Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ijtihad ulama tentang bilangan rakaat solat sunat tarawih. Majoriti ulama berpendapat bahawa bilangan rakaatnya ialah 20 rakaat, namun ada juga yang berijtihad lapan rakaat.

Perkara khilaf sebegini tidak perlu menjadi pertikaian. Kesemua ingin beribadat dengan bersolat. Maka solatlah mengikut kadar kemampuan.

Bagi mengelakkan kekeliruan, saya mencadangkan dua jenis bilangan rakaat diamalkan. Ada malam tertentu dibuat lapan rakaat dan ada malam tertentu dibuat 20 rakaat. Contohnya jika hari bekerja, maka dibuat lapan rakaat.

Jika hari cuti, maka dibuat 20 rakaat. Ini kerana masyarakat biasanya keletihan selepas bekerja seharian. Maka lapan rakaat adalah bersesuaian.

Adapun masjid yang besar seperti masjid negeri dan masjid daerah, sewajarnya dikekalkan bilangan 20 rakaat.

Bacaan surah selepas surah al-Fatihah juga sewajarnya disesuaikan dengan keadaan masyarakat. Majoriti masyarakat tidak menghafal al-Quran, maka bacaan surah yang ringkas juga sudah memadai.

Tentang pahala, maka sesiapa yang melakukan solat walaupun dua rakaat dengan ikhlas, maka ada ganjaran pahalanya.