Batu firus adalah sejenis batu permata separa berharga yang biasa ditemukan pada perhiasan zaman sebelum dan sewaktu zaman pemerintahan dinasti Islam.

Antara tamadun kuno yang turut menggunakan batu firus ini sebagai perhiasan diraja ialah Tamadun Mesir dan Tamadun China.

Warna biru firus yang lembut sering dilihat sebagai pelengkap hiasan beberapa jenis barangan kesenian Islam sama ada untuk kegunaan golongan wanita, lelaki dan juga sebagai perhiasan rumah termasuk seni bina.

Batu firus juga sering digandingkan dengan beberapa lagi jenis batu seperti carnelian dan batu marjan.

Berbeza dengan batu permata berharga yang mempunyai sifat lebih jernih dan keras, batu firus mempunyai sifat warna yang legap dan mudah pecah.

BATU BERKUALITI TINGGI

Batu firus dalam sejarah kesenian Islam lebih banyak dihasil dan digunakan di bumi Parsi atau Iran. Lokasi lombong batu firus berkualiti tinggi di Iran terletak di Khurasan. Ia dikenali dengan nama Ferozah yang bermaksud kemenangan dan dikategorikan sebagai batu kebangsaan Iran.

Aktiviti perlombongan batu firus di Iran mempunyai sejarah selama 2,000 tahun. Walaupun Iran bukan lagi pengeluar utama hari ini, namun ia masih mengungguli dari segi kualiti batu firus terbaik di dunia.

Kualiti batu firus terbaik adalah daripada kategori yang dikenali sebagai Angushtari. Batu firus dalam gred ini dikatakan mempunyai warna biru firus lembut yang sekata dan hanya mempunyai sangat sedikit bintik atau cela.

Bilangan bintik dan warna menentukan kualiti dan harga batu firus. Batu firus daripada kategori Angushtari selalunya digunakan bagi perhiasan golongan diraja dan bangsawan.

Penyebaran penggunaan batu firus keluar dari Iran ke wilayah Islam lain terjadi melalui perdagangan laluan sutera dan juga penyebaran kuasa politik. Ia dipercayai diperkenal ke Eropah melalui laluan sutera ke Turki di mana masyarakat Eropah mula mengenali dan membeli batu firus.

Malah perkataan turquoise itu sendiri berasal daripada perkataan Perancis turquois yang sebenarnya merujuk kepada nama Turki, tempat batu ini ditemui orang Eropah. Ia diperkenal ke India ketika pemerintahan Dinasti Mughal.

Antara artifak Islam yang menggunakan tatahan batu firus ialah koleksi pedang Rasulullah SAW yang terletak di Muzium Topkapi, Turki. Batu firus yang digunakan ditatah pada sarung dan hulu pedang dengan menggunakan satu lagi teknik yang menarik dalam kerja logam Islam iaitu kundan.

Batu firus digandingkan dengan sejenis batu berwarna merah dan jernih yang mirip dengan batu delima. Tiada gandingan khusus dalam penggunaan batu separa berharga ini. Ia boleh digunakan bersama logam emas, perak, suasa, tembaga dan sebagainya mengikut kualiti batu, kemampuan dan citarasa pemakai.

Pada hari ini, pengeluaran batu firus lebih dimonopoli oleh Amerika Syarikat dan dari segi kualiti batu yang dihasilkan juga menghampiri kualiti batu firus yang terdapat di Khurasan.

Perhiasan yang menggunakan batu ini masih menjadi pilihan di negara Barat, Timur Tengah dan Timur walaupun harga dan penghargaan yang diterima sangat berbeza dari zaman kegemilangannya dahulu.

BATU FIRUS

  • Banyak digunakan pada perhiasan zaman Dinasti Islam dan tamadun 
kuno.
  • Dikenali dengan nama turquoise oleh negara Barat yang sebenarnya merujuk kepada nama Turki.
  • Dalam sejarah kesenian Islam, ia banyak dihasil dan digunakan di Iran atau Parsi.
  • Di Iran dikenali sebagai Ferozah, lombong berkualiti tingginya di dunia terletak di Khurasan.
  • Kualiti terbaik adalah daripada kategori Angushtari, banyak digunakan bagi perhiasan golongan diraja dan bangsawan.
  • Ia dikeluarkan ke wilayah lain termasuk Barat melalui perdagangan laluan sutera
  • Antara artifak Islam menggunakan tatahan batu firus ialah koleksi pedang Rasulullah SAW