Mat Admara Alang Azizdin

Pengarah Operasi Pe­ngelola Jemaah Haji 1438 Hijrah, Mat Admara Alang Azizdin berkata, tahun lalu se­ramai 2,300 orang jemaah haji mengambil pakej ini, tetapi ia me­ningkat kepada lebih 5,000 orang tahun ini.

“Ini satu peningkatan mendadak dan merupakan usaha berganda yang dilakukan pe­ngelola jemaah haji melalui syarikat ma­sing-masing, termasuklah membuatkan promosi yang agresif sebaik sahaja nama syarikat disenaraikan oleh Lembaga Tabung Haji,” katanya kepada wartawan Malaysia di Ibu pejabat Tabung Haji, Bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Katanya, pada tahun ini, Tabung Haji menawarkan semula kepada 19 syarikat swasta yang sama sele­pas menyaksikan rekod baik dalam pengelolaan jemaah haji Malaysia pada tahun lalu, termasuklah yang dikendalikan oleh TH Travel & Services Sdn. Bhd.

“Kita dapati syarikat swasta ini telah mengikuti ketetapan dan syarat ketat yang diminta Tabung Haji dalam mematuhi apa yang dinyatakan dalam ri­salah promosi kepada jemaah haji,” katanya.

Mat Admara mene­gaskan, bagi memastikan jemaah haji menerima perkhidmatan seper­ti yang dijanjikan, pe­ngelola jemaah haji ini akan dipantau dan dinilai oleh pasukan pemantau yang dilantik oleh Tabung Haji bermula daripada pendaftaran jemaah haji, pengurusan pasport, ke­berangkatan jemaah haji dari tanah air ke Tanah Suci, sepanjang masa semasa jemaah haji berada di Ta­nah Suci dan sehinggalah mereka pulang semula ke tanah air.

“Antara perkhidmatan utama yang dipantau itu ialah penginapan, makan dan minum, proses pergerakan jemaah dan perkhidmatan kebajikan yang diberikan oleh petugas pengelola jemaah haji ini,” jelasnya.

Apa yang penting ialah, tambahnya, semua jemaah yang menunaikan haji melalui TH Travel & Services Sdn. Bhd. atau melalui mana-mana pengelola jemaah haji adalah juga jemaah haji Tabung Haji.

“Mereka layak menggunakan semua perkhidmatan disediakan Tabung Haji semasa berada di Ta­nah Su­ci,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada jemaah haji yang memilih pakej pengelola jemaah haji ini supaya membuat laporan jika didapati pakej yang ditawarkan di tanah air itu tidak sama apabila berada di Tanah Suci ini.

Pakej paling minimum yang ditawarkan oleh pengelola je­ma­ah haji musim ini ialah RM25,000 hingga RM160,000 seorang jemaah. – UTUSAN