Pseudo merupakan satu bentuk atau motif seakan-akan sesuatu yang sering digunakan dalam seni Islam namun sebaliknya tidak melambangkan sesuatu atau tidak mempunyai makna sebenar. Contoh yang banyak dilihat pada hari ini ialah tulisan.

Tulisan pseudo digunakan dalam kesenian Islam yang dahulunya dihasilkan sebagai hiasan untuk memenuhi permukaan sesuatu bahan seni. Pseudo dalam kaligrafi selalunya tidak mempunyai ejaan yang betul. Terdapat juga sarjana berpendapat bahawa tulisan pseudo dihasilkan dengan sengaja oleh orang yang tidak mahir atau seseorang bukan daripada kumpulan sama.

Contohnya sesuatu barang kesenian yang dikatakan seni Islam tetapi dihasilkan oleh masyarakat bukan Islam seperti berlaku di Eropah pada abad ke-18 dan 19 di mana banyak barangan kesenian Islam cuba dihasilkan semula dengan meniru teknik dan motif yang digunakan.

Barangan kesenian yang dihasilkan semula tersebut bukan dihasilkan oleh orang Islam dan yang mahir dalam penulisan masyarakat Islam. Maka terdapat kesalahan dari segi bentuk dan ejaan yang akhirnya dikategorikan sebagai pseudo.

Contoh kedua ialah tulisan pseudo ini juga banyak digunakan sebagai hiasan pada beberapa jenis tekstil yang digunakan di dalam alam Melayu seperti kain ikat kepala, selendang dan kain tutup keranda. Jika diperhatikan penggunaannya adalah sebagai alternatif kepada penggunaan ayat al-Quran bagi mengelakkan salah faham dan rasa tidak hormat jika ia diletakkan di tempat-tempat tidak sepatutnya.

Di sini dapat dilihat bagaimana para seniman pada zaman dahulu berfikir panjang dan melihat kebarangkalian yang mungkin berlaku sebelum sesuatu barangan kesenian itu dihasilkan.

Pada hari ini, terdapat banyak kes yang dikaitkan dengan penyalahgunaan bentuk tulisan nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Ada kalanya terdapat bentuk universal digunakan secara meluas dalam penghasilan logo atau lambang sesebuah syarikat atau barang dagangan yang dikaitkan dengan penghinaan nama Allah dan Muhammad.

Apabila diteliti bentuk dikaitkan itu ia tidak memperlihat ejaan yang sebenar. Seperti kata pepatah Melayu tidak tentu hujung pangkalnya. Lantas bentuk sebegini boleh dikategorikan sebagai pseudo yang tidak mempunyai maksud sebenar tetapi sekali imbas nampak seperti yang disangkakan.

Antara tunjang utama yang menjadi penghubung dan penjamin keamanan serta keharmonian hidup dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia adalah kepercayaan antara kaum, berprasangka baik serta saling hormat menghormati.

Jika bentuk sesuatu seni itu dilihat dan dikesan mempunyai susunan huruf serta ejaan yang betul dan dirasakan tidak sesuai dari segi penggunaanya ia masih boleh ditegur secara baik dengan tujuan untuk mendidik dan memperbetul kesilapan berkenaan.

Ini merupakan nilai kesucian dan keharmonian hidup yang menjadi antara prinsip dalam pembentukan tamadun Islam yang perlu dipegang kuat oleh masyarakat Islam di Malaysia.