Selain berpuasa, umat Islam memanfaatkannya untuk bersedekah, menyantuni fakir miskin dan anak yatim, mendidik hawa nafsu serta menambah amal ibadat.

Ini berbeza dengan kumpulan pengganas yang ‘menyeru jihad’ dan ‘operasi mati syahid’ pada Ramadan.

Kumpulan pengganas itu melihat bulan mulia itu sebagai ‘Bulan Jihad’ dan ‘Bulan Bencana’, malah mati syahid pada Ramadan dianggap lebih mulia, sekali gus menggalakkan militan dan penyokong untuk menyerang dan membunuh orang awam termasuk Muslim (yang dianggap murtad/kafir) dan bukan Muslim.

RAMADAN 1436 (2015)

  •  26 Jun, Seifeddine Rezgui, 23, seorang pelajar membunuh 38 orang dan mencederakan sekitar 39 orang di kawasan pantai di Beach Resort Hotel di Tunisia (kebanyakannya pelancong British).
  •  Hari sama menyaksikan serangan militan Daesh, Abu Sulaiman al-Muwahhid di Masjid Syiah di Kuwait yang membunuh 27 orang dan mencederakan 227 orang selain serangan bunuh diri oleh Daesh yang membunuh 20 orang di wilayah Al-Hasakeh, Syria.
  •  Tarikh sama, militan Al-Shabaab, pakatan Al-Qaeda membunuh sekurang-kurangnya 70 tentera Afrika Utara dari Burundi di Leego, Somalia dan mencederakan 27 orang.
  •  Yassin Salhi, penyokong Daesh membunuh majikannya, Hervé Cornara dan mencederakan beberapa lain dalam serangan di Saint-Quentin-Fallavier, Perancis.
  •  Hari yang sama, serangan dan penggunaan 13 pengebom bunuh diri Daesh yang menyebabkan lebih 200 orang awam dan lebih 30 militan Kurdish terbunuh, serta lebih 300 orang awam tercedera di Kobani, Syria.

RAMADAN 1437 (2016)

  •  12 Jun, Omar Mateen, warga Amerika Syarikat (AS) yang mendapat inspirasi Daesh, menjalankan serangan lone wolf dan membunuh 49 orang di Orlando, AS.
  •  27 Jun, lapan pengebom bunuh diri Daesh menyerang perkampungan Kristian di Lebanon.
  •  Sehari selepas itu, tiga penyerang meletupkan diri dan membunuh lebih 45 orang serta mencederakan 147 yang lain dalam serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul.
  •  Di Malaysia, 28 Jun menyaksikan serangan pertama Daesh di Malaysia di Puchong yang mencederakan lapan orang.
  •  1 Julai, lima militan membunuh lebih 20 orang dalam serangan ke atas Holey Artisan Bakery di Dhaka, Bangladesh (kebanyakannya warga asing). Sebelum terbunuh, militan memberitahu tebusan, “kami akan pergi, jumpa anda di syurga.”
  •  3 Julai menyaksikan sebuah minivan Daesh yang meletup dan membunuh sekurang-kurangnya 143 orang di daerah Karada, Baghdad, sebahagian besarnya kanak-kanak yang menyambut sekolah yang baru berakhir, dengan anggaran 300 terbunuh sepanjang Ramadan di Baghdad sahaja.
  •  Ramadan juga menyaksikan dua pegawai polis dibunuh Larossi Abballa di Paris, dan serangan bunuh diri yang membunuh tujuh anggota pasukan keselamatan Jordan di sempadan Syria.
  •  Di Arab Saudi, serangan berhampiran Masjid Nabawi menyebabkan empat kematian (4 Julai), dua serangan ‘tidak menjadi’ ke atas Masjid Syiah di Qatif, dan pengebom bunuh diri di Jeddah yang mencederakan dua polis.
  •  Penganalisis menganggarkan sekurang-kurangnya 14 serangan dilancarkan yang membunuh antara 432-532 orang dan mencederakan lebih 730 orang sepanjang Ramadan 1437.

RAMADAN 1438 (2017)

  •  Ramadan tahun ini menyaksikan pakatan Daesh di Filipina yang diketuai Isnilon Hapilon dengan sekitar 100 militan Maute menyerang Marawi, Filipina pada 23 Mei, membunuh ramai orang awam Muslim dan Kristian selain tentera Filipina.
  •  29 Mei mengejutkan ramai apabila dua kereta pengebom bunuh diri membunuh sekurang-kurangnya 27 orang dan mencederakan berpuluh lain di Baghdad.
  1.  Kereta pertama meletup di luar kedai ais krim yang popular, membunuh 15 orang dan mencederakan lebih 40 orang di Daerah Karrada.
  2.  Kereta kedua meletup di Daerah Shawaka, membunuh 12 orang dan sekurang-kurangnya 23 tercedera, dengan serangan ini disasarkan kepada penganut Syiah, dan kebanyakan yang meninggal adalah kanak-kanak dan wanita.
  •  30 Mei pula melihat Polis Jerman menahan seorang remaja Syria berusia 17 tahun di Uckermark yang disyaki merancang melancarkan serangan bunuh diri di Berlin.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN

Kumpulan pengganas menyalah tafsir, manipulasi seruan jihad di dalam al-Quran dan hadis untuk melancarkan ‘bulan jihad’ dan ‘operasi mati syahid’ yang bertentangan dengan Islam.

‘Bulan jihad’ Daesh adalah untuk mendapatkan sokongan moral penyokong, memperbaiki imej kekalahan di lapangan, memecahkan komuniti Muslim serta mengubah persepsi dunia tentang kekuatan Daesh.

Komuniti Sunni-Syiah, Arab-Kurdish, Barat-Timur, Muslim-Kristian tidak terkecuali sebagai sasaran dalam ‘bulan jihad’ pengganas.

Serangan Holey Artisan Bakery memiliki motif yang sama dengan Serangan Movida iaitu pemerintah Muslim ‘dilihat’ menggalakkan maksiat yang dibawa Barat dalam kalangan Muslim. Pencegahan keganasan memerlukan pemerintah ‘mengawal hak bukan Muslim’ dalam negara Islam, bukan sekadar tangkapan ke atas operasi militan.

Serangan ke atas Barat adalah respons kepada serangan Barat ke atas Muslim di Syria-Iraq dan bertujuan menyemarakkan semangat anti-Muslim di Barat dan anti-Barat di negara Muslim. Ini membolehkan Daesh berterusan mendapat sokongan Muslim.

Serangan di luar Iraq-Syria menandakan bermulanya fasa keempat Daesh yang bermula daripada pemberontakan, kekhalifahan dan antarabangsa.

Serangan pengganas di luar Iraq-Syria dijangkakan tidak berakhir disebabkan kepulangan militan ke negara asal, kewujudan sel senyap yang berfungsi kembali, serangan lone wolf, konflik berterusan Muslim-bukan Muslim di seluruh dunia, dan usaha penyebaran ideologi Salafi Jihadi yang berterusan di media sosial dan Internet.