ABDULFATTAH SULIMAN MASHAT

Jemaah haji tidak lagi perlu berurusan secara manual di lapangan terbang negara ini yang bia­sanya memakan masa dua jam, malah kemudahan kereta api laju juga disediakan bagi melancarkan lagi pergerakan jemaah haji.

“Ia tidak lagi mengambil masa dan sangat mudah tanpa me­ngorbankan soal keselamatan yang tetap menjadi keutamaan. Ia dikenali Haji Pintar,” kata Naib Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Profesor Dr. Abdulfattah Suliman Mashat sambil menjelaskan langkah itu terkandung dalam Wawasan 2030 yang baru diperkenalkan ke arah pemo­denan negara ini.

Malah sebagai projek perintis tahun ini, ketika berlepas pulang, bagasi jemaah haji dibereskan di setiap hotel penginapan dan jemaah hanya memungutnya di destinasi terakhir.

“Dijangkakan urusan keluar masuk - Imigresen dan Kastam, tidak akan melebihi 10 minit setiap seorang.

“Langkah itu akan memboleh­kan kemasukan jemaah umrah sehingga 30 orang setiap tahun berbanding tujuh juta orang sekarang. Sasaran jemaah haji menjelang 2030 pula adalah 4.5 juta orang semusim berbanding dua juta sekarang,” katanya yang kini memangku jawatan Menteri Haji dan Umrah kepada wartawan Malaysia di pejabatnya bersebelahan Masjidilharam.

Sambil memuji keberkesanan Lembaga Tabung Haji dengan memberi markah 9.5 daripada markah penuh 10, Dr. Abdulfa­ttah berkata, kaedah pelepasan awal Imigresen bagi jemaah Malaysia yang diperkenalkan pada musim haji lepas adalah permulaan ke arah menawarkan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

“Kami mempunyai pengalaman terbaik dengan Malaysia dalam aspek pengurusan dan latihan haji,” tegasnya.

Beliau berkata, bagi musim haji tahun ini, kuota haji bagi semua negara termasuk Malaysia yang telah pun ditambah tahun lalu, dikekalkan memandangkan kekangan infrastruktur terutama di Mina.

Justeru, Arab Saudi juga memberi tumpuan kepada meningkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang berkaitan termasuk projek perintis penginapan di Mina yang akan menyaksikan kompleks kediaman empat tingkat mesra alam yang setiap blok dapat menampung 4,000 jemaah.

“Sebanyak 30 kementerian dan agensi kerajaan akan bergabung bagi menjayakan ranca­ngan tersebut yang kami anggap bukan sekadar melaksanakannya tetapi melakukannya dengan kepercayaan kami,” jelas beliau sambil berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik kepada tetamu Allah.

Sebagai pelengkap, peluasan fasa ketiga kompleks Masjidilharam, selain rangkaian kereta api laju 360 kilometer (km) sejam menghubungkan Jeddah-Madinah-Mekah sejauh 453km yang kini di peringkat uji guna dan ke­selamatan.

Sebanyak 16,000 bas disediakan setiap hari pada musim haji untuk kegunaan jemaah dan ia pelengkap kepada khidmat kereta api laju yang boleh menampung 300,000 orang sehari.

Katanya, si sekitar Masjidilharam, sebanyak 6,000 bangunan kediaman pelbagai jenis disediakan pada musim haji bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat.

Mengenai fasa ketiga peluasan Masjidilharam yang digunapakai mulai musim haji ini, Pegawai Perhubungan Awam Masjidilharam, Marwan Jamaat Al-Otaibi berkata, ia melibatkan tambahan keluasan 365,000 meter persegi dengan laluan tambahan tawaf yang boleh menampung 50,000 orang pada satu-satu masa.

Juga terdapat sebuah hospital iaitu Hospital Kecemasan Al-Ha­ram yang serba moden dan mempunyai 300 katil serta menyediakan kepakaran bedah otak dan seumpamanya.

Pembesaran Masjidilharam melibatkan peruntukan keseluruhan USD21.3 bilion dan ia me­rupakan projek pembesaran terbesar dalam sejarah bagi masjid itu yang menempatkan Kaabah. – MINGGUAN