Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 itu amat bertepatan sekali dengan usaha dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyatukan ummah Islam seluruh dunia melalui Program Umrah anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi.

Pada 3 Mei hingga 14 Mei lalu, sebanyak 40 peserta dari Malaysia dijemput menghadiri program berkenaan. Selaras dengan matlamat program tersebut, peserta-peserta terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta mempunyai latar belakang berbeza.

Seperti mana ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif program tersebut, AbdulKareem I. Al-Rayes, tujuan program berkenaan adalah bagi menyahut seruan dalam al-Quran dan hadis yang menggesa umat Islam menggerakkan ukhuwah sesama mereka tanpa mengira dari mana seseorang itu berasal.

Dalam keadaan umat 
Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, mereka hakikatnya tidak mempunyai banyak pilihan selain bersatu.

Umat Islam akan terus berada dalam kedudukan yang lemah dan terus menjadi sasaran ‘serangan’ daripada musuh Islam jika mereka tidak bersatu. Menyedari keadaan itulah, kerajaan Arab Saudi tidak mahu duduk diam dan sekadar menjadi pemerhati sahaja.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah, Arab Saudi merangka satu program yang memungkinkan seluruh umat Islam bersatu untuk mengenali antara satu sama lain dan mengeratkan ukhuwah antara mereka.

Atas sebab itulah ketika program berlangsung, penganjur menjemput imam dari Masjid Nabawi dan Masjidilharam untuk menyampaikan ceramah yang berkisar soal pentingnya umat Islam bersatu tanpa mengira dari mana mereka berasal dan apa latar belakang mereka.

Ketika menyampaikan ceramahnya, Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr.Abdullah Abdulrahman Al-Baijan mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Timbalan Ketua Imam Masjidilharam, Sheikh Saleh Al Taleb pula mengingatkan umat Islam bahawa perbezaan mazhab antara umat Islam tidak boleh dijadikan benteng penghalang untuk mereka bersatu.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya kembali merujuk kepada al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas jika terdapat percanggahan pendapat dalam satu perkara dan bukannya menjadikan ia alasan untuk bermusuhan.

Sememangnya ukhuwah antara umat Islam masih belum kukuh. Mereka masih lagi berbalah akibat berbeza fahaman atau mazhab dan di sesetengah negara termasuk di Malaysia sendiri, perbezaan ideologi politik terus menjadi penghalang untuk mereka bersatu.

Kadang kala hanya perkara kecil sahaja kita berbalah sesama sendiri dan paling malang kita dilihat gagal bersatu waima untuk mempertahankan perkara yang berkaitan dengan kepentingan Islam.

Segala-galanya berlaku kerana antara kita terus jumud dengan perbezaan ideologi politik atau ada dalam kalangan kita begitu mudah menjatuhkan hukum kepada orang Islam lain jika berbeza pendapat.

Inilah masalah yang mahu ditangani oleh Arab Saudi melalui program umrah tersebut. Kerajaan di bawah kepemimpinan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu mahu menyatukan umat Islam dengan mengumpulkan kekuatan serta kelebihan yang ada pada mereka dan bukannya perbezaan. Atas sebab itulah Arab Saudi mahu umat Islam menganggap negara itu, negara kedua mereka.

Ternyata sekali impian pemerintah Arab Saudi adalah mahu menjadi negara yang menyatukan ummah. Sebab itulah mereka bersedia menjadi penganjur kepada program tersebut.

Capai matlamat, erat ukhuwah

Mengulas mengenai program berkenaan, Ketua Rombongan Malaysia, Dr. Ahmad Najib Abdullah berkata, ia berjaya mencapai matlamatnya apabila jalinan ukhuwah antara peserta-peserta program dari pelbagai negara jelas terlihat.

Katanya, para peserta mendapat layanan istimewa daripada pihak penganjur yang menyusun program dengan begitu baik.

“Program Umrah Jemputan Khadimul Haramain Al Sharifain berlangsung dalam suasana penuh bermakna. Tujuan utama program memberi peluang kepada peserta menunaikan umrah dalam suasana yang 
selesa bawah bimbingan asatizah yang turut serta dalam rombongan,’’ katanya kepada Mega Mimbar.

Beliau juga menyifatkan, acara yang disusun penganjur seperti Pameran Asma ul Husna di Madinah, ziarah para syuhada di Bukit Uhud dan kunjungan ke kilang percetakan al-Quran Raja Fahd banyak memberi maklumat dan pengetahuan baharu kepada peserta.

“Demikian juga kunjungan ke Kilang Kiswah Kaabah dan Muzium Mekah mampu memberi kesan yang besar dalam diri berhubung kehebatan dan keistimewaan Kaabah serta banyak mendedahkan mengenai sirah Nabi Muhammad SAW,’’ katanya.

Kesimpulannya, sekalung tahniah kepada pemerintah Arab Saudi atas usaha yang mulia itu, semoga melalui langkah itu ia berupaya mengukuhkan perpaduan umat Islam kerana tidak kira siapapun kita dan dari mana pun berasal kita, kita tetap saudara sesama Islam.