Secara khususnya perbezaan tersebut dapat diperhatikan dalam penjelasan dan perbincangan mereka tentang hubungan antara mujahadah dan hidayah berasaskan firman Allah SWT dalam Surah al-’Ankabut ayat 69: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (melakukan mujahadah) kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) . . . .”

Isu utama perbincangan golongan sufi dalam konteks firman Allah SWT itu ialah:

1Adakah melalui mujahadah semestinya seseorang individu bakal memperoleh hidayah dan al-qarb min Allah (kehampiran diri dengan Allah)?

2Adakah kedua-dua kelebihan itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba-Nya?

Seorang tokoh sufi, Sahl ‘Abd. Allah al-Tustari merumuskan pengalamannya dengan mengatakan bahawa mujahadah merupakan jalan langsung yang boleh menyampaikan seseorang ke arah mushahadah al-Haq, al-qarb min Allah serta wusul (kesampaian) kepada Allah.

Iaitu:

  • Setiap yang termasuk bawah naungan istilah hidayah adalah ‘biji-biji buah daripada pelbagai buah mujahadah’.
  • Beliau menyesuaikan pengalaman peribadinya dalam konteks ini dengan firman Allah SWT dalam ayat 69 Surah al- ’Ankabut itu.

Bagaimanapun terdapat golongan sufi berlainan pendapat, antaranya, Abu Sa’id al-Kharraz yang menjelaskan bahawa sesiapa yang menyangka bahawa usaha mujahadah boleh menyampaikan apa yang dimahukan dalam hubungannya dengan Allah SWT, maka ia akan hanya memenatkan dirinya sahaja!

Bermaksud:

  • Kumpulan al-Kharraz ini merumuskan bahawa matlamat mujahadah mereka adalah untuk memperoleh penyucian nafsu iaitu menukarnya daripada buruk kepada baik.
  • Bukan bermatlamat untuk mencapai al-qarb min Allah dan hidayah.
  • Mengaitkan usaha mujahadah mereka berdasarkan firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 125: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang naik ke langit (dengan susah payahnya)....,”
  • Hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seseorang daripada kamu tidak masuk syurga dengan amalannya. Para sahabat bertanya, “tidak juga engkau wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Tidak juga aku.”

Hujahan:

Kehendak Allah mengurniakan hidayah kepada hamba-Nya adalah mendahului “keadaan kelapangan dada” (ayat 125 Surah al-An’am) seseorang hamba sama ada untuk menganut Islam atau sebaliknya. Maksud ini merujuk kepada konteks yang dibincangkan iaitu melakukan kerja-kerja mujahadah.

Justeru, tafsiran kumpulan sufi ini terhadap perkara berkaitan dengan mujahadah adalah merujuk kepada persoalan al-’Inayah al-Ilahiyyah (pertolongan Allah) dan al-Taqdir al-Azali (takdiran sejak azali), bukannya persoalan gerak kerja bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh hamba dalam proses mujahadah.

SEKADAR PERBEZAAN UCAPAN

Bagaimanapun, menurut seorang tokoh sufi lain, ‘Ali al-Hujwiri (1009 – 1072) dalam kitabnya, Kashf al-Mahjub, perbezaan dua catatan pengalaman mujahadah dalam kalangan para sufi tersebut adalah tidak lebih daripada sekadar perbezaan pengucapan zahirnya sahaja.

Menurutnya, setiap kumpulan sebenarnya menuju kepada hakikat yang sama. Beliau menjelaskan perkara itu dengan misalan mudah:

* Kumpulan pertama: “Sesiapa yang bersungguh-sungguh (melaksanakan mujahadah) bakal memperoleh sesuatu.

* Kumpulan kedua: “Sesiapa yang memperoleh sesuatu itu adalah orang yang bersungguh-sungguh (melakukan kerja-kerja mujahadah).

Hakikatnya, mujahadah atau kesungguhan melaksanakan amalan menjadi sebab kepada sesuatu itu diperoleh, sebagaimana beroleh sesuatu itu adalah disebabkan oleh kesungguhan melaksanakan pelbagai mujahadah.

Oleh itu, dalam konteks ini, adalah sama keadaannya apabila satu pihak menyatakan bahawa mujahadah pada jalan Allah SWT adalah menjadi penyebab memperoleh hidayah, sedangkan pihak lain pula menegaskan bahawa hidayah diperoleh hasil daripada kerja-kerja mujahadah yang dilaksanakan pada jalan Allah.

Justeru, perbincangan di atas menjelaskan bahawa matlamat atau tujuan pelaksanaan mujahadah dalam disiplin ilmu tasawuf adalah memfokuskan kepada penyucian nafsu bagi mencapai taraf al-Qarb min Allah, mushadah al-Haq dan wusul kepada-Nya.

‘Musuh’ iaitu nafsu yang dihadapi manusia terlalu kuat dan tidak pernah boleh dibawa berunding untuk dilaksanakan ‘gencatan senjata’, maka mujahadah atau jihad yang dilancarkan itu, menurut pandangan dan pengalaman golongan sufi mestilah sentiasa berada pada tahap siap siaga tinggi yang bersifat sehabis kudrat kemanusiaan manusia.

Jika tidak berada pada tahap sedemikian, manusia akan mudah terdedah kepada kekalahan dan kejatuhan. Contohnya, pada masa kini terdapat sebahagian besar manusia seperti sedang ‘meletak jawatan’ daripada menjadi sebenar-benar manusia!