Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pembelaan keluarga mangsa bunuh

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan beramah mesra dengan peguam yang ditauliahkan pada majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pahang, baru-baru ini. - BERNAMA

DALAM kes jenayah seperti pembunuhan, lazimnya keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kehilangan orang tersayang sangat memilukan apatah lagi jika melibatkan ketua keluarga.

Tidak dapat dibayangkan betapa pilunya perasaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa. Berat mata melihat, berat lagi bahu yang memikul.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntuk bahawa ‘sesiapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh’. Di Malaysia pelaksanaan hukuman bunuh dibuat dengan menggantung pesalah sehingga mati. Di beberapa negara lain hukuman bunuh menggunakan kaedah lain seperti kerusi elektrik, tembak dan pancung.

Suspek kes dalam akta itu jika didapati bersalah tidak akan terlepas daripada tali gantung. Namun jika berjaya membuktikan terdapat keraguan munasabah dalam perbicaraan di mahkamah, mereka bakal terlepas daripada tali gantung.

Baru-baru ini terdapat gerakan yang mahukan hukuman mati dimansuhkan di Malaysia. Dikatakan bahawa adalah salah bagi manusia mengambil nyawa orang lain dan khuatir bakal berlaku kesilapan dalam keputusan mahkamah.

ADAKAH ADIL DAN BERPUAS HATI?

Dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya umpamanya adakah kita akan berpuas hati jika penjenayah yang disabitkan secara sah di sisi undang-undang hanya dihukum penjara sahaja? Tambahan pula jika tempoh penjara boleh dipendekkan atas alasan berkelakuan baik atau dapat pengampunan.

Tempoh penjara itu langsung tidak prihatin terhadap nasib, perasaan dan kehidupan keluarga mangsa. Islam memberi penyelesaian yang amat bijak dalam hal ini.

Pembunuhan dikategorikan dalam kes qisas iaitu hukuman sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan. Ia bukan kesalahan terhadap negara tetapi terhadap keluarga mangsa. Keluarga mangsa boleh memaafkan kesalahan tersebut.

Keistimewaan qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyat. Jika kedua-dua pihak bersetuju maka diyat itu boleh menggantikan hukuman qisas berkenaan.

Mungkin inilah yang disebut Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 179 yang bermaksud: “Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa…”.

Sayyid Qutb mentafsirkan ayat ini sebagai suatu hikmah bagi merangsangkan hati mereka dan menggerakkan perasaan takwa.

Nyawa seseorang manusia tidak dapat dinilaikan. Tiada seorang pun mempunyai kuasa memberikan nyawa kepada seseorang dan tiada seorang pun berhak mengambil nyawa seseorang melainkan sebagaimana yang telah diperintahkan. Pembunuhan dalam Islam adalah satu jenayah yang besar.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud “…. Sesiapa membunuh manusia bukan kerana dia membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia memelihara nyawa manusia seluruhnya….”. Begitu juga dalam Surah al-An’am, ayat 151 yang bermaksud “…dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan suatu sebab yang benar.”

PEMBELAAN KEPADA KELUARGA MANGSA

Melalui qisas, keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan kerana yang telah mati itu tidak akan hidup kembali tetapi kehidupan keluarga mangsa tetap perlu diteruskan.

Qisas adalah satu-satunya bentuk hukuman yang boleh menyelamatkan manusia seluruhnya daripada bahaya pembunuhan yang bertambah-tambah dari semasa ke semasa. Suatu pembunuhan tidak diikuti oleh pembunuhan lain atau ganti rugi akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam.

Mengikut Ibn Rusyd dalam kitabnya, Bidayah al-Mujtahid para ulama sepakat mengatakan kadar diyat bagi pembunuhan yang disengajakan adalah 100 ekor unta. Tetapi para ulama berbeza pandangan tentang jenis unta berkenaan. Imam Shafie berpendapat 100 ekor unta yang mahal harganya iaitu hendaklah terdiri daripada 70 ekor hiqqah (unta betina berumur tiga tahun), 30 ekor jadza’ah (unta betina berumur empat tahun) dan 40 ekor khaalifah yang bunting (unta betina yang berumur lebih lima tahun.)

Jika melihat kepada jumlah diyat tersebut, jelas ia dapat menjamin kehidupan keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang. Mungkin inilah yang dinyatakan Allah bahawa dalam qisas itu ada suatu jaminan kehidupan.

Berbeza dengan hukuman dalam undang-undang sivil yang hanya mementingkan hukuman sahaja dengan harapan ia dapat mengekang perlakuan jenayah, qisas memberi alternatif lebih baik dengan menjamin kehidupan keluarga mangsa yang ditinggalkan itu.

Penulis amat bersetuju dengan titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Jemaah Pengampunan Pahang bercadang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa berdasarkan konsep diyat.

Jika dilaksanakan sebenarnya ia tidak memerlukan kepada pindaan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Cukuplah sekadar Jemaah Pengampunan Negeri membuat kaedah bagaimana proses pengampunan boleh mengambil tempat.

Proses pengampunan hendaklah hanya boleh dipertimbangkan apabila keluarga mangsa bersetuju memberi pengampunan dengan bayaran diyat yang ditetapkan atau dipersetujui. Dengan cara ini keadilan kepada keluarga mangsa akan lebih terbela.

Tahniah kepada Negeri Pahang mudah-mudahan teladan ini diikuti negeri-negeri lain.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain