Perkara tersebut bukan sahaja menepati Dasar Tahfiz Negara yang mahu melahirkan pelajar tahfiz profesional sejajar dengan keperluan negara, mekanisme seumpama itu juga bakal mengangkat kedudukan golongan tersebut selari sistem pendidikan kebangsaan.

Malah dengan usaha murni itu, sistem pendidikan pondok atau pusat tahfiz akan mempunyai kemudahan infrastruktur yang jauh lebih baik dan selamat.

Presiden Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Selangor, Mohd. Dailami Che Age berkata, menerusi Dasar Tahfiz Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, usaha tersebut dilihat mampu menambah baik sistem pendidikan pusat tahfiz dan sekolah pondok di negara ini.

Katanya, tidak sekadar menghafaz al-Quran dan pengkhususan dalam bidang agama, perancangan kerajaan itu berupaya melahirkan golongan tahfiz profesional yang hebat menerusi percambahan ilmu dalam bidang akademik dan kemahiran.

“Masih terdapat jurang bidang akademik dalam kalangan pelajar tahfiz berbanding dengan pelajar di sekolah aliran kebangsaan.

“Diharap pelbagai usaha yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperkasa pelajar tahfiz akan dapat menampung jurang tersebut, sekali gus memberi kelebihan dalam melahirkan kumpulan hufaz profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran Bicara Persada Ke-39 bertajuk Tragedi Keramat: Merungkai Pertanggungjawaban anjuran Jabatan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Institut Islam Hadari dan Pusat Kepimpinan Wanita UKM, baru-baru ini.

Bicara Persada tersebut membincangkan tanggungjawab semua pihak ekoran kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua warden di pusat tahfiz tersebut.

Tiga panel lain yang terlibat dalam Bicara Persada tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman; serta Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita UKM, Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak.

PERMUDAHKAN URUSAN PENDAFTARAN

Mengulas lanjut, Mohd. Dailami berkata, kebanyakan sekolah pondok dan pusat tahfiz di negara ini berminat untuk mendaftar pusat pengajian mereka bagi mendapatkan lesen.

Namun begitu menurutnya, apabila terdapat banyak perkara dan dokumen yang diperlukan untuk membuat pendaftaran itu, perkara tersebut dilihat telah melambatkan proses mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk kelulusan daripada pihak bomba dan Kementerian Kesihatan.

Sebagai contoh katanya, kadangkala kos pembinaan untuk spesifikasi bangunan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti tangga kedua dan sebagainya adalah tinggi, maka pihak pusat tahfiz tersebut terpaksa mengambil masa untuk mendapatkan dana.

Tambahnya, permohonan lesen juga perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Agama Negeri, namun petugas yang menguruskan urusan tersebut adalah terhad.

“Petugas daripada Jabatan agama negeri perlu hadir ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang memerlukan kelulusan tersebut bagi melihat situasi di lapangan.

“Namun masa yang diambil untuk hadir juga adalah lama, malah memakan masa hampir tiga atau empat bulan untuk tiba di pusat tahfiz. Semua ini melambatkan proses mendapat kelulusan,” katanya.

Sebanyak 612 buah sekolah tahfiz di negara ini yang telah berdaftar, manakala dianggarkan kira-kira 329 buah lagi yang masih belum mendapat kelulusan atau belum mendaftar.