Selain daripada program sendiri, PWNS juga bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk menyebar luas amalan wakaf di negeri itu.

Antaranya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menjalin kerjasama terutama dalam usaha menubuhkan klinik pakar kesihatan dan pusat hemodialisis.

Melalui kerjasama itu, USIM diberi kepercayaan oleh MAINS untuk mengurus dan membangunkan dana wakaf serta mengagihkan manfaat kepada golongan sasaran yang dihasratkan oleh wakif (pewakaf).

Hasil daripada MoU tersebut, Klinik Pakar Kesihatan USIM mula beroperasi pada 1 April tahun lalu yang menawarkan perkhidmatan kepakaran perubatan am dan keluarga serta perkhidmatan pergigian kepada masyarakat setempat khususnya di sekitar Nilai.

SEDIAKAN PERKHIDMATAN TERBAIK

Klinik yang menempatkan kira-kira 40 tenaga pakar itu dikendalikan oleh anak syarikat USIM, USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd. (USIM Tijarah).

Ia lengkap dengan peralatan berasaskan teknologi terkini melibatkan rawatan kepakaran daripada pelbagai bidang dan perkhidmatan seperti Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pakar Perubatan Dalaman, Pakar Mata, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Pakar Ortopedik, Pakar Psikiatri, Pakar Pembedahan Am serta Pakar Pergigian.

Klinik berkenaan turut berperanan sebagai khidmat sosial USIM kepada komuniti dan masyarakat yang mempunyai taraf hidup rendah seperti golongan asnaf demi meringankan beban mereka.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui PWNS turut membina Pusat Hemodialisis USIM-MAINS dengan kos kira-kira RM1.5 juta.

USIM Tijarah melalui Klinik Pakar Bergerak dan Baitulmal MAINS turut menjayakan program asnaf sepanjang tahun ini dengan mengadakan program pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma kepada asnaf serta fakir miskin di setiap daerah di negeri ini.

Sebanyak empat program dilaksanakan di Kuala Pilah, Labu Hilir dan Sikamat yang mana seramai 136 pesakit telah mendapatkan rawatan di semua lokasi berkenaan.

Dalam program Klip Mobile 2017 di lapan buah kampung di Rembau, Tampin, Labu, Pasoh, Jelebu dan Port Dickson, sebanyak 409 pesakit mendapatkan rawatan manakala 75 pesakit menjalani pembedahan katarak.

AGIHAN UNTUK PENDIDIKAN

Sementara itu, MAINS juga memperuntukkan zakat pendidikan sebanyak RM1.4 juta bagi membantu pelajar asnaf di negeri ini membuat persiapan pakaian seragam sekolah dan bantuan pembelajaran bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Bagi menjayakan hasrat itu, MAINS melaksanakan transformasi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Pusat Pembangunan Asnaf (PPA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan penjara di negeri ini. Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha MAINS membela nasib pelajar dalam kalangan asnaf yang sememangnya berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Antara perkara yang 
menarik untuk diketahui:

  • Tujuan NBOS dilaksanakan adalah untuk menjana rantaian pendapatan kepada masyarakat khususnya asnaf yang sememangnya berpendapatan rendah.
  • Penglibatan peserta NBOS bagi 2017 daripada Kemas adalah seramai 150 orang manakala PPA seramai 50 orang peserta dengan pelbagai latar belakang antaranya penjahit asnaf, ibu tunggal dan suri rumah.
  • Sebanyak sembilan jenis pakaian seragam sekolah dijahit iaitu baju kurung, kemeja, baju Melayu, seluar sekolah menengah, seluar sekolah rendah, seluar baju Melayu, tudung, kain sekolah rendah dan kain sekolah menengah.
  • Bagi 2017, sebanyak 18,000 pasang pakaian seragam sekolah telah dijahit untuk para asnaf.
  • Projek ini dapat merealisasikan penjimatan sebanyak 30 peratus daripada harga beli di pasaran.

Proses pengagihan pakaian seragam sekolah kepada asnaf dilaksanakan secara berperingkat mengikut daerah di seluruh negeri ini iaitu Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin bermula bulan ini bagi memudahkan sesi persekolahan tahun depan.

MAINS berpendapat sekiranya generasi hari ini dapat dibangunkan dengan pendidikan mantap, dibekalkan dengan kemudahan dan kelengkapan yang baik serta segala usaha majlis itu mentransformasikan asnaf di Negeri Sembilan, adalah diharapkan ia dapat membantu kerajaan untuk terus membela golongan lemah agar tidak terus terpinggir.