Namun, apabila menyebut perhimpunan para pencinta al-Quran seluruh dunia maka Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Antarabangsa, Kuala Lumpur adalah tempatnya. Di sini para qari, qariah, huffaz dan pencinta al-Quran akan berhimpun untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan keindahannya yang tiada tolok banding.

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama diadakan pada 22 Ramadan 1380 Hijrah bersamaan 9 Mac 1961. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis sama pada peringkat antarabangsa telah dinyatakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj semasa majlis penutupan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Pertama pada 18 Mac 1960.

Pertandingan itu pada peringkat antarabangsa anjuran Malaysia (Malaya pada ketika itu) ialah majlis yang julung kali diadakan di dunia. Belum ada negara yang menganjurkannya sebelum itu.

Pada penganjuran kali pertama, sebanyak tujuh negara dengan 13 peserta mengambil bahagian iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Sarawak, Indonesia dan Filipina.

Mulai 2014, Malaysia memperkenal Majlis Hafazan al-Quran Antarabangsa yang disekalikan dengan acara Tilawah al-Quran. Ia adalah inovasi untuk memartabatkan al-Quran di persada dunia dan memberi pengiktirafan kepada golongan huffaz seluruh dunia.

Sejak 1980-an hingga kini, majlis ini mendapat sambutan menggalakkan daripada negara-negara Arab, Asia, Afrika, negara-negara bekas taklukan Kesatuan Soviet dan Eropah serta Amerika. Ini secara tidak langsung membuktikan Malaysia diiktiraf sebagai sebuah Negara Islam yang berperanan menyatupadukan umat Islam seluruh dunia melalui al-Quran.

BUKAN SEKADAR BACAAN

Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan setiap tahun bukan sekadar sebuah persembahan bacaan tetapi lebih daripada itu untuk menyuburkan cinta masyarakat kepada al-Quran melalui pembacaan, penghayatan, pengamalan dalam kehidupan seharian.

Sejak daripada penganjuran pertama hingga kini, peserta perlu memperkemas bacaan mereka dan perlu menguasai disiplin ilmu lain seperti tajwid, taranum dan bahasa Arab. Tidak hairanlah, Malaysia sering dinobatkan sebagai johan pada peringkat antarabangsa kerana kualiti bacaan terbaik yang dipersembah oleh wakil negara.

Untuk rekod, sejak mula diperkenal, peserta Malaysia paling banyak mengungguli kejuaraan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, iaitu qari (28 kali), manakala qariah (35 kali).

Sudah tentu, kejayaan ini bukan datang sekelip mata tetapi lahir daripada penyuburan pengajian al-Quran di negara kita, sama ada di madrasah, masjid, kelas-kelas intensif serta guru-guru yang berkebolehan tinggi.

Selain itu, masyarakat yang mengikuti bacaan setiap peserta turut mendapat manfaat kerana setiap kali bacaan akan dipaparkan ayat pada papan layar, terjemahan diulas oleh pembaca inti sari untuk memberi kefahaman kepada masyarakat. Ditambah pula, ayat-ayat yang dibacakan peserta terarah kepada tema yang memfokuskan perpaduan ummah, kemajuan dan pembangunan Islam

PEMBANGUNAN KOMPREHENSIF

Di Malaysia, pembangunan pengajian al-Quran bermula sejak anak-anak kecil mengenal alif ba ta hingga kepada penguasaan ilmu Ulum Quran. Jika dahulu, pengajian al-Quran melalui inisiatif guru-guru yang mengajar di madrasah atau di rumah secara percuma. Hari ini, pembelajaran ini disusun secara berstruktur melalui Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ia diperkukuh dengan sistem pembelajaran J-QAF yang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan.

Pada peringkat menengah, wujud sekolah-sekolah tahfiz yang memberi fokus kepada penghafalan al-Quran, di samping silibus akademik lain. Bahkan sistem pengajian al-Quran ini menjadi nilai tambah kepada sistem sedia ada melalui Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab, kelas-kelas tahfiz di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan sebagainya.

Berdasarkan penyelarasan data yang dibuat oleh Jakim pada peringkat Persekutuan, sehingga kini terdapat 20 buah sekolah tahfiz milik kerajaan negeri dengan 4,643 murid dan 618 buah sekolah tahfiz swasta berdaftar bawah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dengan 37,902 murid.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, pewujudan Darul Quran sebuah institusi al-Quran terkemuka di negara melahirkan huffaz profesional di samping pusat-pusat pengajian al-Quran melalui fakulti-fakulti pengajian Islam di pusat pengajian tinggi.

Terkini, Malaysia akan menjadi negara pengeluar dan pencetak al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi. Kewujudan Nasyrul Quran yang tersergam indah di Presint 14, Putrajaya bakal meletakkan Malaysia sebagai antara mercu tanda percetakan al-Quran di dunia Islam.

Apabila dikaitkan dengan menyuburkan bacaan al-Quran, bakat-bakat sudah dicungkil sejak peringkat prasekolah lagi. Pelbagai insentif diberikan kerajaan untuk meningkatkan minat dan kecenderungan kepada al-Quran.

Pelbagai kajian dibuat oleh penyelidik-penyelidik termasuk peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia dari skor pertama 2015 mencapai 75.42 peratus, manakala skor kali kedua 2017 menunjukkan peningkatan kepada 76.06 peratus.

Ia menunjukkan ukuran saintifik usaha-usaha kerajaan dalam memelihara prinsip maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta termasuk usaha menyuburkan pendidikan al-Quran yang komprehensif.

Jika ditanya, apa kesannya sistem pendidikan al-Quran di negara kita kepada masyarakat? Maka inilah, antara jawapannya.