Sebagai seorang peguam yang beramal di mahkamah sivil dan syariah, saya amat mengalu-alukan perkembangan ini.

Malah, saya sebagai Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sudah sekian lama menzahirkan pandangan ini bagi meletakkan mahkamah syariah setara dengan mahkamah sivil.

Pada dasarnya walaupun ketika ini mahkamah syariah terbentuk melalui enakmen negeri, hakikatnya mahkamah berkenaan sudah wujud jauh mendahului mahkamah sivil termasuk sebelum penjajahan.

Tidak sepatutnya mekanisme pewujudan mahkamah syariah dibandingkan dengan mahkamah sivil sebagai parameter asas dalam meletakkan ketinggian sesuatu mahkamah.

Ini disebabkan, setiap mahkamah mempunyai bidang kuasanya dan kuasa lebih tinggi bukan melihat kepada bagaimana ia diwujudkan.

Namun, melihat trend terkini, hujahan dibuat berdasarkan kepada mekanisme penubuhan sesuatu mahkamah tersebut adalah wajar bagi setiap kerajaan negeri mengambil inisiatif meminda undang-undang tubuh negeri.

Ia adalah dengan meletakkan penubuhan, struktur dan kuasa mahkamah syariah dijelaskan dalam undang-undang tubuh tersebut.

KUASA SETARA

Dengan yang demikian, tiada lagi hujah yang mengatakan ketidaksetaraan mahkamah sivil dan mahkamah syariah bergantung kepada aspek penubuhannya.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Ghandi pada Januari lalu jelas memberi implikasi negatif terhadap kebebasan dan maruah mahkamah syariah apabila mahkamah itu dikatakan seperti tribunal bawahan.

Hal demikian tidak dapat diterima oleh kebanyakan masyarakat Islam kerana:

  • Ia seolah-olah mempersoal kuasa raja-raja Melayu yang melantik hakim mahkamah syariah.
  • Hakim yang dilantik oleh raja-raja Melayu tersebut dikatakan tidak memainkan peranan penting kerana kedudukan mereka hanyalah sekadar tribunal bawahan.
  • Penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut menyentuh pelbagai aspek lain yang tidak dikemukakan kepada mahkamah.
  • Ini menjadikan penghakiman tersebut membawa implikasi sangat besar terhadap mahkamah syariah dan perundangan Islam di Malaysia.

Jika kita menganalisis dengan teliti penghakiman tersebut bukan sahaja kedudukan mahkamah syariah yang akan terkesan, malah keupayaan pihak legislatif untuk membuat suatu undang-undang turut dihadkan berdasarkan kepada doktrin struktur asas perlembagaan diperkenal.

Walaupun sebelum ini doktrin struktur asas perlembagaan ini beberapa kali ditolak oleh Mahkamah Persekutuan tetapi kali ini ia diterima dan diolah sebegitu rupa sehingga menjadikan kedudukan mahkamah sebagai ‘guardian’ (penjaga) kepada semua proses perundangan.

GUARDIAN MAHKAMAH

Persoalannya kini, siapakah pula yang bakal menjadi ‘guardian’ kepada mahkamah sekiranya mahkamah tersasar daripada landasan sebenarnya.

Sebagaimana yang kita ketahui sistem perundangan negara membahagikan kuasa perundangan kepada tiga badan iaitu:

Eksekutif – Membuat dasar dan hala tuju negara yang diketuai Perdana Menteri

Legislatif – Membuat undang-undang

Kehakiman – memainkan peranan dalam pentadbiran keadilan

Ketiga-tiga cabang perundangan ini seharusnya memainkan peranan dalam ruang lingkup masing-masing. Jika setiap badan ini memainkan peranan masing-masing dengan baik, tidak berlaku persaingan antara satu sama lain.

Tunggak mendasari ketiga-tiga badan ini pula adalah Yang di-Pertuan Agong iaitu kuasa eksekutif sebenar dalam Persekutuan termasuk mengepalai angkatan tentera dan pelbagai badan lain.

Berbalik kepada titah Pemangku Raja Pahang agar memasukkan penubuhan mahkamah syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri Pahang, saya sangat gembira jika titah ini tegas dilaksanakan segera.

Malah, perlu juga diwujudkan bidang kuasa khas mahkamah syariah untuk semakan kehakiman bagi meneliti tindakan pihak berkuasa agama dalam isu Islam supaya ia tidak lagi dibicarakan di mahkamah sivil.

Beberapa akta yang terpakai di mahkamah sivil seperti Akta Mahkamah Kehakiman juga perlu diadakan untuk terpakai kepada mahkamah syariah.

Dengan cara ini, sikap sesetengah pihak yang mahu merendah-rendahkan mahkamah syariah akan dapat diminimumkan.

Usaha memartabatkan mahkamah syariah perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Umat Islam tidak harus berdiam diri dan berpuas hati dengan apa dinikmati sekarang kerana jika tiada apa-apa tindakan diambil, satu persatu isu Islam akan dibangkitkan dan akhirnya kehilangan bidang kuasa serta tidak lagi dapat melaksanakan Islam seperti mana dikehendaki.

Islam tidak menzalimi orang bukan Islam, malah jaminan kepada orang bukan Islam lebih banyak dalam Islam berbanding undang-undang sedia ada. Apa yang diperjuang orang Islam hanyalah untuk mengamalkan agama Islam sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukan menindas mana-mana golongan.

Namun walaupun hakikatnya Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama bagi semua negeri seluruh Malaysia selain Sarawak, kedudukan istimewa ini dilihat seolah-olah diperkotak-katik oleh beberapa pihak.

Seharusnya Islam diletakkan di tempat istimewa sebagaimana ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.