Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pelengkap ilmu tauhid, fikah

STIGMA menyamakan ilmu tasawuf dengan ajaran sesat adalah salah 2
STIGMA menyamakan ilmu tasawuf dengan ajaran sesat adalah salah dan perlu dibersihkan. - GAMBAR HIASAN

DALAM konteks disiplin ilmu tasawuf perlu diambil ingatan secara serius bahawa ia adalah antara komponen ilmu utama dalam keseluruhan ilmu-ilmu terkandung dalam ajaran Islam.

Ilmu ini, bersama komponen ilmu tauhid dan ilmu fikah adalah satu barisan dengan jenis-jenis ilmu yang perlu dipelajari umat Islam bagi menyempurnakan kehidupan dunia dan akhirat mereka. Ia merupakan suatu yang bersifat ‘part and parcel’ daripada keseluruhan ajaran Islam.

Ilmu tasawuf sesekali tidak boleh diabaikan dalam kehidupan ummah, kerana pengabaiannya boleh mencacatkan amalan-amalan fardu yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam.

Justeru, dalam kitab-kitab yang ditulis oleh kalangan ulama, mereka kerap memasukkan ke dalam satu jilid komponen ilmu tasawuf sebagai antara satu daripada tiga komponen ilmu utama dalam ajaran Islam, iaitu tauhid, fikah dan tasawuf.

Contohnya, dalam Kitab Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Allam al-Ghuyub, tulisan al-Shaykh Muhammad Amin al-Kurdi. Ini menunjukkan bahawa komponen ilmu tasawuf perlu dipelajari dan difahami setiap individu Muslim sebagaimana mereka memahami ilmu tauhid dan fikah dalam keseluruhan pengajian agama demi melengkapkan kehidupan harian mereka sebagai Muslim yang baik dan sempurna.

Di samping itu, dari perspektif hukum syarak pula, seperti ditegaskan oleh Imam al-Ghazali, pengamalan sebahagian daripada ilmu tasawuf adalah bertaraf wajib ‘ayni atau fardu ain. Ia bermaksud kewajipan mempelajari dan mengamalkannya adalah bertaraf fardu ain atau diwajibkan ke atas setiap individu Muslim yang aqil dan baligh.

Hal ini perlu difahami setiap individu Muslim agar beroleh ketenangan dalam menjalani kehidupan harian. Apa yang lebih utama perlu diberi kefahaman supaya menyedari bahawa mereka perlu berada dalam keseluruhan kerangka kefahaman dan pengamalan agama yang betul berdasarkan sumber benar dan sahih.

INTI PATI ILMU TASAWUF

Dalam lain perkataan, pengabaian komponen ilmu tasawuf dalam keseluruhan pengajaran ajaran Islam adalah satu kepincangan dan malah satu kesalahan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia sebenarnya boleh menggugat kestabilan keseluruhan penghayatan agama Islam sebagai satu agama yang syumul.

Sebenarnya, ilmu tasawuf berperanan menyempurnakan pegangan akidah dan amalan ibadah umat Islam. Hal ini dapat difahami dengan baik apabila diteliti hakikat bahawa dalam konteks akidah, sebagai contoh, ilmu tasawuf melengkap dan menyempurnakan akidah seseorang Muslim, kerana:

  • Ia membicarakan dan menunjuk ajar secara amali bagaimana cara menghayati nilai-nilai keimanan.
  • Cara membebaskan diri daripada sifat munafik dan sifat lain yang boleh mencacatkan nilai keimanan seseorang.
  • Menunjukkan cara bagaimana seseorang hamba boleh merasakan bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mengawasi dirinya.
  • Semua perkara ini biasanya tidak dikaji dalam kitab-kitab tauhid, meskipun semuanya berkaitan dengan masalah akidah.

Ilmu tasawuf memantapkan dan menyempurnakan amal ibadat seseorang Muslim kerana ia menunjuk ajar secara amali pengertian-pengertian batin yang semestinya mengikuti setiap amalan syariat seseorang Muslim seperti khusyuk, ikhlas dan sifat-sifat lain yang seumpamanya.

Juga ditunjuk ajar secara amali oleh ilmu ini faktor-faktor yang membawa kepada sifat-sifat berkenaan dan cara untuk mencapainya, di samping ilmu ini juga meningkatkan kesediaan Muslim berpegang teguh kepada hukum hakam syariat. Semua persoalan ini biasanya tidak dikaji dalam kitab-kitab fikah.

PELENGKAP ILMU LAIN

Huraian-huraian di atas menjelaskan bahawa ilmu tasawuf berperanan mengukuhkan pegangan akidah, penyempurnaan amalan ibadat dan perlakuan akhlak mulia seseorang Muslim. Dan atas asas itulah maka boleh ditemukan di sepanjang zaman pengiktirafan jelas diberikan oleh kalangan para sarjana dan ulama muktabar dari pelbagai disiplin ilmu Islam terhadap kesahihan ilmu tasawuf sebagai satu disiplin ilmu yang sah dalam Islam.

Oleh itu, kemelut ketidakfahaman dan kekaburan sekitar disiplin ilmu tasawuf seperti yang dibincangkan dalam ruangan ini sebelum ini mestilah diselesaikan dengan baik dan bijaksana, khususnya apabila membabitkan aspek kesempurnaan amalan keislaman setiap individu ummah.

ELAK STIGMA AJARAN SESAT

Stigma penyamaan tasawuf dengan ajaran sesat mestilah dibersihkan daripada keladak pemikiran dan keyakinan ummah. Satu keyakinan baharu terhadap disiplin ilmu tasawuf mestilah dibina untuk membolehkan mereka kembali memahami kedudukan sebenar disiplin ilmu ini dalam keseluruhan kerangka keilmuan Islam dan amalan keislaman.

Dengan itu, mereka dapat meletakkan disiplin ilmu ini pada posisi yang tepat dari segi kefahaman dan amalannya.

Malah, yang lebih utama dalam konteks ummah semasa di Malaysia ialah kerana pendekatan tasawuf, sebagaimana terungkap dalam keseluruhan kerangka metodologinya, merupakan satu pendekatan amali berterusan yang boleh menjamin keberkesanan dalam proses pembentukan personaliti dan akhlak insan sebagaimana dibuktikan oleh perjalanan sejarah tamadun Islam.

Program-program yang diatur untuk diamalkan secara bersungguh-sungguh dan berterusan dalam disiplin ilmu ini adalah untuk mengenyahkan sifat-sifat keji bagi digantikan dengan sifat-sifat terpuji dalam diri dan kelakuan manusia.

Oleh itu, disiplin ilmu ini amat perlu berada pada kedudukannya yang tepat dalam kerangka pemikiran dan keyakinan ummah bagi membolehkan ia diyakini untuk diguna pakai sebagai alat menyelesaikan kemelut akhlak yang sedang terjadi di tengah-tengah masyarakat umat Islam masa kini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain