Sedarkah bahawa hampir 70 peratus pelarian di seluruh dunia melibatkan orang Islam yang lari daripada kezaliman di negara sendiri atau akibat peperangan?

Malah daripada jumlah itu, kira-kira 157,000 pelarian berada di negara ini bagi mendapatkan perlindungan dan mengharapkan ihsan orang ramai demi meneruskan kelangsungan hidup.

Selama mana mereka harus bergantung harap kepada belas ihsan orang ramai untuk meneruskan kehidupan? Apakah ada jalan terbaik untuk mereka berdiri atas kaki sendiri bagi merencana kehidupan seterusnya?

Jika tiada perancangan sempurna untuk golongan tersebut, pastinya perkara itu akan memberi kesan kepada Islam kerana kebanyakan besar pelarian adalah melibatkan masyarakat Islam yang berhadapan masalah besar di negara kelahiran termasuk dari Iraq, Palestin, Syria, Bosnia, Afghanistan, Somalia serta etnik Rohingya di Myanmar.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zarina Othman berkata, kajian dan soal selidik dilakukan ke atas kumpulan pelarian minoriti Islam Rohingya yang ditindas di Myanmar mendapati, kumpulan masyarakat Islam itu sangat mengharapkan bantuan dalam bentuk pendidikan.

Katanya, bantuan tersebut dilihat mampu mengubah nasib masyarakat pelarian Rohingya daripada terus mundur dan bebas daripada menjadi mangsa kezaliman di negara sendiri.

“Berdasarkan tinjauan dan kaji selidik yang kami lakukan di kem-kem pelarian haram Cox’s Bazar, Bangladesh, kesemua maklumat diterima mahukan bantuan daripada aspek pendidikan. Kebanyakan pelarian yang ditemui tidak berpelajaran.

“Bagi mereka, pendidikan sahaja mampu mengubah nasib masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar. Dengan ilmu pengetahuan, mereka berupaya melakukan perubahan dan mempunyai keyakinan membangunkan masyarakat yang tidak diterima di negara sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran Bicara Persada Ke-35 yang bertajuk Pelarian Muslim: Penindasan Atau Kelangsungan Hidup? di UKM, baru-baru ini.

Tiga lagi ahli panel yang turut serta dalam sesi percambahan ilmu itu ialah Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin), Awang Suffian Awang Piut; Presiden Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Mohamad Raimi Ab. Rahim serta Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari UKM, Shamsul Azhar Yahya.

Bina pusat pendidikan khas

Hasil temubual yang dilakukan ke atas pelarian Rohingya, golongan itu menyatakan mahu sebuah pusat pendidikan dengan kadar segera yang 
boleh memberi latihan kemahiran atau vokasional kepada mereka.

Mengulas lanjut hal ini, Zarina Othman, berkata, dengan bantuan segera dalam bidang pendidikan tersebut, golongan pelarian itu dijangka dapat meneruskan kelangsungan hidup dan berikhtiar mendapatkan sumber pendapatan buat diri serta keluarga.

Sehubungan itu, katanya, satu usaha boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak di negara ini untuk membina pusat pendidikan yang boleh memberi manfaat kepada golongan pelarian di negara ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilihat sangat bermanfaat dalam membantu golongan pelarian membina semula kehidupan, seterusnya memperoleh ilmu yang boleh digunakan pada masa hadapan sekiranya berpeluang kembali ke negara asal dan membangunkan tanah air.

Tambahnya, pelaksanaan seumpama itu dilihat berjaya dilakukan di Uganda apabila kumpulan pelarian yang diberi latihan kemahiran atau vokasional berjaya membangunkan diri sendiri untuk meneruskan kehidupan.

“Berdasarkan apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa di Uganda dengan memberi latihan memasak dan menjahit kepada golongan pelarian wanita serta kelas automobil kepada pelarian lelaki, mereka berupaya mengubah nasib diri dan keluarga.

“Jika seumpama itu dapat dilaksanakan, perkara itu sangat bermanfaat kepada kumpulan pelarian yang tidak mempunyai tahap pendidikan seperti masyarakat Rohingya.

“Mereka adalah golongan pelarian yang dipinggirkan oleh negara ketiga kerana tidak mempunyai pendidikan,” luahnya.