Antara contoh yang jelas adalah penguasaan tentera Muslim ke atas Baitulmuqaddis (Palestin), kota Constantinople (Turki) dan Andalusia (Sepanyol).

Keamanan dan kemakmuran dinikmati penduduknya tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama. Sepanjang penguasaan itu, penduduknya bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

“Ini bertepatan dengan Islam sebagai agama Rahmatan Lil ’Alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam). Islam agama perdamaian, sangat toleran dan penuh dengan kelembutan serta kasih sayang.

“Islam menolak sikap kekerasan, terorisme, kebencian dan sebagainya,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Saudara Muslim peringkat Kebangsaan 2018 dan pelancaran portal E-Muallaf di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Paimuzi Yahya.

Pada konvensyen itu juga, Asyraf Wajdi turut menyampaikan Anugerah Tokoh Saudara Muslim peringkat Kebangsaan kepada Amran Anberasu Abdullah dan Siti Sarah Khoo Abdullah. Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM5,000 seorang berserta sijil.

Konvensyen sehari anjuran Jakim dan MAIWP itu menampilkan beberapa tokoh mualaf popular untuk membicarakan tentang hala tuju masa depan golongan saudara baharu di negara ini.

BERKEMBANG KERANA KEBENARAN

Mengulas lebih lanjut, Asyraf Wajdi memberitahu, pegangan kepada nilai berkenaan menjadikan Islam sebagai agama yang tidak perlu kepada kuasa politik atau tentera untuk berkembang.

Buktinya, beliau menambah, rata-rata saudara baharu yang memeluk Islam bukan kerana perasaan takut atau bimbang tetapi kerana kebenaran yang jelas apabila mereka mengkaji al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

“Dalam konteks Malaysia, umat Islam lebih bernasib baik kerana wujudnya jaminan terhadap agama Islam oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, apa yang lebih penting adalah kita perlu menggunakan jaminan tersebut untuk menunjukkan elemen Rahmatan Lil ’Alamin itu dalam gerakan dakwah kepada bukan Islam.

“Kita selaku penganut agama Islam juga perlu yakin Islam adalah agama terbaik, walaupun dalam masa sama, kita menghormati agama lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung portal emuallaf.islam.gov.my itu, beliau berkata, kerajaan komited memperkasa pengurusan hal ehwal mualaf dengan mewujudkan satu portal yang berperanan sebagai pusat rujukan utama kepada golongan saudara baru.

Beliau berkata, dengan adanya portal tersebut, ia akan membantu memudahkan pencarian maklumat mengenai kelas-kelas bimbingan dan pengajian Islam, pusat khidmat nasihat, bantuan, perlindungan dan kebajikan.

“Ini bukan hanya satu lagi produk yang selari dengan kehendak semasa tetapi ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat saudara Muslim kita di luar sana.

“Aplikasi ini juga diharapkan dapat dijadikan panduan kepada mualaf bagi memulakan kehidupan sebagai orang ‘baharu’ dengan lebih sempurna,” katanya.