1. Pendaftaran:

  • Rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji perlu terlebih dahulu mendaftar dengan Tabung Haji (TH).
  • Untuk mendaftar, mereka perlu mempunyai deposit di TH dengan amaun minimum RM1,300. Boleh mendaftar sama ada dengan datang sendiri ke kaunter-kaunter TH, Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, atau Maybank Islamik di seluruh negara.
  • Mereka juga boleh mendaftar secara online di alamat www.tabunghaji.gov.my atau melalui mesin ATM ketiga-tiga bank tersebut. Ini bermakna, pendaftaran haji bukanlah automatik berlaku semasa membuka akaun TH.

2. Pemilihan kelayakan:

  • Pemilihan bakal haji tahun semasa dibuat berdasarkan yang mendaftar dahulu, didahulukan.
  • Bagi jemaah yang terpilih ke Tanah Suci pada tahun semasa, surat tawaran akan dihantar oleh TH kepada mereka berdasarkan alamat yang ada pada rekod pendeposit TH.
  • Amat penting bagi setiap pendeposit terutama yang telah mendaftar haji, untuk segera mengemas kini alamat mereka dengan TH, setiap kali berubah alamat.
  • Apabila mendapat surat tawaran terpilih, bakal haji hendaklah mencukupkan wang bayaran haji dan menyatakan persetujuan secara rasmi kepada TH dalam tempoh masa dinyatakan dalam surat itu.
  • Jika lambat menyatakan persetujuan, mereka dikira menolak tawaran menunaikan haji pada tahun semasa.
  • Mereka juga perlu mendapatkan buku rekod rawatan perubatan daripada TH.

3. Bimbingan:

  • Bakal haji terpilih akan dipanggil mengikuti tiga peringkat kursus haji anjuran TH iaitu Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.

4. Pemeriksaan kesihatan:

  • Bakal haji dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau pusat-pusat kesihatan kerajaan yang disenaraikan atau panel terpilih TH.
  • Setiap bakal haji perlu lulus saringan kesihatan fizikal dan mental serta perlu mendapatkan suntikan vaksin Meningitis Meningococcal ACYW-135, sebelum visa haji mereka diuruskan.
  • Suntikan-suntikan tambahan iaitu vaksin influenza, dan vaksin pneumonia juga digalakkan.

5. Pengurusan pasport:

  • Untuk urusan visa, bakal haji perlu menyediakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
  • Bagi yang telah mempunyai PMA, pastikan tempoh sah laku tidak kurang enam bulan selepas 15 Muharam tahun berikutnya.Mesti terdapat sekurang-kurangnya empat muka surat kosong secara berturutan, sebelah-menyebelah.
  • Bagi yang belum mempunyai PMA, perlu berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdekatan, atas tanggungan sendiri.
  • Bakal haji perlu menyerahkan PMA mereka sebelum 21 Syaaban.
  • Bakal Haji perlu memastikan tiada larangan untuk mereka ke luar negara.
  • Semakan senarai syak (halangan meninggalkan Malaysia) boleh dibuat di mana-mana pejabat JIM atau melalui Sistem Aplikasi Elektronik JIM.
  • Bakal haji wanita berusia 44 tahun dan ke bawah perlu mempunyai muhrim/mahram lelaki mengiringinya.
  • Dokumen-dokumen mengesahkan hubungan (mahram) mereka hendaklah disediakan dengan pengesahan-pengesahan tertentu. Maklumat lengkap boleh diperoleh dari pejabat-pejabat TH atau laman web TH.
  • Setelah bakal-bakal haji memenuhi syarat-syarat pemeriksaan kesihatan, pasport, larangan meninggalkan negara dan keperluan mahram seperti di atas, maka buku rekod rawatan, pasport, dokumen-dokumen, serta gambar foto mereka (berukuran 4x6 cm, berlatar belakang warna putih) hendaklah dibawa ke pejabat cawangan TH terdekat.

6. Surat Jadual Penerbangan:

  • TH akan menetapkan tarikh bakal haji melapor diri untuk berangkat ke Tanah Suci dengan menghantar Surat Jadual Penerbangan (SJP) secara berperingkat-peringkat.
  • Bakal haji yang hendak mengetahui status mereka boleh berhubung dengan pejabat TH berhampiran atau TH Contact Centre pada talian 03-62071919.
  • Mereka bakal berlepas secara berperingkat-peringkat mulai 1 Zulkaedah hingga 3 Zulhijah pada tahun semasa.
  • Perlu melaporkan diri seperti mana lokasi, tarikh dan masa yang dinyatakan dalam SJP.

PANDUAN UNTUK BAKAL HAJI

7. Operasi penerbangan haji.

Sebagai persediaan di rumah, TH menyarankan agar bakal haji:

  • Menulis maklumat diri lengkap seperti nama, alamat, nombor telefon, nombor penerbangan dan nombor PMA pada beg yang dibawa.
  • Menyediakan wang perbelanjaan secukupnya dengan menukar sedikit wang Saudi Riyal di Bank Islam atau mana-mana bank atau pengurup wang (dalam anggaran SR1,500).
  • Bakal haji yang menghidap penyakit tertentu dan memerlukan ubat atau peralatan khas perlu membawa sendiri dengan jumlah kecil dalam beg bimbit kecil (hand luggage) berserta dengan surat doktor.
  • Baki ubat untuk bekalan sepanjang berada di Tanah Suci hendaklah diletak dalam bagasi besar.

Beberapa peraturan pihak-pihak berkuasa yang perlu dipatuhi:

  • Pihak berkuasa penerbangan tidak membenarkan membawa alatan tajam (pisau, gunting dan sebagainya) serta barang-barang cecair seperti aerosol atau gel ke dalam beg bimbit kecil.
  • Kerajaan Arab Saudi melarang setiap bakal haji membawa bahan bercetak/risalah berbentuk propaganda serta tidak boleh membawa barang dagangan.
  • Bakal haji yang hendak membawa mata wang tunai (dalam apa juga mata wang) nilainya melebihi AS$10,000, perlu mengisi borang pengisytiharan Jabatan Kastam Diraja.

Semasa berangkat, bakal haji harus:

  • Memastikan lokasi, tarikh dan waktu mereka melaporkan diri seperti yang terdapat pada SJP dan membawanya bersama.
  • Tinggalkan keratan sebelah bawah SJP tersebut kepada waris di Malaysia.
  • Membawa bersama buku rekod rawatan.
  • Memakai Lencana Pengenalan Haji dan Gelang Pengenalan Haji (GPH) yang TH bekalkan.
  • Jemaah haji akan mulai balik pada 18 Zulhijah.