Menerusi tema Pelayaran Islamik yang Menyeronokkan, pengembaraan selama empat hari tiga malam dari Pulau Pinang ke dua daerah di selatan Thailand iaitu Phuket dan Krabi pasti menjadi suatu pengalaman mengujakan.

Apa yang menarik, syarikat ejen pelancongan, Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menyewa khas keseluruhan kapal Star Cruises bagi membolehkan beberapa aktiviti bertentangan dengan syarak ditutup semasa pelayaran tersebut.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Daud Che Ngah berkata, inisiatif sewa khas itu bertujuan memberi keselesaan kepada para peserta untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah tanpa dicemari dengan sebarang aktiviti maksiat yang turut sama berlangsung di atas kapal.

“Selain kasino atas kapal ditutup, beberapa aktiviti bertentangan dengan syariat Islam akan turut sama dihentikan seperti tiada hiburan luar batasan dan bebas daripada minuman keras.

“Selain itu, 100 peratus makanan yang dihidangkan adalah halalan toyyiban. Malah tempat memasak, alatan memasak serta kelengkapan menjamu selera termasuk pinggan mangkuk turut disamak bagi menjamin tahap kebersihan dan status halal kepada peserta pelayaran ini,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Cruise Penyucian Jiwa 2017, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana dan beberapa penceramah selebriti yang akan turut sama menyertai pelayaran Islamik tersebut termasuk pakar motivasi sensasi, Syamsul Debat; personaliti dakwah sebuah stesen televisyen, Isfadiah Mohd. Dasuki serta pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim.

Dua lagi penceramah selebriti yang akan turut serta menjayakan pelayaran itu ialah pendakwah bebas, Sheikh Imran Angullia Al-Hafiz dan Pengarah Fitrah Guidance & Consultancy, Muhidin Mokter.

Mengulas lanjut, Daud berkata, sepanjang pelayaran tersebut peserta akan menyertai pelbagai program dan ceramah keagamaan yang akan disampaikan oleh penceramah selebriti.

Tambahnya, kumpulan peserta juga akan sentiasa disajikan dengan halwa telinga menerusi alunan ayat-ayat suci al-Quran, zikir dan muzik berunsur keislaman bagi menimbulkan rasa keinsafan dalam diri.

Menurutnya, pengisian aktiviti buat kanak-kanak juga disediakan kerana pelayaran tersebut adalah sebuah aktiviti yang bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan peserta.

Selain itu, katanya, beberapa elemen kejutan akan diberikan oleh pihak kapal kepada para peserta bagi menceriakan sesi pelayaran Islamik tersebut.

“Diharap pelayaran yang akan berlangsung pada penghujung tahun iaitu 17 hingga 20 Disember itu bakal menjadi satu kenangan terindah dan peluang beribadat kepada masyarakat.

“Pelayaran tersebut mampu memuatkan penyertaan 1,500 hingga 1,700 orang peserta. Harga pakej yang disediakan bermula dari RM3,290,” katanya.