Malah, membaca al-Quran tidak lagi terhad kepada cara tradisional iaitu dalam bentuk buku. Dengan kemajuan teknologi, al-Quran versi digital kini turut boleh dibaca di mana-mana dan pada bila-bila masa menggunakan aplikasi pada telefon bimbit mahupun komputer tablet.

Namun bagaimana pula di negara-negara kurang membangun atau diselubungi konflik berpanjangan yang mana kemudahan pembelajaran agak terbatas, apa lagi merasai kesenangan teknologi masa kini?

Lawatan pendakwah terkenal kelahiran Afrika Selatan, Sheikh Sulaiman Moola ke sebuah bilik darjah di Kibusu yang terletak di sebuah gurun di Kenya membuatkan beliau menitiskan air mata melihat kesungguhan kanak-kanak di situ mempelajari al-Quran walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Berdasarkan video yang dimuat-naik di saluran Youtube, Ilmfeed, sekumpulan kanak-kanak tekun mempelajari al-Quran dengan menulis ayat-ayat suci itu di sekeping papan kayu.

Usai menghafal ayat-ayat tersebut dengan tunjuk ajar guru, mereka akan mencuci tulisan pada papan itu dan menulis ayat-ayat seterusnya seperti zaman dahulu, tiada pen dan buku membantu pembelajaran mereka.

Bilik darjah mereka cukup daif. Seperti sebuah gudang yang ditinggalkan tanpa kemudahan asas seperti kipas, kerusi dan meja. Kanak-kanak di situ duduk di atas lantai dan belajar dalam keadaan cuaca panas.

Di sebalik kekurangan ini, walau untuk mendapat buku nota bagi menyalin nota pelajaran yang dianggap murah bagi kita, kanak-kanak di situ masih mampu mema­hami dan meng­hafal dengan lancar.

Sheikh Sulaiman juga mendekati seorang pelajar lelaki yang begitu lancar membaca sepotong ayat al-Quran dan kemudian menulisnya pada papan yang dipegang erat sejak awal kelasnya bermula. Malah kanak-kanak tersebut telah berjaya menghafal lima juz al-Quran walaupun belajar dalam serba kekurangan.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa Allah memberi keistimewaan kepada saya untuk duduk dalam kalangan anak muda ini - suci, bersih dan membaca serta menghafal al-Quran.

“Dia menulis (ayat al-Quran), kemudian menghafalnya lalu memadamkan papan tersebut dan pada keesokan harinya dia melakukan perkara sama tanpa rasa jemu.

“Sebuah al-Quran milik kita mungkin diabai atau ditinggalkan di atas rak untuk masa yang lama tetapi anak-anak ini tidak mempunyai keistimewaan itu,” ujar Sheikh Sulaiman.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk turut sama mula komited membaca al-Quran selain memberi bantuan serta derma kepada projek-projek sebegini.

Video tersebut telah dikongsikan sebanyak lebih 3,000 kali dalam masa seminggu sahaja. Saluran Ilmfeed merupakan milik Yayasan Al-Imdaad, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Republik Afrika Selatan, yang berdedikasi menyediakan perkhidmatan bantuan kemanusiaan dalam situasi krisis dan bukan krisis kepada kebanyakan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin tanpa mengira kaum, agama, budaya, kepercayaan dan sempadan.

Sheikh Sulaiman kini merupakan sebahagian daripada pasukan Yayasan Al-Imdaad yang bertugas di Kenya bagi melaksanakan projek-projek kebajikan dengan pejabat Yayasan Al-Imdaad di sana.

Antara projek dan bantuan yang telah dijalankan adalah mengedarkan bantuan bekalan makanan dan minuman di kawasan terjejas.

Sheikh Sulaiman sudah mendalami ilmu agama Islam sejak kecil dan selepas selesai menghafal al-Quran pada usia 14 tahun, beliau menghabiskan tujuh tahun seterusnya untuk mempelajari bahasa Arab, tafsir, hadis, aqidah dan fekah.

Berguru dengan ulama terkenal dari Afrika Selatan dan India, beliau kemudian mula mengajar di beberapa madrasah sekitar Afrika Selatan termasuk al-Uloom Zakariyya.

Beliau kini menetap di Afrika Selatan dan sering mengembara ke seluruh dunia terutama negara-negara yang mempunyai penduduk Islam atas dasar dakwah. Antaranya Timur Tengah, United Kingdom, Singapura, Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Ceramahnya telah memberi inspirasi kepada ramai terutama golongan muda malah ia juga boleh didengari menerusi laman web Sulaiman Moola.

Beliau turut pernah menerbitkan dua buku keagamaan berjudul The Sun That Never Set dan Echoes From The Cave menerusi Mathabah Press, tempat di mana beliau bertugas sebagai ketua penasihat dan guru.