Ia termasuk tekanan antarabangsa apabila Amerika Syarikat (AS) mengumumkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Seorang pengusaha hotel dan agensi pelancongan di Baitulmuqaddis, Kasem Moh Abu Al-Teen, 50, memberitahu, dianggarkan hanya 30,000 hingga 40,000 pelancong Islam mengunjungi Al-Aqsa setiap tahun.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan jumlah pelancong bukan Islam iaitu sekitar 3.6 juta orang setahun.

Disebabkan keadaan itu, katanya, perniagaan rakyat Palestin sentiasa tidak menentu dan mereka juga tidak boleh sepanjang masa bergantung harap kepada bantuan Baitulmal.

“Sebab itu, bagi pihak hotel dan pekedai, kalangan pelanggan kami termasuk daripada kalangan bukan Islam,’’ katanya.

Di samping itu, katanya, cukai pendapatan juga amat tinggi iaitu sekitar 34 peratus sebulan.

“Bayangkan walaupun jika gaji anda mencecah AS$3,000 (RM11,700) sebulan, setelah ditolak cukai 34 peratus, berapa yang tinggal?” tanya Kasem.

Sebagai pengusaha hotel, beliau memberitahu, cukai bangunan yang dikenakan juga amat tinggi.

“Cukai bangunan di sini mengikut tingkat. Contohnya, di bumbung atas sekali ada cukai. Begitu juga di tingkat-tingkat seterusnya. Cukai bumbung hotel yang saya usahakan adalah sekitar AS$25,000 (RM97,500)setahun.

“Ini belum lagi insurans untuk pekerja, harga gas memasak dan petrol yang tinggi,” katanya.

Oleh itu, Kasem berkata, kalangan umat Islam termasuk dari Malaysia yang berpeluang mengunjungi Baitulmuqaddis seharusnya merebut peluang yang ada.

“Tahukah anda, orang Arab seperti dari Iraq, Kuwait, Arab Saudi, Iran dan beberapa negara lagi termasuk Jordan yang berjiran dengan bumi Palestin ini serta Mesir, mereka sukar datang ke sini disebabkan oleh urusan visa,” katanya.

Katanya, daripada jumlah pelancong Islam yang datang ke Al-Aqsa, jumlah paling ramai adalah dari Turki diikuti Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, berniaga di Kota Lama Baitulmuqaddis sejak 1985 bukan satu perkara mudah, ini kerana terlalu kurang pelanggan Islam. Keadaan itu menyebabkan pekedai seperti Naser Hasan Ramoni, 53, hanya mampu bertahan bagi memastikan kedai kecilnya tidak ditutup.

Jika perniagaannya ditutup, kedainya bakal diambil alih oleh peniaga lain termasuk daripada kalangan bukan Islam.

“Perniagaan di sini adalah dari generasi ke generasi. Jika satu generasi tidak meneruskan perniagaan, kedai tersebut 
akan terlepas ke tangan orang lain. Memang sukar kerana pelancong Islam sangat kurang yang ramai adalah bukan Islam,” katanya.

Menurut Naser, perniagaannya sejak akhir-akhir ini kian merosot apabila timbul isu-isu politik terutama setelah Amerika mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Penduduk tertekan, pelancong Islam takut untuk datang, ditambah pula ada fatwa melarang umat Islam mengunjungi Al-Aqsa,”
 katanya.

HARAP SOKONGAN PELANCONG LUAR

Seorang peniaga, Said Salhi, 58, berkata, satu ketika dahulu peniaga Islam pernah menjual barangan berkaitan Islam namun disebabkan terlalu kurang pelancong Islam, mereka 
terpaksa pelbagaikan jenis barangan lain.

“Jumlah pelancong yang membeli barangan di kedai-kedai di sini kebanyakannya daripada kalangan bukan Islam. Seperti peniaga di Hebron, mereka terpaksa tutup kedai dan berpindah ke penempatan lain.

“Tidak mustahil juga, peniaga Islam sekitar Al-Aqsa bakal mengalami nasib sama. Namun, apa pun jua keadaan kami akan pertahan kedai-kedai ini. Sebab itu kami memerlukan kunjungan pelancong dari negara-negara
Islam.

“Kadang-kadang dalam masa dua minggu langsung tiada pelanggan tapi saya akan tetap pertahan kedai ini agar tidak terlepas ke tangan orang lain,” katanya.