Menurut A. Horuskuhan, 31, dia terpanggil menyertai kempen bermanfaat tersebut kerana memikirkan penganjuran tersebut sangat baik untuk disertainya, malah berharap seluruh lapisan masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama akan turut sama menjayakan program itu.

Beliau yang merupakan penganut agama Hindu berkata, menerusi program tersebut, orang ramai boleh menyebar luas nilai-nilai murni yang terdapat dalam al-Quran untuk kebaikan sejagat.

“Penganjuran Kempen Let’s Read The Quran 2018 bukan suatu program yang menyentuh perkara-perkara sensitif, tetapi menggalakkan orang ramai berkongsi nilai-nilai murni yang terdapat dalam al-Quran dengan masyarakat umum.

“Menerusi penganjuran kempen ini, orang ramai boleh berkongsi maksud ayat daripada al-Quran dalam media sosial dan menandakan #LRTQ2018! pada setiap perkongsian dilakukan,” katanya yang ditemui Mega Mimbar Utusan Malaysia, baru-baru ini.

PLATFORM KONGSI KEBAIKAN

Perkara sama turut dipersetujui oleh Adelaide Gom, 22, yang menyifatkan penganjuran Kempen Let’s Read The Quran 2018 sebagai satu platform terbaik berkongsi pelbagai kebaikan yang terdapat dalam pelbagai ajaran agama termasuk Islam itu sendiri.

Gadis berketurunan Kadazan itu melihat penganjuran kempen tersebut sebagai inisiatif yang sangat baik dilaksanakan oleh Zubedy terutama dalam menerap nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial atau aktiviti tidak bermanfaat.

Jelasnya, kempen yang bertujuan berkongsi perkara-perkara positif, kasih sayang, kekeluargaan dan mempromosikan kebaikan yang ada dalam al-Quran itu boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sebuah kehidupan yang menyanjung nilai-nilai murni.

“Sebagai contoh, al-Quran menyuruh umatnya untuk tidak melakukan fitnah. Perkara yang dianjurkan oleh ajaran Islam ini sangat baik dan agama lain juga menggesa penganutnya untuk berbuat baik dengan semua orang.

“Menerusi program ini, kita juga boleh menambah baik aktiviti harian menerusi apa yang diajarkan oleh Islam, sekali gus menjadi cermin kepada amalan baik yang mahu diterapkan dalam kehidupan seharian,” kata gadis beragama Kristian dari Sabah itu.

Sementara itu, Amelyn Yee, 24, menyifatkan program itu sebagai mesej baik yang boleh diraikan bersama oleh seluruh masyarakat terutama dalam mengeratkan hubungan baik sesama kaum di negara ini biarpun mempunyai kepercayaan agama berlainan.

Gadis berketurunan Cina dari Ipoh itu turut menolak tanggapan bahawa penganjuran kempen tersebut bertujuan untuk mengajak orang bukan Islam menukar agama, sebaliknya sekadar berkongsi amalan baik yang terdapat dalam al-Quran.

“Nilai-nilai murni seumpama ini yang mahu dikongsi dengan orang ramai. Maka tidak timbul isu mahu menukar agama atau mengajak orang bukan Islam ‘convert’ ke dalam Islam kerana kempen ini sekadar mahu berkongsi kebaikan yang ada dalam al-Quran.

“Kempen ini juga memberi peluang kepada penganut agama lain untuk memahami Islam dengan sebaiknya dan mengamalkan amalan baik yang dianjurkan, seterusnya membentuk sebuah komuniti masyarakat Malaysia yang saling memahami antara satu sama lain,” katanya.