah pelarian yang terlalu besar.

Jumlah pam air masih tidak mencukupi, sesetengah pelarian terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya, mendaki bukit dan merentas lembah dan cerun selain bergantung kepada air dari lembah dan takungan hujan yang kotor lagi berbau. Pam-pam yang dibina juga rosak disebabkan penggunaan yang berlebihan.

Kayu juga sangat penting bagi pelarian. Selain dijadikan bahan membina tempat tinggal, ia turut digunakan sebagai bahan api untuk memasak selain mendinginkan suasana pada malam hari yang sejuk sehingga mencucuk tulang, tambahan pula kebanyakan pelarian tidak memiliki kemudahan tempat tidur yang sewajarnya serta tidak memiliki pakaian sempurna.

Untuk mendapatkan kayu juga semakin sukar hari ini disebabkan hutan dan belukar sebagai punca utama bekalan kayu semakin berkurangan kerana banyak kawasan sudah diteroka dan digondolkan dalam skala besar sebagai kawasan kem pelarian. Kini mereka terpaksa membeli untuk memperolehnya sedangkan wang tiada!

CABARAN DAN DUGAAN SPIRITUAL

Di sebalik beberapa ujian fizikal di atas, ujian sebenar adalah berupa ketahanan spiritual yang ada hubungan dengan soal keimanan.

Menjerit, menangis, berkelahi, histeria, mengeluh dan rintihan adalah fenomena biasa dalam kalangan pelarian dan ia dapat disaksikan di mana-mana di kawasan kem disebabkan tekanan hidup.

Malah, di pusat bantuan dapat dilihat bagaimana mereka ini berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan sehingga ada yang terpaksa menipu untuk mendapatkan lebih daripada sekali bantuan. Mana yang tidak bernasib baik disebat dengan kayu dan rotan oleh petugas bagi mengawal keadaan.

Kadang-kadang menitis air mata melihat keadaan mereka di sini demi meneruskan kelangsungan hidup.

Tentunya Ramadan menuntut mereka untuk bersabar sepenuhnya tanpa sebarang perkara atau perbuatan yang boleh membatalkan puasa mereka selain lapar dan dahaga.

Dalam keadaan ini, pelarian yang layak berpuasa, mereka tiada pilihan selain perlu menjaga mulut, lidah, hati, tangan dan anggota fizikal lain daripada sebarang tindakan seperti yang mereka lakukan di luar bulan puasa, ibarat ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’ hanya doa dan simpati buat mereka agar terus bersabar dan menahan ujian maha berat ini.

Perasaan menyambut Ramadan dalam kalangan pelarian Islam Rohingya mungkin gembira seperti umat Islam yang lain, cumanya perasaan untuk menyediakan dan menikmati waktu berbuka selepas seharian berpuasa itu berbeza, adakah juadah untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga, begitu juga untuk bersahur sebagai persiapan untuk meneruskan ibadat keesokan harinya.

Sepanjang 30 hari berpuasa pada Ramadan pastinya sesuatu yang ‘luar biasa’ bagi pelarian Rohingya di bumi Bangladesh.

SUMBANGAN DAN BANTUAN RAMADAN

Bagaimanapun, sebagai umat Islam kita adalah bersaudara, sakit dan pening mereka ibarat ‘cubit paha kanan, paha kiri juga terasa sakitnya’ penderitaan mereka masih boleh dibantu dengan sumbangan kewangan serendah RM5 untuk pelarian berbuka dan bersahur dapat meringankan kesusahan mereka di sepanjang Ramadan.

Bantuan wang ringgit ini akan digunakan untuk membeli beras, kacang dal, roti, minyak masak, ayam daging, buah-buahan serta kurma untuk mereka.

Mudah-mudahan derma dan sumbangan ini bakal menjadikan ibadat puasa di kem pelarian ibarat ‘padang pasir yang disirami hujan yang disulami zikir memuji Allah pada siang dan malam hari’ hasil doa dan derma rakyat Malaysia yang prihatin.

Bagi yang ingin berbuat demikian bolehlah menghulurkan sumbangan mereka kepada:

Tabung Ramadan Rohingya, nombor akaun

Maybank: 5699 5405 3620