Namun hakikatnya kita tidak menyedari bahawa individu itu sentiasa bimbang memikirkan keselamatan hartanya. Begitu juga masanya sentiasa dipenuhi dengan tugas harian yang menghalang daripada memenuhi keperluan ahli keluarga lain untuk melakukan aktiviti bersama.

Tidak dinafikan setiap insan mengimpikan kebahagiaan hidup di dunia. Namun, mengambil contoh situasi berikut, definisi bahagia membawa maksud subjektif mengikut keperluan seseorang individu tersebut.

Bagaimanapun, adakah segala usaha dalam mengecapi kebahagiaan di dunia itu akan membawa kebahagiaan yang hakiki dan kekal hingga ke alam abadi iaitu akhirat?

Hakikatnya, umat Islam perlu menyedari bahawa, dalam menyingkap rasa bahagia, Islam telah memberi panduan kepada umatnya menerusi sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Aku sangat kagum akan keadaan orang beriman itu. Semua urusan (dalam hidupnya) baik baginya di mana keadaan itu hanya ada pada orang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya”. - Riwayat Muslim

Menurut hadis tersebut, Rasulullah menjelaskan bahawa hidup di dunia ini adalah anugerah dan kebaikan kepada manusia. Segala yang berlaku dalam kehidupan sama ada baik atau buruk merupakan suatu kebaikan jika mereka mengerti dan menghayati kehidupan ini dengan keimanan sebenar kepada Allah SWT.

Hanya orang beriman kepada Allah SWT merasakan bahawa hidup ini adalah medan penyempurnaan hakikat kehambaan kepada Allah. Ini kerana mereka tahu tujuan dihidupkan di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (ad-Dzariyaat: 56)

Ramai dalam kalangan manusia gagal menikmati hidup sebagai anugerah kerana tidak memiliki rasa kehambaan kepada Allah. Akibatnya, mereka menderhaka kepada Allah dengan melanggar perintah dan larangan-Nya.

Mereka juga merasa kecewa, gundah, keluh kesah, dilanda kesedihan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan terutama ketika ditimba musibah.

Walaupun pada zahirnya tersenyum, namun jauh di sudut hatinya terdapat kekosongan yang tidak terisi oleh segala kesenangan dan kemewahan di dunia ini.

Justeru, umat Islam perlu kembali muhasabah diri dengan merasai diri sebagai hamba Allah demi memperoleh kebahagiaan hakiki.

Umat Islam juga perlu menyedari bahawa matlamat sebenar kehidupan di dunia ini ialah untuk menyembah Allah di samping mengambil iktibar pengajaran kisah silam yang berlaku kepada umat terdahulu sebagaimana diceritakan dalam al-Quran.

Antara permulaan langkah yang boleh dilakukan bagi menuju jalan Allah demi memperoleh kebahagiaan hakiki ialah dengan meningkatkan ilmu agama. Ilmu agama penting dalam menyempurnakan ibadah supaya dapat menyinari kehidupan di akhirat kelak.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari ilmu agama dengan bertujuan untuk habuan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak.” - Riwayat Abu Daud.