Setiap hari sang raja akan bertemu isteri bongsu untuk bertanya khabar dan membelai mesra. Ada yang kata isteri bongsu masih muda dan memerlukan banyak bimbingan raja berbanding isteri-isteri lain. Ada juga yang berkata, isteri bongsu lebih dicintai raja berbanding yang lain. Itulah andaian manusia dalam urusan rumah tangga sang raja, mungkin benar, mungkin salah.

Jika cinta raja kepada isterinya boleh berbeza, cinta Allah kepada para nabi juga berbeza sesuai dengan perbezaan darjat mereka:

“Mereka itulah para Rasul yang Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan yang tertentu). Antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan,” (al-Baqarah [2:253]).

Kisah kasih isteri raja di atas adalah sebuah analogi bagi memudahkan kita memahami kedudukan darjat para nabi. Semua nabi mulia dan tinggi darjatnya, tetapi yang paling mulia adalah nabi kita, Muhammad SAW.

KELEBIHAN MUKJIZAT AL-QURAN

Banyak nas menunjukkan kemuliaan Rasulullah SAW berbanding nabi lain dari pelbagai sudut. Walaupun begitu, dalam nota kali ini saya akan ulas sudut kemuliaan Baginda berdasarkan ‘cara turunnya’ kitab kebanggaan kita semua iaitu al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap nabi diberikan tanda kenabian (mukjizat) yang ditunjukkan kepada manusia agar manusia boleh beriman dengannya. Sesungguhnya kelebihan (mukjizat) yang diberikan kepadaku adalah wahyu (al-Quran) yang diberikan padaku. Aku berharap agar aku menjadi nabi yang memiliki pengikut paling ramai pada hari kiamat kelak,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Asas yang perlu kita fahami adalah:

Asas yang perlu kita fahami adalah:

1. Semua kitab Allah ‘diturunkan’ dari langit. Ia menggambarkan ketinggian Pemilik kitab dan isi kandungannya. Bahkan Nabi Musa a.s. dan Rasulullah SAW dijemput ke tempat tinggi - Gunung Tur Sinai (al-A’raf [7:142 – 145]) dan Bukit Cahaya Mekah di Gua Hira - untuk menerima wahyu pertama.

2. Apa yang membezakan semua kitab langit adalah cara ia diturunkan, sama ada sekali gus atau secara beransur-ansur. Allah menyebut kitab silam iaitu Taurat, Zabur dan Injil diturunkan sekali gus, manakala al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Ia difahami daripada penggunaan perkataan “anzala” (turun sekali gus) dan “nazzala” (turun beransur-ansur) dalam ayat ini:

“Dia (Allah) menurunkan (secara beransur-ansur) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab Suci yang terdahulu dan Dia juga yang menurunkan (secara sekali gus) Kitab Taurat dan Injil,” (Ali ‘Imran [3:3]).

Juga firman-Nya:

“Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab al-Quran yang telah diturunkan (secara beransur-ansur) kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), dan juga kepada Kitab Suci yang diturunkan (secara sekali gus) sebelum itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-Nya, para rasul-Nya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh,” (al-Nisa’ [4:136]).

Apa istimewanya jika sebuah kitab diturunkan secara beransur-ansur berbanding sekali gus? Memang ada perbezaan yang nyata! Para ulama biasanya mengulas hikmah ini secara panjang lebar namun saya suka membawa sudut lain yang mungkin jarang kita dengar.

Begini logiknya……

Bagi kitab silam yang turunnya sekali gus, bermakna pertemuan Jibril a.s. yang mewakili Allah SWT dengan para nabi tertentu ‘berlaku hanya sekali sahaja’, manakala kitab yang turunnya sepanjang masa (selama 23 tahun) bermakna pertemuan Jibril dengan Rasulullah SAW ‘berlaku seumur hidup kenabian Baginda.”

Boleh dikatakan Baginda SAW seumpama si isteri bongsu raja yang begitu istimewa dan dilebihmanjakan selama 23 tahun oleh Allah SWT. Adakah anda nampak beza antara ‘pertemuan cinta hanya sekali’ dengan ‘pertemuan berterusan dalam cinta’?

