Hatta menggunakan tandas awam di taman rekreasi sekalipun memerlukan ‘tiket’ masuk sehingga ada yang mengenakan harga tidak munasabah. Bukan itu sahaja, ramai sanggup menghabiskan jutaan ringgit bagi memenuhi kehendak diri memiliki rumah agam, kereta mewah, telefon bimbit berjenama dan pelbagai pakaian terkemuka.

Segalanya itu dilihat seperti tiada masalah bagi kebanyakan orang, malah terasa sangat ringan asalkan dapat menyempurnakan kepuasan diri.

Namun, apabila membicarakan tentang agama, hujah sebaliknya pula diterima. Didakwa memperdagang dan mengambil kesempatan atas nama agama, usaha menyambung sunah Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam itu terus mendapat kritikan negatif.

Tidak terkecuali, pendakwah dan pertubuhan yang aktif menganjurkan program kebajikan turut mendapat tempias. Tidak seperti membelanjakan wang bagi kemewahan hidup, usaha mengumpulkan dana bagi tujuan menyebarkan dakwah dalam masa sama membantu meringankan beban golongan kesempitan hidup dirasakan terlalu berat walaupun hanya beberapa ringgit.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohd. Zaidi Ramli berkata, tidak pernah terjadi dalam sejarah orang menjadi miskin kerana bersedekah.

Malah tambahnya, dijanjikan oleh Allah SWT dengan rezeki yang berlipat ganda, sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya:

“Tidaklah sesuatu pemberian sedekah itu mengurangi banyaknya harta. Tidaklah Allah itu menambahkan seseorang akan sifat pengampunan-Nya, melainkan dia akan bertambah pula kemuliaannya.” - Riwayat Muslim

“Walaupun dia jutawan sekalipun, jika gagal menjadi dermawan hidupnya pasti akan mengalami kesusahan. Tetapi jika orang yang susah tetapi tetap bersedekah walaupun sedikit, pasti Allah memberikannya hidup senang. Sekalipun jika bukan kepadanya, kepada anak dan cucunya.

“Inilah rahsia bersedekah, lebih banyak kita menginfakkan harta pada jalan Allah, lebih banyak kelebihan yang diperoleh,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd. Zaidi berkata, sedekah juga merupakan penyubur dalam diri yang mampu memberikan kesihatan dan kecergasan, di samping pahala berterusan hingga ke hari akhirat.

Justeru katanya, bukan sahaja mengetahui kisah dan pelbagai hadis berkenaan kelebihan bersedekah, Yadim turut mengajak umat Islam turut sama mengamalkan sabda Rasulullah itu.

“Ramai tahu kisah pelacur Bani Israel yang diampunkan segala dosanya oleh Allah dengan hanya memberikan sesuap air kepada anjing yang kehausan. Namun berapa ramai umat Islam yang mengamalkan kelebihan hadis tersebut?

“Sedangkan memberi minum anjing mendapat pengampunan, bayangkan bagaimana pahala dan ganjaran Allah kurniakan kepada hamba-Nya yang bersedekah membantu golongan memerlukan lebih-lebih lagi beragama Islam.

“Pahalanya akan mengalir selagi dimanfaatkan orang ramai,” katanya.

Orang yang ingin menyumbang kepada Dana Dakwah Yadim boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Dana Infaq Yadim bernombor 566010625428 (Maybank Islamic) atau membuat potongan gaji, derma 
atau wakaf.

Dana dakwah, pendidikan Yadim

Sehubungan itu, membuka peluang kepada orang ramai bersedekah, Yadim melancarkan tabung kebajikan Yadim, Dana Dakwah bagi membolehkan pelbagai aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan dilaksanakan.

Mohd. Zaidi berkata, bukan sahaja bagi yang beragama Islam, malah seluruh penduduk di kawasan tersebut termasuk bukan Islam turut menerima manfaat daripada sumbangan disampaikan.

“Selain datang bagi membawa misi dakwah, Yadim turut menyalurkan sumbangan bagi tujuan kebajikan golongan sasar. Antara bantuan yang disalurkan adalah menyediakan keperluan asas bagi penduduk seperti membina telaga air.

“Dengan adanya telaga ini, bukan sahaja orang Islam, malah bukan Islam juga dapat menerima manfaat. Tujuan kita bukan untuk mengajak mereka memeluk Islam, tetapi cukup sekadar faham Islam dan menunjukkan bahawa Islam ini agama yang harmoni atau dikatakan ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat kepada seluruh alam).

“Ini juga merupakan usaha kita untuk meningkatkan keyakinan diri penduduk beragama Islam masyarakat pedalaman yang sering berasa rendah diri kerana tidak mampu menyumbang apa-apa kepada masyarakat setempat disebabkan miskin,” jelasnya.

Beliau berkata, menggunakan kemahiran tersendiri, Yadim menyasarkan golongan berbeza bagi mengelakkan berlaku pertindihan bantuan daripada pertubuhan lain.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengelakkan pertindihan fungsi, kita sentiasa mengenal pasti masyarakat yang dilihat keciciran bantuan terutama penduduk pedalaman.

“Bukan untuk bersaing dengan agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan lain, tetapi Yadim ingin melengkapkan bantuan agar semua yang berhak menerima manfaat. Kita sedar masih terdapat ramai golongan memerlukan.

“Begitu juga, kita turut memfokuskan dalam bidang pendidikan. Walaupun kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif dalam pendidikan, tetapi Yadim bertindak sebagai pelengkap dan memberi panduan kepada golongan keciciran hala tuju mereka terutama kepada golongan pedalaman,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohd. Zaidi berkata, dengan sokongan hampir 300 NGO seluruh negara kepada Yadim, beliau yakin bantuan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan kepada golongan sasar.

“Yadim bertindak sebagai penaung kepada NGO menerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).Setakat ini sebanyak 120 NGO bernaung secara rasmi bersama Yadim, manakala kira-kira 300 yang lain menyatakan sokongan terhadap Yadim.

“Ini membolehkan kita menyelaraskan bantuan dengan lebih efektif dengan menyasarkan golongan penerima berbeza,” katanya.