Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kebanyakan kes penipuan umrah melibatkan tawaran pakej pada harga murah dan di luar jangkaan hingga mengaburi mangsa.

Menurutnya, penipuan yang berlaku setiap kali musim haji dan umrah bukan lagi perkara baharu dan tidak wajar menuding jari kepada pihak penguat kuasa semata-mata kerana kecenderungan terjadi disebabkan oleh keghairahan pengguna itu sendiri.

“Ada baiknya kita tekankan terhadap langkah-langkah pencegahan bagi mengelak kes penipuan berulang apabila tiba sahaja musim haji atau umrah.

“Jika saling menuding tanpa bertindak seperti sepatutnya, ia akan terus berulang. Jadi, sudah masanya pendekatan pendidikan kepenggunaan diterapkan dengan memberi pemahaman dan penilaian dalam mengenal pasti kebenaran sesuatu pakej ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan, hampir setiap bulan kes penipuan pakej haji dan umrah berlaku disebabkan oleh manipulasi syarikat pengendali pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Nadzim, pendekatan pendidikan perlu diaplikasikan kepada pengguna melalui media massa sebagai medium hebahan atau makluman tentang langkah pencegahan dan kaedah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

“Selain memantau syarikat pengendali haji dan umrah, pihak berkuasa termasuk Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, perlu wujudkan pusat panggilan sebagai rujukan pengguna mengenai pakej yang ditawarkan atau syarikat pengendali yang sah serta berdaftar,” katanya.

Habis..//