Malah raja-raja Melayu sejak kebelakangan ini telah menzahirkan keprihatinan dalam banyak isu. Mereka tidak lagi berdiam diri dan memberi sepenuhnya kepercayaan kepada pentadbir menguruskan negeri.

Dari sudut kehakiman pula pernah mahkamah tinggi sivil memutuskan keputusan Pemangku Raja Kelantan tidak boleh diadili mahkamah. Ia berada dalam bidang kuasa majlis perajaan negeri dan tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Ketegasan Sultan Selangor umpamanya mempertahan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk agama mereka suatu ketika dahulu adalah manifestasi fungsi raja-raja Melayu masih tidak boleh dipinggirkan.

Sultan Selangor langsung tidak berganjak dengan pegangan tersebut walaupun beberapa ahli politik daripada kalangan kerajaan atau pembangkang mendahului baginda dalam isu ini.

Isu berkaitan kalimah Allah adalah isu besar yang boleh menggugat akidah umat Islam. Keprihatinan Sultan Selangor itu memang kena pada tempatnya dan bersesuaian dengan fungsi baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Saya tidak berhasrat untuk memperinci satu persatu tindakan-tindakan dilakukan raja-raja Melayu dalam hal ehwal kenegaraan kerana ia terlalu banyak. Cukuplah sekadar merakamkan beberapa situasi yang berlaku di atas sahaja.

Kesemua perkara di atas menunjukkan bahawa institusi raja-raja Melayu di Malaysia masih lagi utuh. Ia hidup dan perlu dipertahan.

KEDUDUKAN ISTIMEWA

Perlu diingati bahawa tanah air kita ini bukan sahaja mempunyai majoriti rakyat berbangsa Melayu beragama Islam, malah yang lebih utama ialah warisan sejarah yang tidak putus-putus sebagai daulah Islamiah dalam bentuk Kesultanan Melayu.

Oleh demikian, kedudukan dan hak istimewa Islam serta warisan Melayu adalah suatu jalinan yang tidak dapat dipisahkan.

Atas apa jua nama dan alasan, kedudukan ini tidak boleh dikompromi kerana ia akan hanya memusnahkan jati diri negara yang bertunjang kepada agama Islam. Orang Melayu memang terkenal dengan sikap toleransi kepada bangsa lain.

Raja-raja Melayu juga hendaklah bebas daripada sebarang hinaan atau fitnah kerana kemuliaan institusi diraja tersebut hendaklah dipertahan pada setiap masa.

Jaminan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah sekadar dekorasi semata-mata tetapi mempunyai kesan perundangan yang mendasar.

Tidak salah bersikap toleransi kepada bangsa lain, namun begitu saya tertarik dengan catatan Suzana Othman dalam bukunya, Ketuanan Islam – Pertuanan Raja-Raja Melayu:

“Wahai saudaraku! Atas nama muhibah, kesatuan dan perpaduan kaum, maka kalau nak bersayang, bersayanglah! Kalau nak berkasih, berkasihlah. Kalau nak berjanji setia, silakanlah! Tapi waspadalah, jangan sampai sayang kita kepada mereka menjadi keterlaluan sehingga sanggup membiarkan maruah diri diinjak-injakkan, jangan sampai kasih kita kepada mereka melampau-lampau sehingga sanggup menikam bangsa sendiri dari belakang, jangan sampai sanggup berjanji setia sehingga lupa batasan, sehingga agama Islam yang menjadi warisan dan junjungan leluhur bangsa tergolok tergadai dek terikut-ikut sangat pada tuntutan-tuntutan mereka yang semakin hari semakin menjadi-jadi.”

Dalam hal demikian, raja-raja Melayu dan rakyat jelata adalah elemen yang saling melengkapi antara satu sama lain bagi menjadi teras atau jati diri bangsa Melayu Islam. Orang Islam di Malaysia sudah tentu mendambakan raja-raja Melayu menjadi benteng akhir mempertahan agama Islam.

Selain daripada raja-raja Melayu, kerajaan mempunyai tanggungjawab berpelembagaan bagi mempertahan Islam. Ini adalah disebabkan ikrar raja-raja Melayu untuk mempertahan Islam pada setiap masa mestilah dipenuhi oleh pihak kerajaan. Ikrar ini adalah suatu penyataan tegas yang perlu diiring dengan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk direalisasi kerana keabsahan ikrar ini sudah tidak boleh dipertikai lagi.

TONGGAK, BENTENG TERAKHIR

Raja, kerajaan dan rakyat perlu sama-sama berganding bahu mempertahan kedudukan Islam di bumi Malaysia.

Penghormatan orang Melayu kepada rajanya tidak berbelah bahagi. Raja-Raja Melayu dilihat sebagai tonggak dan benteng terakhir orang Melayu dalam kehidupan seharian. Arus demokrasi sendiri tidak membenarkan institusi raja-raja Melayu diperlekeh malah ia hendaklah dipertahan.

Meminggirkan institusi beraja di Malaysia bakal mengakibatkan jati diri orang Melayu khususnya dan Malaysia amnya akan terhakis. Raja-Raja Melayu bukan sahaja dari sudut undang-undangnya menjadi pemerintah kepada orang Melayu tetapi juga kepada warganegara yang bukan berbangsa Melayu. Tidak hairanlah jika ramai juga dalam kalangan bukan Melayu yang dianugerahkan darjah kebesaran oleh raja-raja Melayu.

Ironinya bagi sebilangan kecil orang bukan Melayu langsung tidak mempertikai anugerah yang diterima tetapi mereka tidak menerima titah daripada raja-raja Melayu terhadap apa-apa isu yang mereka berbeza pandangan. Malah ada yang mencemuh dan menghina raja-raja Melayu pula!

Lebih dahsyat pada masa ini apabila ada orang Melayu juga terpengaruh dengan situasi sebegini turut menyertai golongan tersebut menzahirkan kebiadaban terhadap institusi beraja secara terang-terangan.

Institusi beraja adalah sebahagian daripada undang-undang yang perlu didaulatkan. Keluhuran undang-undang ini perlu dipertahan kerana ia merupakan maruah negara. Institusi beraja merupakan simbol keamanan kemajuan dan kemakmuran negara.

Daulat Tuanku!