Nama-nama kerajaan seperti Mataram, Sailendra, Majapahit dan Singahsari mungkin tidak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia kerana nama-nama ini pernah diajar dalam silibus pelajaran sejarah di sekolah. Pengaruh kerajaan-kerajaan Jawa kuno ini tidak boleh dinafikan dalam perkembangan penulisan di alam Melayu.

Satu daripada bukti awal yang menunjukkan pengaruh kerajaan kuno ini dalam penulisan ialah bahasa. Bahasa Jawa kuno digunakan seiring dengan penggunaan tulisan Kawi yang wujud sebelum Jawi. Tulisan Kawi dikenali sebagai tulisan Jawa kuno yang menggunakan bahasa Jawa kuno walaupun dalam masa yang sama tulisan ini turut digunakan dalam penulisan berbahasa Sanskrit.

Selepas kedatangan Islam, berlaku evolusi tulisan utama di alam Melayu daripada Kawi kepada Jawi, perkataan yang digunakan masih lagi dibawa dan digunakan dalam penulisan dengan ejaan dan huruf berbeza. Pelarasan bahasa Jawa kuno dan tulisan Jawi boleh dilihat dalam teks tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu. Ia dikaji dan ditafsirkan tulisannya oleh pelbagai pakar filologi Melayu termasuk pengkaji asing.

PENGARUH BAHASA JAWA KUNO

Batu Bersurat Terengganu dianggap penting dalam sejarah kewujudan ajaran Islam dalam sebuah masyarakat yang tinggal di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Sepintas lalu, ramai yang tersilap sangka di mana mereka menganggap tulisan Jawi yang terdapat di atas batu itu menggunakan bahasa Melayu kuno. Namun, terdapat juga pendapat daripada pakar filologi yang menguasai bahasa Jawa bahawa bahasa yang digunakan mempunyai percampuran antara bahasa Jawa kuno dan Melayu.

Perkataan-perkataan Jawa Kuno yang digunakan adalah merujuk kepada konsep kehidupan dan pegangan masyarakat di Kuala Berang ketika itu yang menganuti agama Islam. Contoh utama ialah perkataan ‘Dewata Mulia Raya’ yang merujuk kepada Allah SWT. Perkataan dewa digunakan di atas batu bersurat tersebut kerana pada zaman itu, masyarakat memahami bahawa dewa merupakan nama panggilan bagi tuhan dan dewa juga mempunyai kuasa di atas kehidupan dan sebagainya.

Satu lagi contoh perkataan Jawa kuno yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu ialah perkataan ‘saka’. Perkataan ini membawa maksud ‘kerana’ dan ia sangat berlainan daripada makna yang difahami oleh masyarakat kita pada hari ini. Konsep ini tidak boleh digunakan dalam masyarakat sekarang kerana cara kehidupan dan pendedahan yang lebih luas dan berbeza.

Selain daripada Batu Bersurat Terengganu, hasil penulisan kesusasteraan Melayu juga turut mengangkat dan menggunakan perkataan-perkataan daripada bahasa Jawa kuno.

Satu daripadanya ialah manuskrip yang dikenali sebagai Hikayat Raja-raja Pasai. Dalam manuskrip ini terdapat beberapa perkataan Jawa kuno yang dikenal pasti telah disalahtafsirkan seperti Tuhan Sarwa Alam yang dibaca Tuhan Seru Alam.

Perkataan Jawa kuno yang digunakan dalam penulisan adalah bersesuaian dengan konteks penulisan yang hendak disampaikan oleh penulis berkaitan dengan masyarakat yang ada dalam sesebuah karya tersebut.

Perbincangan yang mendalam ini telah disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam dalam ucaptamanya ketika Persidangan Manuskrip Melayu anjuran Pusat Manuskrip Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, Selangor, baru-baru ini.