UTUSAN MALAYSIA: Apakah yang dimaksudkan dengan kemampuan (istitha'ah) dalam tanggungjawab mengerjakan ibadah haji?

AHMAD SUFIAN: Di dalam al-Quran, surah Al-Imran Allah ber­firman; “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.” (Ali-’Imran: 97).

Ulama terdahulu menghuraikan jalan atau laluan kepada ibadah haji itu terbahagi kepada dua iaitu persediaan dari sudut kewangan dan pengangkutan. Namun dalam konteks semasa, aspek kemampuan mengerjakan haji ini berubah menjadi lebih dinamik. Contohnya soal jarak atau kedudukan seseorang dengan tanah suci yang tidak sama seperti zaman Rasulullah dan para sahabat yang tinggal di sekitar Mekah.

Imam Shafie menghuraikan istitha’ah kepada dua iaitu kemampuan mengerjakan haji secara sendiri atau secara gantian (badal haji). Perbincangan me­ngenai perkara ini kemudian menjadi lebih terperinci apabila aspek kemampuan tidak hanya berkisar mengenai soal wang ringgit yang mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik bahkan merangkumi keperluan perbelanjaan tanggu­ngan ahli keluarga yang ditinggalkan sepanjang tempoh itu.

Apabila memperkatakan soal mengerjakan haji, masih ramai yang menggunakan alasan ‘belum sampai seru’ sebagai alasan untuk melengah-lengahkan kewajipan ini. Adakah aspek kemampuan itu wajib dicapai?

Tuntutan melaksanakan haji terbahagi kepada dua bahagian iaitu kewajipan mengerjakan haji sebagai seorang Islam dan kewajipan mencapai kemampuan atau istitha’ah. Sehubungan itu, mazhab Shafie mengangkat hukum usaha untuk mencapai kemampuan itu sebagai wajib.

Dalam kehidupan hari ini, perkara ini berkait rapat dengan soal pengurusan wang dan cara perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada simpanan untuk mengerjakan ibadah itu selain tidak membazir dalam perbelanjaan seharian. Ini kerana jika kita mempunyai pendapatan yang besar sekalipun tetapi gagal menguruskan kewangan dengan baik, impian itu pasti tidak akan tercapai. Lebih ditakutkan, jika perbuatan itu menyebabkan kita tergolong dalam kalangan manusia yang kufur pada nikmat Allah.

Selain aspek kewangan, konsep istitha’ah juga perlu dilihat ‘lebih awal’ iaitu keperluan melaksanakan apa yang perlu untuk tujuan haji seperti mempunyai tubuh badan yang sihat, mendaftar haji serta mendalami ilmu agama. Kewajipan ini boleh disandarkan kepada hadis Nabi: “Janganlah memaksakan (berusaha keras) mengadakan perjalanan kecuali pada tiga masjid, Masjidil Haram, Masjid Rasul (Nabawi), dan Masjid Al-Aqsha” (Shahih Bukhari).

Rakyat negara ini menikmati nilai subsidi yang besar daripada urusan haji melalui muasassah Tabung Haji. Adakah umat Islam boleh bergantung kepada subsidi yang diberikan dalam mengerjakan ibadah haji?

Islam tidak membenarkan umatnya meminta-minta dalam urusan mengerjakan ibadah namun pemberian subsidi ini merupakan bentuk pemberian yang dibenarkan kerana ia diberikan daripada sumber yang baik. Sehubungan itu, sebagai rakyat di negara yang mempunyai struktur kemudahan haji yang terbaik di dunia, tidak salah untuk kita memanfaatkan kemudahan itu bahkan ia boleh dianggap sebagai kemudahan yang meri­ngankan lagi aspek istitha’ah.

Ada yang menjadikan simpanan di Tabung Haji sebagai instrumen pelaburan untuk me­raih keuntungan. Adakah amalan ini bercanggah dengan syariah?

Menyimpan di Tabung Haji pada asasnya perlu diniatkan untuk tujuan simpanan haji semata-mata dan kita tidak boleh mengharapkan keuntungan hasil daripadanya kerana penyimpan hanya berhak pada modal asal (simpanan). Konsep ini jika diperhalusi sebenarnya boleh dijadikan asas perancang kewangan yang baik seperti mana fungsi zakat. Bagaimanapun, melalui konsep Wadiah Yad Dhamanah yang diamalkan oleh Tabung Haji, pendeposit berpeluang menikmati pemberian hibah daripada keuntungan pelaburan Tabung Haji. Hibah ini pula adalah pemberian ‘hadiah’ yang tidak boleh dijanjikan oleh Tabung Haji.

Apakah yang dimaksudkan de­ngan konsep Wadiah Yad Dhamanah dan apakah kelebihannya?

Dalam muamalat Islam, wadiah bermaksud simpanan harta. Dari segi hukum asalnya, sebarang simpanan perlu dilaksanakan melalui konsep Yad Amanah iaitu simpanan yang dijaga dan tidak diusik.

Bagaimanapun melalui Wadiah Yad Dhamanah pula, simpanan wang yang diperoleh oleh Tabung haji digunakan untuk mengembang dana melalui pelaburan demi kebaikan masyarakat. Ini kerana dari sudut ekonomi Islam, duit tidak sepatutnya disimpan dalam kea­daan ‘beku’ tanpa dikembangkan untuk menjana ekonomi sebagaimana saranan Nabi Muhammad SAW yang mahu harta anak-anak yatim digunakan untuk perniagaan.