Pasangan suami-isteri, Nijaz dan Adisa Aganhodzic yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-19 hari ini, ma­sing-masing akan memperde­ngarkan bacaan dalam kategori tilawah al-Quran malam ini.

Nijaz ketika ditemui bersyu­kur kerana jodohnya bersama isteri yang dikenali sejak kecil lagi dipanjangkan dan berharap memperoleh kebaikan serta keberkatan dengan memasuki maj­lis tilawah kali ini.

“Alhamdulillah, saya bersyu­kur dengan nikmat sepanjang hayat ini, kami membesar bersama sejak kecil, bersekolah serta ke universiti yang sama dan doakan agar kami dapat hidup bersama di syurga,” katanya yang bertugas sebagai guru akidah di negaranya.

Dalam pada itu, Adisa berkata, dia dan suami mendampingi al-Quran pada usia yang sa­ngat muda dan telah menyertai ba­nyak pertandingan tilawah di serata dunia sebelum ini.

“Tiada istilah bersaing dalam diri kami, kami bermusabaqah kerana mahu memperbaiki diri supaya hidup terus diberkati. Kami memperbaiki taranum dengan mendengar video atau rakaman suara kerana di Bosnia-Herzegovina tidak mempunyai ramai guru taranum,” katanya.

Sementara itu, peserta termuda kategori hafazan al-Quran Majlis Ti­lawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-59 dari Senegal, Ngom Ndeye Diarra berasa gembira kerana diberi peluang untuk menonjolkan bakatnya kali ini.

Hafizah berusia 14 tahun itu berkata, dia sangat selesa ketika berada di negara ini kerana pegawai-pegawai yang bertugas begitu mengambil berat tentang dirinya.

“Saya mula membaca al-Quran ketika berusia lima tahun dan hafaz al-Quran pada usia lapan tahun. Ini merupakan kali kedua saya menyertai pertandi­ngan di peringkat antarabangsa dan kali pertama tiba di negara Islam bertuah Malaysia,” katanya.