Bukti-bukti jelas boleh dikemukakan dalam hubungan ini, sebagai contoh ajaran Taslim yang dianggap terkeluar daripada Islam dan diharamkan itu adalah cukup jelas dipromosi menggunakan pendekatan ilmu tasawuf. Ajaran Taslim menekankan zikir, kashf, guru murshid, makrifah, dan malahan tanpa konsep makrifah Allah ajaran Taslim tidak akan wujud. Semua istilah yang digunakan itu merupakan istilah-istilah yang dominan dan malahan ‘part and parcel’ kepada disiplin ilmu tasawuf dan tarekat.

Demikian pula halnya dengan Pertubuhan Darul Arqam yang diharamkan, adalah juga dari segi pendekatan dan pengamalannya ditunjangi disiplin tasawuf dan tarekat.

Hal ini jelas berdasarkan pengalaman peribadi penulis membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam proses pemulihan dan pemurnian pegangan akidah dan amalan kerohanian bekas pengikut pertubuhan tersebut.

Mereka ternyata perlu dimurnikan kefahaman berkaitan dengan konsep-konsep tertentu dalam disiplin ilmu tasawuf dan tarekat. Dan demikian juga Aurad Muhammadiah yang menjadi paksi kegiatan amalan Darul Arqam juga diamalkan dengan menggunakan pendekatan ilmu tasawuf dan tarekat.

FAKTOR PENYELEWENGAN

Penelitian mendalam dalam hal ini membolehkan satu kesimpulan diambil bahawa faktor utama berlakunya penyelewengan dalam institusi tarekat adalah tertumpu kepada satu komponen utama, iaitu sheikh atau guru:

  • Institusi tarekat tasawuf memberikan kuasa yang cukup luas kepada seseorang sheikh dalam proses mendidik dan membimbing kerohanian para murid yang bernaung dalam sesebuah tarekat.
  • Kuasa luas inilah yang boleh membahayakan murid dan sesebuah tarekat itu sendiri sekiranya ia jatuh ke tangan seseorang yang tidak cukup syarat untuk menjadi sheikh.

* Dalam lain perkataan, seseorang sheikh yang hendak diikuti para murid dalam mana-mana tarekat mestilah seorang yang cukup syarat-syarat seperti diletakkan oleh institusi tarekat demi untuk menjaga kepentingan murid dan kelangsungan sesebuah tarekat supaya tidak terjerumus kepada elemen melanggar syarak.

KRITERIA SHEIKH

Justeru, kalangan umat Islam yang berhasrat mengikuti dan mengamalkan amalan tarekat mestilah mencari dan menemukan guru yang cukup syarat-syarat sebagai seorang sheikh.

Kalangan sufi mengenakan kriteria-kriteria cukup ketat yang perlu ada pada diri seseorang bagi melayakkan dirinya menjadi sheikh untuk membimbing para murid. Dalam tulisan-tulisan mereka, para sufi meletakkan pelbagai kemestian atau syarat wajib yang mesti ada pada sahsiah seseorang sheikh.

Antaranya:

1. Mempunyai ilmu pengetahuan iaitu alim khususnya tentang isi kandungan kitab al-Quran dan sunah serta ilmu fikah dan akidah bagi membolehkan seorang sheikh dapat menyelesaikan permasalahan muridnya.

* Menguasai ilmu berhubung dengan persoalan batin manusia dengan cukup mendalam sekali, kerana aspek ilmu ini merupakan tugas utama sheikh dalam mendidik murid.

2. Mempunyai bakat dan ketokohan dari segi kepimpinan.

3. Hendaklah sheikh itu benar-benar arif tentang berbagai sifat kesempurnaan hati, adab sopannya, berbagai kerosakan dan penyakitnya serta juga bagaimana cara untuk memelihara dan mengimbangkannya.

4. Mempunyai sifat adil dan takwa.

5. Mestilah mempunyai sifat zuhud daripada kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada kehidupan akhirat.

6 Hendaklah memiliki sifat sentiasa suka menyuruh dan mengajak kepada makruf dan mencegah perkara mungkar; sangat tegas dengan fikirannya, mempunyai pendapat, pandangan sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai maruah serta kekuatan akal yang sempurna.

7. Dalam sejarah kerohaniannya, sheikh itu mestilah telah pernah bergaul, bersahabat dan berguru dengan mashayikh kerohanian dalam suatu tempoh yang agak panjang.

8. Semestinya seorang Muslim yang memiliki pengalaman kerohanian yang luas serta memiliki kehebatan personaliti yang disalut rapi dengan akhlak mulia, keupayaan kepemimpinan yang baik dan keluasan ilmu terhasil daripada acuan dan adunan kefahaman mendalam mengenai syariat Islam.

9. Seseorang sheikh atau murshid itu perlu dididik oleh seseorang sheikh sebelumnya sehingga mewujudkan rantaian salasilah dan keizinan yang sah.