Ia sebenarnya hanya adaptasi pemikiran individu tertentu yang bersifat fantasi dan khayalan semata-mata.

Semuanya itu, kerana mereka lahir dalam persekitaran konflik politik dan mazhab yang berpanjangan.

Keadaan itu berubah menjadi lebih teruk apabila ada organisasi atau kumpulan yang diketahui umum sebagai antisyarak dan antiintelektual, menyokong idea ekstremis itu.

“Kita tidak menemukan sebarang nas syarak (dalil al-Quran dan hadis Rasulullah SAW) yang menyokong serta memperakui fahaman ekstremis itu.

“Begitu juga kita tidak menemui dalam sejarah, mana-mana negara Islam yang berpegang dengan ajaran Islam melakukan apa yang dilakukan oleh pelampau agama itu,” kata Setiausaha Agung Muslim World League, Syeikh Dr. Mohammad Abdul Karim al-Issa.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk, Ancaman Liberalisme, Radikalisme dan Terorisme Dalam Dunia Islam: Pendekatan Wasatiyyah Sebagai Penyelesaian’ pada Syarahan Perdana Wasatiyyah 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Yusof Din.

Sejajar dengan itu, Mohammad menambah, pemikiran yang menyimpang itu sebenarnya termasuk dalam maksud ‘penyelewengan terhadap nas-nas syarak’.

Ini kerana, bukan hanya al-Quran memberi amaran terhadap bahayanya pembohongan sedemikian, Nabi SAW turut memberi ingatan tentang golongan pemikir ini kerana mereka mampu memperdaya manusia dengan sifat warak dan keilmuan dalam agama.

“Mereka ini boleh dianggap melakukan jenayah kerana memperguna sahsiah dan mencemarkan imej Islam demi kepentingan serta kepuasan peribadi,” katanya.

Justeru, usaha-usaha mempromosi dan memperkasa fahaman Islam sebenar perlulah dilakukan secara selari dengan usaha membasmi serta memerangi pemahaman yang menyeleweng itu.

“Ia ibarat sebatang pokok. Mencantas dahan pokok yang sudah reput, mungkin pada zahir akan mencantikkan pokok itu tetapi akarnya tetap kekal hidup dan ia akan mengeluarkan dahan baru dengan benih-benih dendam serta konfrontasi lebih dahsyat,” katanya.

Selain itu, Mohammad menegaskan bahawa umat Islam perlu menyedari bahawa sebarang unsur kemazhaban yang mengancam perpaduan dan kesatuan ummah akan mencetuskan perbalahan serta permusuhan antara penganut agama ini.

“Dalam era ini, kita boleh mendengar apa sahaja ilmu agama tetapi tidak dibenarkan mencetuskan sesuatu yang bertentangan dengan pegangan dominan selagi ia selari dengan petunjuk dan kebaikan.

“Perlu juga berhati-hati terhadap penggunaan slogan atau nama ‘keagamaan’ yang dihubungkan dengan Islam tetapi terkeluar daripada kesyumulan Islam itu sendiri,” katanya.