Lebih tepat terdapat dua kelompok utama iaitu pro dan kontra.

Dalam kelompok penulisan yang menyokong ilmu ini terbahagi kepada dua:

1.Tulisan-tulisan dihasilkan oleh para sufi (pengamal ilmu tasawuf) yang cuba menjelaskan pelbagai pengalaman kerohanian dialami dalam proses al-mujahadat dan al-madhaqat. Tulisan-tulisan seperti Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, dan al-Luma’ fi al-Tasawwuf oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi adalah tergolong dalam kelompok ini.

2.Tulisan-tulisan dihasilkan para pengkaji yang menyokong dan melihat ilmu tasawuf sebagai ilmu mempunyai kedudukan tersendiri dalam keseluruhan kerangka keilmuan Islam. Antaranya, al-Tasawwuf fi al-Islam: Manabi’uh wa Atwaruh oleh Muhammad al-Sadiq ‘Urjun dan Abhath fi al-Tasawwuf wa Dirasat ‘an al-Imam al-Ghazali oleh ‘Abd al-Halim Mahmud .

 

PENULISAN MENENTANG ILMU TASAWUF

Kebanyakan mereka yang kontra pula terdiri daripada golongan orientalis dan pengkaji ilmu tasawuf yang berpendapat bahawa ilmu itu tidak sesuai dengan keseluruhan semangat dan pembawaan Islam sebagai agama dinamik dan progresif.

Antaranya ialah The Dervishes oleh John P. Brown dan An Introduction to the History of Sufism oleh A. J. Arberry.

  •  Pendokong utama yang menyemarakkan penentangan terancang terhadap ilmu tasawuf kelihatannya diterajui pada mulanya oleh golongan orientalis yang mahukan umat Islam berada jauh daripada tradisi kerohanian mereka.
  • Orientalis menemukan fakta bahawa kekuatan umat Islam sehingga berupaya menyebar luas ajaran Islam ke pelbagai benua dalam tempoh singkat berpunca daripada kekuatan kerohanian yang dimiliki khususnya pada peringkat awal sejarah Islam.
  • Orientalis melihat perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan terus dimiliki umat Islam. Justeru, mereka memulakan serangan terhadap punca kekuatan itu sejak pertengahan kedua abad ke-19 Masihi.

 

TAKTIK LICIK ORIENTALIS

Dengan berselindung di sebalik kajian ilmiah, mereka merumuskan bahawa ilmu tasawuf - iaitu aspek kerohanian dalam ajaran Islam - tidak berasal daripada ajaran Islam. Malah menegaskan ilmu tersebut bersumberkan hampir setiap tradisi kerohanian peradaban dunia, sama ada dari Timur atau Barat.

Justeru, dalam konteks ini dikatakan bahawa ilmu tasawuf bersumberkan tradisi India menerusi Hinduisme dan Buddhisme, tradisi kerohanian Greek menerusi Neoplatonisme, tradisi Parsi menerusi Zoroastrianisme dan Manicheaisme serta tradisi Kristian dan Judaisme.

Bagaimanapun, tuduhan dan tohmahan jahat para orientalis ini tidak dapat bertahan menghadapi fakta sebenar yang menunjang ilmu tasawuf itu sendiri.

Perlu difahami bahawa ilmu tasawuf merupakan suatu perolehan berdasarkan kaedah amalan yang dilaksanakan dengan pendekatan mujahadah. Dan perkara yang menjadi bahan amalan tersebut adalah segala sesuatu yang disuruh oleh al-Quran dan sunah. Dalam konteks ini, bagaimana mungkin untuk digambarkan bahawa tradisi luar Islam boleh ikut campur?

 

BERPAKSIKAN TRADISI TULEN ISLAM

Kandungan ilmu tasawuf adalah berbentuk vertikal, iaitu dalam pengertian ilmu itu datang daripada Allah SWT dan terus masuk ke hati yang sudah dibersihkan menerusi amalan pendekatan mujahadah seperti yang dijelaskan di atas.

Dan di sini sekali lagi boleh dipersoal, bagaimana mungkin tradisi luar Islam itu boleh memainkan peranan untuk mencorakkan isi kandungan ilmu tasawuf tersebut?

Dengan itu, adalah jelas bahawa ilmu tasawuf merupakan sesuatu yang murni, datang dan bersumberkan tradisi Islam yang tulen.

Kalangan orang yang memahami selok belok ilmu tasawuf sama sekali tidak akan terpengaruh dengan tuduhan palsu yang ditaja oleh misalnya golongan orientalis tersebut.

Justeru, apa yang diketengahkan oleh para orientalis dan golongan yang menolak ilmu tasawuf itu adalah mungkin tidak lebih daripada terdapatnya sedikit sebanyak persamaan antara ilmu tasawuf dengan tradisi kerohanian pelbagai tamadun manusia Timur dan Barat.

Hal ini mungkin berpunca daripada hakikat diri manusia itu sendiri yang sememangnya wujud teradun daripada aspek jasad dan roh.

Aspek roh, seperti mana aspek jasad manusia, perlu kepada layanan dan kepuasan tersendiri. Maka itu terbentuklah tradisi kerohanian bagi melayan kehendak roh tersebut.

Bagaimanapun, hal ini tidak pula bermakna bahawa sekiranya terdapat persamaan di sana sini antara unsur kerohanian daripada peradaban yang berbeza boleh menunjukkan peradaban yang datang lebih lewat mengambil daripada peradaban lebih awal.

Apa yang mungkin berlaku hanyalah kerana setiap yang hidup dalam pelbagai peradaban itu adalah manusia.

Kesamaan tabii kemanusiaan itulah yang mungkin memberikan dimensi tersendiri sehingga mungkin wujudnya persamaan tertentu dalam tradisi kerohanian yang berbeza.

Kesimpulannya cukup jelas di sini bahawa golongan menentang dan menolak ilmu tasawuf sebagai satu disiplin ilmu yang sah dalam tradisi Islam adalah terperangkap dalam kekeliruan seperti yang dijelaskan di atas.

Oleh itu, sesungguhnya ilmu tasawuf merupakan satu disiplin ilmu yang benar-benar lahir daripada rahim peradaban Islam.