Orang dahulu bergaduh dan bertengkar secara berdepan. Lain pula halnya dengan orang moden, medan tempur mereka adalah alam maya dengan lawan yang berbatu-batu jaraknya.

Kalau orang dahulu bertindak, diuli muka lawan dengan buku lima atau ditetak dengan parang. Darah pendekar terpamer melalui gerak langkah. Maka tinggallah parut zahir pada lawan. Orang moden pula menguli musuh dengan senjata ‘print screen’ yang kemudiannya ditular seluruh dunia. Biar lawan malu tujuh keturunan. Kepahlawanan mereka terserlah pada ‘silat atau kuntau jari’ yang menaip dan menekan papan kekunci.

Lalu tinggallah parut emosi pada pihak lawan. Kepakaran manusia bersilat dalam media sosial jelas nyata ketika pilihan raya umum baru-baru ini dengan kemunculan ramai pahlawan kekunci yang handal bertempur.

Rupanya dalam bicara Surah Yasin, Allah sudah menegur tabiat ‘suka bergaduh dan bertengkar’ manusia dalam firman-Nya: “Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): “Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang benar (maka kami sedia menunggu)!”, Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing),” (Yasin [36:48-49]).

Ayat ini mengisahkan kebiadaban Musyrikin Quraisy menyindir Rasulullah SAW dengan bertanya bila tarikh tepat kiamat bakal berlaku. Menariknya, di hujung ayat 49 disebut secara sinis memang manusia sangat suka bertengkar dan bergaduh.


ISLAM AGAMA FITRAH

Persoalannya, bolehkah kita bergaduh atau bertengkar? Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam tidak membunuh fitrah manusia, sebaliknya membimbing ke lorong yang betul iaitu lorong menjanjikan pahala.

Jika manusia suka jantina berbeza, Islam membimbingnya ke laluan pernikahan yang sah sehingga hubungan kelamin pun membuahkan pahala berganda.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Abu Dhar r.a. menyebut sekumpulan manusia pernah berkata kepada nabi: Wahai Rasulullah, orang yang kaya mendapat pahala lebih banyak. Mereka solat seperti kami. Mereka juga puasa seperti kami. (Akan tetapi) mereka sedekah dengan lebihan harta mereka.” Rasulullah menjawab: “Bukankah Allah turut memberi kepada kamu apa (banyak perkara) yang boleh kamu sedekahkan. Sesungguhnya pada setiap tasbih, takbir, tahmid, tahlil, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran itu (ada pahala) sedekah. (Bukan setakat itu) sesungguhnya pada kemaluan setiap kamu itu (juga ada pahala) sedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah dengan memenuhi kehendak nafsu (kelamin) kami juga diberikan pahala?” Baginda menjawab: “Apa pandangan kamu jika (keperluan) kemaluan itu diletakkan pada yang haram, sudah pasti ia membawa dosa. Maka apabila kamu meletakkan pada yang halal sudah pasti ia membawa pahala,” - Riwayat Muslim.

Jika manusia suka harta, Islam mengarahkannya ke laluan yang halal dan sah. Pahala juga digandakan kepada si kaya yang rajin bersedekah. Jika manusia suka bergaduh dan bertengkar, Islam memandunya ke jalan yang betul di medan jihad melawan kafir harbi atau kandang debat sopan sebagai jalan dakwah.

Firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk,” (al-Nahl [16:125]).

Kadangkala bergaduh atau bertengkar pun turut berlaku sesama orang Islam. Jika perlu bergaduh atau bertengkar dengan saudara Muslim sekalipun, jagalah adabnya. Kenali mana musuh dan mana saudara seagama. Perhatikan sifat orang beriman yang dipuji Allah ketika berhadapan dengan teman seakidah walaupun mereka mungkin berlainan ‘jemaah atau parti’.

“Wahai orang yang beriman! Sesiapa antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir (harbi di medan perang), mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya,” (al-Ma’idah [5:54]).

Jagalah bahasa ketika bertengkar atau bergaduh kerana bahasa adalah jendela syaitan. Apabila jendela ini terbuka luas maka syaitan akan menyusup masuk secara licik. Natijahnya pertengkaran bakal mengundang permusuhan: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada para hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (sama ada Mukmin dan menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia,” (al-Isra’ [17:53]).

Baginda juga bersabda maksudnya: “Seorang Muslim (sejati) adalah orang yang saudara Muslimnya yang lain terselamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Bergaduh, bertengkar dan berselisih pendapat adalah fitrah manusia. Jagalah etika dan akhlak Islam, kita akan senantiasa nampak mulia dan indah walaupun ketika berselisih pendapat.