Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan bantuan guaman, akta itu dipinda bagi mencapai maksud tersebut.

Antara pindaannya, menyemak semula ujian kemampuan pelanggan Jabatan Bantuan Guaman dengan memperkenal pendekatan lebih praktikal bagi menentukan kelayakan bantuan guaman pelanggan.

Ia juga menyelaraskan pemberian bantuan guaman kepada mereka berpendapatan rendah yang merupakan penerima bantuan khas kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia kerana khidmat bantuan guaman ini hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.

INOVASI TERBAIK

Selain itu, satu perkara yang menarik perhatian saya ialah pindaan ini juga memperkenal khidmat ‘pendamping guaman’. Ia adalah satu khidmat baharu, yang mana kanak-kanak mangsa jenayah seksual mendapat khidmat seorang pendamping guaman yang akan membantu dalam isu-isu perundangan dan prosiding mahkamah. Khidmat ini terbuka kepada semua kanak-kanak yang menjadi mangsa kesalahan jenayah seksual.

Antara fungsi pendamping guaman adalah untuk menasihati penjaga mangsa kanak-kanak mengenai undang-undang dan menemani kanak-kanak dalam prosiding mahkamah serta dengan kebenaran mahkamah untuk bercakap bagi pihak mangsa. Pendamping guaman berupaya melindungi kepentingan undang-undang kanak-kanak dan bertindak sebagai penenang kepada mangsa terutama semasa prosiding mahkamah.

Walaupun terdapat beberapa aspek penting dalam pindaan undang-undang tersebut tetapi dalam kolum ini saya hanya akan menumpukan mengenai khidmat pendamping guaman yang merupakan suatu inovasi terbaharu.

Inisiatif yang dipelopori Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ini sangat baik kerana ia dapat memberikan peluang mendapat pembelaan terbaik kepada kanak-kanak dan keluarganya yang menjadi mangsa kepada suatu perlakuan jenayah.

ELAK PERTINDIHAN PERKHIDMATAN

Sudah pasti mangsa jenayah menghadapi trauma lebih-lebih lagi kanak-kanak. Ia juga sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang pada ketika ini sedang mengusahakan untuk melantik peguam bagi mangsa kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.

Walaupun mungkin terdapat pertindihan khidmat yang bakal diberikan, maka amat penting bagi kedua-dua badan kerajaan ini menyelaraskan perkhidmatan supaya hasrat murni itu dapat dikecapi rakyat tanpa sebarang masalah berbangkit.

Perkara lain yang perlu diteliti:

* Keperluan bagi kanak-kanak mangsa jenayah mendapat khidmat psikologi daripada pakar bertauliah kerana rata-rata tragedi buruk yang menghambat minda mangsa perlu ‘diubati’ dengan pendekatan psikologi.

* Undang-undang hanya bertindak mempertahan hak dan kepentingan tetapi tidak merawat perasaan trauma serta kesengsaraan dihadapi mangsa kanak-kanak tersebut.

DEMI KEADILAN KEPADA SEMUA

Pada pandangan saya sekiranya perkhidmatan pendamping guaman ini dapat dilaksanakan ia akan memberi peluang kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka untuk mendapat khidmat nasihat guaman serta representasi yang adil di mahkamah.

Ini kerana pendamping guaman berperanan memberikan semua input perundangan kepada mangsa dan keluarganya.

Dengan cara ini mangsa terbabit mendapat pilihan yang jelas dalam merangka tindakan perlu diambil dari segi undang-undang.

Adalah diharapkan dengan wujudnya khidmat pendamping guaman ini rakyat Malaysia mendapat satu lagi khidmat terbaik pada kadar minimum, sekali gus memastikan kebajikan rakyat terbela.

Inilah antara manifestasi keutamaan yang diberikan kerajaan kepada rakyat khususnya bagi golongan B40 yang tidak berkemampuan membayar khidmat yang mahal.

Ia sejajar dengan dasar kerajaan yang tidak mahu keadilan dinafikan kepada rakyat hanya kerana rakyat tersebut tidak mampu untuk membayar khidmat bagi mendapatkan keadilan tersebut.

Mudah-mudahan khidmat pendamping guaman ini dapat mengurangkan kesan trauma dilalui kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka.

Malah mereka juga berupaya mencorak masa depan pascatrauma dengan mengambil apa-apa tindakan yang perlu selepas itu.

Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak tersebut tetapi juga memastikan keadilan dapat dinikmati semua pihak.