Pastinya Rasul yang selalu dibelai, diperhati dan ditatang sepanjang masa oleh Allah melalui perantara kalam-Nya yang agung jauh lebih mulia daripada rasul yang disampaikan wahyunya sekali gus pada waktu itu sahaja. Subhanallah! Lihatlah betapa mulianya Rasulullah SAW.

Setelah nampak sudut istimewa al-Quran berbanding kitab silam, sepatutnya iman kita segera tersentak sambil berkata:

“Aduhai! Rugi sungguh jika aku tidak mengambil kesempatan untuk turut merasa belaian manja Allah kepada Rasulullah SAW melalui kitab yang diturunkan selama 23 tahun ini.”

Apa tunggu lagi! Marilah bersama-sama selami kitab istimewa ini, pasti kita akan turut mabuk terkena tempias cinta Allah dan Rasulullah SAW.

HATI-HATI WAHAI PENCERAMAH! MALAIKAT HADIR DALAM MAJLISMU...

ABU HURAIRAH r.a. berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Allah mempunyai para malaikat yang tugasnya mengelilingi dunia mencari ahli zikir (orang menghadiri majlis ilmu, zikir dan sebagainya). Apabila menemuinya, para malaikat memanggil malaikat yang lain sambil berkata, Ayuhlah kamu semua memenuhi hajat kamu – menyertai majlis zikir. Para malaikat itu kemudiannya berkerumun mengelilingi orang yang sedang berzikir itu dengan sayap mereka sehingga memenuhi antara mereka dan langit dunia.

Allah kemudiannya bertanya kepada mereka, sedangkan Allah Maha Tahu perbuatan mereka, Apa yang diminta oleh hamba-Ku (dalam majlis zikir tersebut?). Para malaikat menjawab: Mereka bertasbih, bertakbir, memuji dan mengagungkan-Mu. Allah bertanya lagi: Adakah mereka (mampu) melihat-Ku? Para malaikat menjawab: Demi Allah! Mereka tidak dapat melihat-Mu. Allah bertanya: Apa akan jadi jika mereka mampu melihat-Ku? Para malaikat menjawab: Sudah pasti mereka akan tambah banyak beribadat pada-Mu, mengagungkan-Mu, memuji-Mu dan bertasbih pada-Mu.

Allah bertanya lagi: Apa yang mereka mohon pada-Ku? Malaikat menjawab: Mereka memohon syurga. Allah bertanya: Adakah mereka pernah melihat syurga-Ku? Malaikat menjawab: Tidak pernah. Allah bertanya: Apa akan jadi jika mereka dapat melihat syurga! Malaikat menjawab: Sudah pasti mereka akan bertambah keinginan mencapainya.

Allah bertanya: Apa yang mereka mohon perlindungan (daripada-Ku)? Malaikat menjawab: Mereka memohon perlindungan-Mu daripada azab neraka. Allah bertanya: Adakah mereka pernah melihat neraka? Malaikat menjawab: Tidak pernah. Allah bertanya: Apa akan jadi jika mereka dapat melihat neraka! Malaikat menjawab: Sudah pasti mereka akan lari jauh daripadanya dalam ketakutan.”

Allah berfirman: Aku jadikan kamu semua sebagai saksi bahawa Aku sudah ampunkan (dosa) mereka. Satu malaikat berkata: Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang datang bukan kerana niat berzikir, tetapi masuk bersama mereka kerana suatu tujuan lain. Allah berfirman: Mereka semua (Aku ampunkan) kerana orang yang duduk bersama mereka tidak akan ditimpa celaka,”- Sahih Bukhari.


HURAIAN

  • Malaikat sentiasa mencari 
dan menghadiri majlis ilmu. Apabila lokasi majlis ilmu dikenalpasti, para malaikat 
turut sama menghadirinya
  • l Bayangkan apa pandangan mereka jika penceramahnya menyebut hadis palsu? atau galak bercakap lucah? atau 
maki hamun? atau melawak melebihi keperluan?
  • l Semoga sudut pandang ini menjadi teguran buat kita semua
  • l Manusia adalah insan lemah yang mudah lupa, maka peringatan antara sesama kita amat diperlukan.